Daripada 14,306 jemaah Malaysia, salah seorang terselit bekas penyanyi terkenal, Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman, 54.
Man Bai menunaikan ibadat haji mengikut pakej muassasah bagi merasai kesukaran mengerjakan haji sebenar, tidak seperti sejumlah golongan selebriti mengikut cara pakej yang lebih selesa.
Datang untuk mencari keredaan Allah dan memohon keampunan-Nya. Itulah matlamat Man Bai.
Dia berharap sempena kunjungannya ke Mekah, Tuhan akan mengampunkan dosa-dosanya selama ini terutama dalam bidang seni.
Ketika siaran Berita Pagi jam 7 di RTM Khamis, 7 Julai 2022 lalu, ramai terkejut melihat laporan Man Bai menunai haji.
Ditemui wartawan lokasi RTM yang membuat liputan musim haji 1443H/2022M, Faisal Jamal di penginapan Maktab 46, Man Bai menganggap kehadirannya di Tanah Suci sudah ditentukan yang Maha Esa.
Dan ia merupakan peluang baginya untuk memohon keampunan serta meraih seberapa banyak ganjaran dan keberkatan daripada Allah SWT.
"Saya nak baiki diri saya sebagai manusia di dunia dan di akhirat kerana saya banyak dosa. Banyak benda yang saya lakukan di dunia yang Allah saja tahu.
"Jadi saya ingin memohon kepada Dia untuk ampunkan dosa saya supaya apabila saya mati nanti azab kubur tidaklah terlampau terseksa sangat," kata Man Bai.
Man Bai popular bersama kumpulan rock komersial remaja, ‘Gersang’ pada akhir 1980-an dengan lagu-lagu hit seperti ‘Masih Aku Terasa’ dan ‘Suratan Takdir’.
Setelah Gersang berpecah, Man Bai menjadi penyanyi solo dengan Roslan Aziz Production (RAP) dari 1991 hingga 2000 dengan lagu popularnya ‘Kau Ilhamku’ dan turut bergiat dalam bidang lakonan dan kerja belakang tabir.
Kredit foto-foto: IG Manbai @manbai67
Man Bai tidak kisah untuk berada dalam kumpulan haji muassasah, bukan haji berpakej seperti artis-artis lain, kerana selain memperoleh pengalaman sebenar haji, tujuannya tidak lain adalah untuk mencari keredaan Illahi.
Dia sempat menitip doa buat rakan-rakan dalam industri hiburan agar urusan seharian mereka terus dipermudah. Dia turut berharap lebih ramai pekerja seni dipermudah untuk melakukan ibadah Haji.