Ibunya Rosnah Mohamad mula-mula dijangkiti dan merebak kepada ahli keluarga lain.
PENYANYI Khai Bahar atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 27, mengalami berita gembira dan sedih dalam waktu hampir bersamaan.
Dia lega selepas Konsert Nafas Cinta pada Sabtu, 12 Februari 2022 berjalan lancar, namun gusar diuji dengan berita yang tidak mengembirakan sehari selepas konsert berakhir.
Dia mendapat berita 11 ahli keluarganya termasuk ibunya yang tinggal serumah di Kangar, Perlis disahkan sebagai positif Covid-19.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Khai Bahar
Hasil ujian kit Covid 19 kendiri
Ia bermula daripada ibunya, Rosnah Mohamad, 64, kemudian berjangkit kepada kakak, adik, adik ipar dan lima anak saudara. Sementara dua lagi masih menunggu keputusan ujian calitan yang sudah dibuat beberapa kali.
Menurut Khai, dia menyuruh ibunya membuat ujian calitan kendiri setelah mengalami kurang sihat. Ia dibantu oleh adiknya untuk melakukan ujian itu. Hasilnya positif.
Khai memaklumkan ibu terlebih dahulu menghubunginya memaklumkan keadaan seperti tidak sedap badan dan demam berpanjangan. Khai tidak tahu bagaimana ibunya boleh kena jangkitan itu.
Dia kemudian meminta anggota-anggota lain keluarganya membuat ujian calitan kendiri. Hasilnya, sembilan ahli keluarga disahkan positif dan dua lagi masih menunggu keputusan setelah ujian calitan dibuat beberapa kali.
Berita duka itu dikongsi penyanyi lagu 'Luluh' ini menerusi Instagram (IG) Story dengan mengungkap semula perkongsian adiknya yang memuat naik enam kit ujian kendiri Covid-19.
Menyentuh konsert solo Nafas Cinta, ia telah ditunda hampir setahun dan asalnya berlangsung di Istana Budaya.
Namun setelah menghadapi beberapa masalah, penganjur Nova Music menukar lokasi konsert solo ini ke Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), Pusat Membeli Belah One Utama, Bandar Utama.
Konsert ini turut mengundang Aina Abdul dan Adira sebagai artis undangan.
Walaupun impian asal untuk mengadakan konsert sulung di tempat berprestij iaitu Istana Budaya, namun Khai tetap bersyukur dapat diadakan di tempat lain. - KitaReporters
Dalam Anugerah Juara Lagu ke 36 (AJL36) pada 6 Mac 2022 nanti, Khai dan Aina Abdul akan berduet dalam lagu ‘Nafas Cinta’.
Jika Khai mendapat sesuatu kejayaan dalam AJL36, ia akan menjadi hadiah hari jadi paling berharga baginya. Khai Bahar akan menyambut ulang tahun ke-28 pada 28 Februari 2022 ini. - KitaReporters