Seni & Sukan 06 Jul, 2022

Video| Romantika Awie, Erra? Kembali di Kota Kinabalu pada 20 Ogos 2022! Ada konsert, ada drama!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


TAK semestinya bila kita bercinta atau bertunang dengan seseorang, individu tersebut yang akan menjadi pasangan hidup kita kerana semua itu bergantung kepada jodoh. 

Agak-agaklah berapa ramai pasangan bercinta atau bertunang yang  putus boleh berbaik semula atau pasangan suami isteri yang bercerai masih boleh menjadi kawan baik. 

Bagi Awie dan Erra Fazira, perkara lepas tak perlu dikenang kerana dunia hiburan tempatan kecil dan ke mana pergi pasti bertemu. Mereka yang pernah bertunang pada 1996 dan putus hujung 1998, kini menjadi teman baik.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Awie

Awie dan Erra Fazira kembali bergandingan dalam persembahan Awie Romantika Dinner di Sabah.



Hubungan baik antara Awie dan Erra mula mendapat perhatian sejak mereka digandingkan, termasuk Ziana Zain bagi menjayakan Konsert Teaterikal Suara Kita, di Istana Budaya pada 2014. 

Melihat kepada sambutan yang diberikan oleh peminat, Awie meneruskan kerjasama dengan Erra untuk Konsert Awie Romantika di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2020.

Kini pasangan kekasih dalam filem Sembilu itu kembali bergandingan bagi menjayakan persembahan Awie Romantika Dinner, anjuran BuzzMedia pada 20 Ogos 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC).


Sidang media menguar-urakan tentang showcase Awie Romantika Dinner, baru-baru ini.


“Saya rasa senang bekerjasama dengan Erra. Berdebar tak ada selepas Romantika di Shah Alam tu. Saya senang bekerja dengan orang yang saya kenal puluhan tahun, dia tahu saya punya bad attitude dan saya tahu dia punya bad attitude. 

“Bila kita sama-sama mengenali antara satu sama lain, nak bekerja jadi senang. Kita lebih banyak berkompromi kerana kita tak nak berlaku benda yang tak elok lagi. Untuk memperbaiki kesalahan yang telah berlaku.

“Bila soal konsert, dengan siapa lagi saya nak beromantika, saya kenal Hajah (Erra) ini dan berpuluh-puluh tahun dan kita pernah bertunang, kecewa dan putus. Akhirnya kembali bersama bekerja menjadi sahabat. Alhamdulillah, ini semua kuasa Allah. 

“Saya sangat happy, bukan saya saja, malah wife (Sharifah Ladyana Syed Samsuddin) turut memberi kebenaran yang luar biasa. Wife saya sangat teruja dan dia peminat Erra. 

"Alhamdulilah, semua okey tak ada perasaan cemburu yang gila-gila,” jelas Awie bila ditanya kenapa pilih Erra sebagai pasangannya untuk showcase tersebut.


Persembahan di Sabah, merupakan gandingan kali kedua Awie dan Erra untuk showcase Romantika. 


Tambah vokalis Wings itu, persembahanan di Kota Kinabalu tidak sama seperti di Stadium Malawati kerana situasi ruangan yang digunakan berbeza. 

“Ia tidak akan sama kerana kali ini diadakan di dalam hall dan agak limited seat. Kita meminimumkan kepada medium skil, tidak perlu drama begitu kuat. Kita akan menghiburkan penonton saja, cuma perceritaan itu kita alih sikit. 

“Kalau Romantika di Shah Alam lebihkan kepada true story, kali ini kita fiksyenkan dan campurkan dengan apa yang berlaku sebelum-belum ini. 

“Bila ada jualan meja, ia lebih eksklusif dan relaks untuk yang datang bersama keluarga. Ini satu benda yang bagus juga untuk industri dan artis. Bukan bermakna kita akan lupakan konsep show terbuka seperti di stadium. Insya-allah kita akan laku semula di tempat terbuka,” katanya.


Erra rasa teruja dapat mengadakan persembahan bersama Awie.


Untuk persembahan selama satu jam 40 minit itu, Awie dan Erra  akan mempersembahkan kira-kira 15 buah lagu.

“Saya selalu bersembang dengan Erra, dia tak yakin yang dia tu bagus. Dia ada suara dan aura tapi dia tak yakin. Tiap kali di atas pentas, dia akan demam. Saya nak bagi tahu pada orang di Sabah, insya-Allah Erra akan buat yang terbaik.

“Tak ada segmen, terus drama saja. Kita tak nak ada segmen sebab saya nak buat satu perceritaan dalam satu konsert. Konsert yang sebegini panggil muzikal konsert. 

"Memang susah nak buat. Satu perkara kena ada dialog, kalau buat dengan Erra kita buat spontan. Dialog cuma guide saja,” kongsi Awie tentang perjalanan konsert itu nanti.  


Selain menyanyi, Awie dan Erra juga akan tampilkan drama secara spontan.


Sementara itu, Erra mengakui yang dia teruja dan bersyukur kerana berpeluang bekerjasama dengan Awie lagi.

“Alhamdulillah, konsert Romantika pertama dapat sambutan yang baik dan ramai yang memberi impak terbaik. Kerana kejayaan itu ada konsert Romantika kedua yang dirancang diadakan di Sabah.

“Sebenarnya rancangan ini dah dirancang sebelum PKP lagi tapi tergendala dan alhamdulillah saya tak sangka lepas PKP pun perancangan ini diteruskan.

“Terima kasih pada Awie dan team kerana memberi kepercayaan dan amanah yang berat kepada saya. Nak bergandingan dengan satu nama yang besar yang walaupun dia sakit terlantar dan bila buka suara dah boom.

“Kita nak beraksi di sebelahnya bukan sesuatu yang senang apatah lagi saya ni walaupun dah lama tapi macam BBNU. Saya masih mencabar diri saya, saya rasa Datuk Awie selalu push saya untuk memberi saya semangat kerana saya ni ada lemah semangat, stage fright,” akui Erra tentang perasaannya setiap kali berada di pentas.


 

Untuk bekerja, Awie senang memilih pasangan yang sudah dikenali seperti Erra Fazira. 


Meskipun tahu dirinya ada kekurangan, namun Erra tidak gentar kerana tahu, dia berada di samping orang hebat.

“Saya percaya kepada kolaborasi ini dan sudah tentu saya rasa selamat bersama dengan Datuk Awie dan team kerana masing-masing semua profesional, jadi saya tak payah nak fikir macam-macam apa yang perlu dibuat.

“Sebab saya tahu mereka ini hebat, maka saya yang menumpang dan saya ikut saja. Dan yes, keserasian itu pun memainkan peranan yang penting. Keserasian yang telah dibina bertahun-tahun lamanya, alhamdulillah hingga hari ini masih lagi terpelihara dengan baik, semuanya positif. 

“Saya rasa peminat-peminat yang membesar dengan kami berdua ini pun masih ada yang nak memberi sokongan dan melihat kami beraksi bersama. Saya sebenarnya tak tahu apakah sebenarnya yang akan berlaku di Sabah kerana dia merahsiakan daripada saya dan reda saja,” kata Erra yang mengikut segala perancangan diatur Awie.

Bagi mereka yang ingin menonton Awie Romantika Dinner, anjuran Fazbuzz Events dan Media Sdn. Bhd., tiket-tiket berharga RM12,000 (Diamond), RM8,000 (Gold), RM5,000 (Silver) dan RM3,500 (Bronze) masih dijual. Setiap meja untuk 10 orang. 

Boleh hubungi Perry Husin (013-8688282), Zul Sayap2Wings (019-2888092), Shaira (011-10023838) dan Abu (019-3721756). - KitaReporters


22
7
0
10
0
You will be interested