Seni & Sukan 02 Dec, 2021

55 filem bersaing Festival Filem Malaysia 31! Rebut 28 katogeri utama! Ikut garis panduan, SOP!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Annuar Musa (tengah) memperlihatkan trofi FFM31 diapit oleh Tengku Khalidah (kiri), Prof Dr Md Nasir Ibrahim dan Zakaria Abdul Hamid (kanan) pada majlis sidang media FFM31 di Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara pada 1 Disember 2021.


Sah! Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) akan diteruskan sebagai penutup tirai tahun 2021 yang bakal menyaksikan penyertaan 55 buah filem cereka merangkumi filem Bahasa Malaysia (32), Mandarin (8), Tamil (11) dan bahasa-bahasa lain (4) bagi merebut 28 kategori utama yang dipertandingkan.

Kategori-kategori tersebut termasuk tiga Anugerah Khas Juri serta Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman yang akan diterima pemiliknya pada Malam Anugerah FFM31 pada 10 Disember 2021 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).


Lagi cerita-cerita menarik berkenaan filem


Setelah tergendala selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, penganjuran FFM kali ini buat julung kalinya juga diadakan dalam konsep pembudayaan norma baharu dengan mengikut SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Sehubungan itu, kira-kira 1,400 sahaja kapasiti tetamu dibenarkan menghadiri acara berprestij yang merupakan satu-satunya insiatif pihak Kerajaan membangunkan platform filem festival nasional bagi mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan karyawan industri perfileman tanah air. 

“Sebagai medan pengiktirafan kepada pencapaian karyawan industri, FFM31 yang mengangkat tema “Citra Sinema” ini membuktikan manifestasi sinema Malaysia yang berinspirasikan keunikan serta variasi cerita, identiti dan nilai tempatan dengan impak pembikinan dan penontonan sejagat merentas sempadan,” ujar Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Zakaria Abdul Hamid pada majlis sidang akhbar FFM31 yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang berlangsung pada 1 Disember 2021 di Hotel Royal Chulan, The Curve, Mutiara Damansara.

Turut hadir Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, serta beberapa artis antaranya Zul Ariffin, Nadia Brian, Zahirah MacWilson, Mawi  (gambar bawah) dan ramai lagi. 



Mawi bersama Along Cham. Mawi mempertaruhkan filem arahan pertamanya,  'Tiada Tajuk'.


Majlis kemudiannya, turut menerima kunjungan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim.

Menyambung ucapannya, Pengerusi FiNAS selanjutnya memberitahu, FINAS selaku penganjur Festival Filem Malaysia dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengangkat tema ‘Citra Seniman’ untuk FFM31 bagi membuktikan manifestasi sinema Malaysia yang berinspirasikan keunikan serta variasi cerita, identiti dan nilai tempatan dengan impak pembikinan dan penontonan sejagat merentas sempadan. 

“Fokus FFM31 kali ini juga bukanlah sekadar perayaan industri namun ia platform satu suara di antara kerajaan, karyawan filem dan rakyat bagi bersama- sama mendukung kepada kecemerlangan industri,” tambah beliau.



FFM31 akan menyaksikan pemenang utama Anugerah Filem Terbaik akan menerima trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM500,000 dengan mematuhi garis panduan sedia ada berkuat kuasa bagi tatacara permohonan DKD. 

"Pemenang-pemenang kategori pada segmen Malam Anugerah bukan sahaja menerima trofi kemenangan yang telah disediakan oleh pihak FINAS, malah akan turut membawa pulang  hadiah berbentuk wang tunai,” jelas Zakaria yang turut mengucapkan penghargaan kepada para penaja yang turut menyokong.

Sementara itu, bagi memeriahkan minggu festival, pelbagai program sisipan disediakan seperti ‘Program tayangan dan apresiasi filem’, diadakan di beberapa lokasi pawagam termasuk di Negeri Sabah dan Sarawak. 

Selain itu, ‘Program Jelajah Sinema’  dengan calon-calon pemenang kategori FFM31 bagi mempromosikan FFM31 turut dirancang termasuk menjayakan program webinar dengan pengisian bersama panel-panel yang hebat dari dari dalam dan luar negara. 

Selain itu, FINAS juga turut menjayakan program-program webinar dengan pengisian dan panel-panel yang hebat dari dalam dan luar negara. 

Dalam pada itu, senarai pemenang pada tahun ini hanya akan diumumkan pada Malam Anugerah bagi memberikan kelainan dan debaran menantikan keputusan bagi semua kategori dan anugerah yang bersaing.



Antara filem-filem Bahasa Malaysia yang bertanding meliputi ‘Wira’, ‘Sangkar’, ‘Bulan Dan Pria Terhebat’, ‘Pusaka’, ‘Tiada Tajuk’, ‘Zombitopia’ dan banyak lagi.

Terakhir, pada FFM30 yang berlangsung pada bulan Mac 2019, filem arahan Namron ‘One Two Jaga’ diangkat sebagai Filem Terbaik serta meraih lima lagi trofi  dalam kategoti Anugerah Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosdeen Suboh), Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Poster Terbaik.

Siapakah agaknya pemilik trofi Anugerah FIlem Terbaik FFM31 kali ini?

Kita tunggu 10 Disember 2021 nanti ya di mana FFM31 juga akan dipancarkan siaran secara langsung di TV2 mulai pukul 9 malam hingga 11 malam manakala acara ‘karpet merah’ pula akan disiarkan secara langsung dalam laman YouTube FINAS selama sejam bermula 8 malam. - KitaReporters


11
14
0
18
0
You will be interested