Menurut Khir, surat penyelesaian itu menyatakan bayaran tertunggak dijadualkan pada 16 Mei 2020.
Dalam surat tersebut, dinyatakan ada antara mereka akan dibayar terus 100 peratus dan selebihnya dijelaskan sebanyak 50 peratus.
Namun, sehari sebelum tarikh yang dijanjikan, Jumaat, 15 Mei 2020, mereka menerima satu lagi surat dari syarikat guaman yang sama yang menyatakan pembayaran akan ditangguhkan kerana dana tidak mencukupi.
“Sila bayar hak kami…saya mohon!” kata Khir dalam laman Twitternya.
Tambahnya; “Kami telah beri Kak Ogy kepercayaan sepenuhnya walaupun sebenarnya kami tak faham macam mana Kak Ogy nak bayar duit kami melalui promosi yang kurang dari 2 minggu dan hanya 3 malam persembahan.
“Kami telah jaga nama Kak Ogy, kami bersungguh-sungguh menghasilkan pementasan yang baik."
Menurut Khir hanya satu pihak yang sudah menerima bayaran penuh sedang yang lain belum.
“Sila bayar hak kami. Saya mohon. Mencari dana adalah sebelum melaksanakan satu-satu produksi… bukan sesudah.
“Jangan guna kes-kes begini untuk mohon simpati mengaut untung perniagaan.
"Kami bukan pihak yang menekan Kak Ogy… sebaliknya kami yang tertekan dengan palsunya janji-janji Kak Ogy.” kata Khir Rahman.
Khir berkata, dia akan terus menulis dalam Twitternya selagi bayaran tidak selesaikan.
Teater KDS dipersembahkan pada 28, 29 Februari dan 1 Mac 2020 dan mendapat sambutan baik ketika diadakan di Panggung Sari, Panggung Negara, Kuala Lumpur.
Sementara itu dalam laman Instagramnya @kak_ogy, Ogy dalam entri terbaharunya, hanya meletak jumlah balang pes kari daging/ayam dan pes sambal ikan bilis yang terjual iaitu sebanyak 557 balang.
Sehubungan itu, sebanyak RM15,596 berjaya diperoleh dan dapat menjelaskan hutang untuk seramai 6 orang, dia menulis.
Dalam bahagian terakhirnya Ogy menulis kata-kata: "Biar saya dikecam tapi saya tak akan lari daripada tanggungjawab saya utk menyelesaikan hutang2 ini... lambat atau cepat saya tetap bayar."
Tetapi dengan kerja itu setiap haripun mengambil masa berbulan-bulan untuk menyelesaikan hutang.
Sedangkan para pelakon dan tenaga penerbitan mengharapkan bayaran untuk sambutan Aidilfitri.
Ini merupakan pengalaman berguna bagi Ogy.
Lebih baik menjadi pelakon atau pengarah bagi penerbitan lain kerana menjadi tauke bagi produksi kesenian lebih tinggi risiko kerugiannya daripada keuntungan.
Kata-kata Khir perlu dipandang serius iaitu perlu mencari dana sebelum produksi bermula, bukan setelah persembahan selesai.
Jangan pula nanti ada pihak lain mahu menerbitkan teater atau drama terkaitan dengan isu bayaran ini. Mungkin Khir Rahman pula yang menjadi produser dan pengarahnya? - KitaReporters