Seni & Sukan 01 Oct, 2020

Guruh baru berdentum! Tapi Harimau Selatan dah mula mengaum!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

JANGAN kerana dengar guruh di langit, air tempayan sanggup dicurahkan! Bukankah elok berlenggang di tempat yang datar dan kenapa belum duduk, sudah pula berlunjur! Tiga peribahasa Melayu ini sebagai peringatan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) FC. : KitaReporters

LAMAN Facebook Johor Southern Tigers mencanangkan pesta tonton secara berkereta apabila JDT menentang Sabah. - Kredit foto FB JDT.



Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


Peringatan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah menjadualkan pesta tonton secara berkereta (pandu masuk) buat para penyokongnya di pekarangan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini, 2 Oktober 2020.

JDT cuma memerlukan seri apabila melayan Sabah FA di stadium itu bagi mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014 dan seperti tidak mahu menunggu sehingga 10 Oktober 2020 ini untuk menutup tirai saingan dengan lawan penghabisan, Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Sebanyak 650 pas tonton pandu masuk itu bagi pemegang pas bermusim dan ahli Yayasan JDT diberikan percuma dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang hari ini, 1 Oktober 2020 menjelang ‘temasya keraian’ Sang Harimau Selatan yang kini mengumpul 23 mata liga tanpa kalah.

JDT hampir mengesahkan gelaran ketujuh Liga Supernya jika tidak dikekang oleh PJ City FC di Stadium Petaling Jaya pada 25 September 2020 lalu. - Kredit foto FB JDT.


Sekalipun sekadar seri 2-2 dengan PJ City FC pada 25 September 2020 lalu, skuad Benjamin Mora itu berkelebihan cukup selesa, enam mata mengatasi pencabar terdekat, Perak selain memiliki jurang gol besar, 17 berbanding tiga.

Warga Mexico ini walau bagaimanapun mengakui mereka kini perlu fokus dalam mencari tiga mata di laman sendiri, sekali gus penyudahan yang manis buat kelab milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.

“Sebagai jurulatih, saya memang ingin menang semua perlawanan, tidak kira di mana sahaja tetapi realitinya kami tidak boleh menang selalu dan mungkin yang positifnya, kami boleh mengesahkan kejuaraan di tempat sendiri,” katanya dalam laman Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Biarpun 'Tambadau' tampak kurang menjadi musim 2020 ini, Mora tidak sesekali memandang rendah keupayaan dan tentangan pelawat dari Negeri Di Bawah Bayu itu.

Cuma harapannya dengan penuh yakin ialah, “semangat tempat sendiri akan membantu kami mendapat tiga mata berharga untuk menjulang trofi Liga Super 2020 di hadapan bos kami (TMJ) selain sebagai hadiah buat peminat.”

DENGAN kelebihan enam mata dan jurang gol besar, JDT FC (kiri) seperti terlalu sukar dihambat Perak lagi. - Kredit foto FB JDT.


Si Seladang yang pernah tersungkur dibaham Sang Harimau Selatan 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim, 4 September 2020 lalu, bakal bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk menentang Pahang FA pada 3 Oktober 2020 demi mengukuhkan kedudukan Perak FA sebagai kedua teratas liga. 

KEDUDUKAN mata terkini Liga Super 2020 sehingga 27 September 2020 lalu. - Kredit foto FB JDT.


Sementara itu, segelintir warganet pada laman sosial Facebook MFL mempersoalkan mengapa perlawanan JDT -Sabah tidak ditunda seperti mana Kedah FA menentang Melaka United di Stadium Darul Aman, Alor Setar yang dipinda ke Ahad ini, 4 Oktober 2020 seolah-olah badan pengurus Liga Malaysia itu pilih kasih. 

Syah Vkv menulis, “hendak kena mohon baru boleh tunda? Pasukan yang berisiko tinggi elok ditunda tanpa perlu buat permohonan. Sabah belum sampai Semenanjung lagi ini, kalau sudah sampai mesti kena kuarantin. Tunda sahajalah. Buat pening kepala sahaja hendak buat permohonan bagai.” 

Catat Muhamad Firdaus Abu Bakar secara memerli: “Perlawanan JDT-Sabah tidak perlu ditunda, bukan? Sebab Sabah akan turunkan pasukan kedua, demi rakyat Selatan bersorak gembira untuk piala liga ketujuh berturut-turut seperti yang ‘Satu Asia’ ketahui sejak 2013.” 

Tulis Izzuddin Aziz pula, “Jadi, perlawanan JDT-Sabah kena tunda jugalah. Jangan kerana hendak angkat piala (Liga Super) semata-mata, SOP (prosedur operasi standard) tidak ikut.”

AB. Ghani Hassan. - Kredit foto MFL. 


MFL dalam siaran medianya, 30 September 2020 mengumumkan pindaan jadual Kedah menentang Melaka selepas menerima permohonan pasukan pelawat yang masih menjalani proses kuarantin sekembalinya dari Sabah sejak 28 September 2020 lalu sehingga hari ini.

“Selaras pematuhan (SOP) Covid-19 Liga Malaysia, pindaan tarikh itu memberikan Melaka, masa untuk melakukan persiapan memandangkan mereka hanya dibenarkan mengadakan sesi latihan sebaik sahaja keputusan ujian saringannya dikeluarkan, esok 1 Oktober 2020.

“MFL telah menilai dan mengambil setiap pertimbangan pasukan Melaka yang memohon malah keputusan memindanya mendapat persetujuan Kedah yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi serta memahami kesukaran yang dihadapi lawan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan. 

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan mengarahkan semua individu yang baru tiba dari Sabah, menjalani ujian saringan Covid-19 dan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) sehingga keputusan makmal dikeluarkan.

 

0
0
0
0
1
You will be interested