Seni & Sukan 16 Jun, 2020

Nak solat di surau R&R PLUS? SOP: Kena bawa sejadah sendiri!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

PERINGATAN!!... Orang ramai atau sesiapa sahaja yang ingin solat di surau-surau Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya kendalian Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diwajibkan membawa sendiri kelengkapan sembahyang seperti sejadah, kain pelikat dan telekung. : KitaReporters

Surau di Hentian R&R Tapah Arah Utara,di Tapah, Perak kini telah dinaik taraf sempena penutupan baru-baru untuk memberi keselesaan kepada pengunjung. - Kredit foto: PLUS. 


Membawa sendiri bahan kelengkapan berkenaan merupakan antara salah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna dalam mengekang penularan wabak COVID-19. 

PLUS membuka semula semua suraunya yang terletak di 24 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) termasuk dua buah Restoran Jejantas dengan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

Surau-surau berkenaan termasuklah yang terletak di R&R arah utara dan selatan iaitu Gurun, Gunung Semanggol, Sungai Perak, Tapah, Rawang, Dengkil, Seremban, Ayer Keroh, Pagoh, Machap, Gelang Patah serta Restoran Jejantas Sungai Buluh dan Ayer Keroh.

Sebelum ini, berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 18 Mac hingga 9 Jun 2020, surau-surau berkenaan ditutup kepada umum.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, menurut laporan Bernama, pembukaan semula surau-surau tersebut yang sudah pun bermula sejak 10 Jun 2020 lalu turut melibatkan R&R di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) iaitu di Perasing, Paka dan Ajil  di kedua-dua arah timur.

Orang ramai yang solat di setiap surau di Hentian Rehat dan Rawat kendalian PLUS diwajibkan mengikuti SOP termasuk penjarakan sosial  dan membawa sendiri sejadah, kain pelikat dan telekung. - Kredit foto: PLUS.


Bagaimana pun semua surau di Plaza Tol PLUS kekal ditutup kepada orang ramai sehingga notis lanjut dikeluarkan.

Bermula pada Isnin 15 Jun 2020, semua fasiliti  di Hentian R&R beroperasi sepenuhnya sekalipun surau dalam kawasan tersebut sudah pun boleh digunakan sebaik sahaja PKPP dilaksanakan seperti  diputuskan pada mesyuarat Majlis keselamatan Negara (MKN).

Bagi menjaga kebersihan dan mengekang penularan COVID-19, PLUS tidak menyediakan sejadah, telekung  dan kain pelikat di surau-surau miliknya.

Surau-surau di Hentian R&R kendalian PLUS sentiasa dijaga kebersihan untuk keselesaan pengguna, - Kredit foto: PLUS


Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz pula menjelaskan, jumlah individu yang dibenarkan solat pada satu-satu masa bergantung kepada saiz surau dan pihaknya akan meletakkan notis di luar surau untuk rujukan.

Katanya, garis panduan penjarakan sosial di dalam surau juga dikuatkuasakan dan berharap pengguna memberi kerjasama dan mematuhi SOP ditetapkan. 

Malahan pada peringkat awal ini, pegawai PLUS akan ditempatkan di R&R bagi memastikan SOP ditetapkan dipatuhi.

PLUS menekankan perjalanan di lebuh raya dalam norma baharu ini akan mengambil masa yang lebih lama kerana SOP keselamatan dilaksanakan sepenuhnya bagi pengunjung di R&R.

Juga pemeriksaan suhu badan akan dijalankan di semua Hentian R&R, di samping kebersihan makanan menjadi keutamaan selain kebersihan seluruh kawasan termasuk parkir kereta.

Untuk itu, semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana PLUS saling menjaga keselamatan dan kesejahteraan sesama sendiri dengan nasihat kerajaan "Kita Jaga Kita'.

Kemudahan Hentian R&R dan Restoran Jejantas PLUS telah dibersihkan dengan teliti dan disanitasi.

Setiap ruang solat dan tempat mengambil wuduk mempunyai penanda penjarakan sosial bagi mematuhi peraturan jarak satu meter.

Juga pendaftaran diwajibkan bagi tujuan pengesanan kontak. - KitaReporters

Orang ramai yang solat di surau-surau kendalian PLUS di Hentian R&R di Lebuh Raya Utara Selatan dan Pantai Timur 2 perlu mematuhi SOP ditetapkan. - Kredit foto: PLUS

1
0
0
0
0
You will be interested