Kredit foto: Tangkap layar video TribunBatam.id
LAZIMNYA bagi seorang bapa atau orang tua tentunya merasa bangga selain akan memberi pelbagai hadiah yang menarik apabila anaknya memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik sama ada pada peringkat sekolah ataupun universiti.
Pemberian hadiah itu boleh dikatakan menjadi kebiasaan pada masa kini khususnya bagi kedua-dua ibu bapa berkemampuan yang antara lain bertujuan untuk memberi semangat kepada anak-anak mereka supaya terus belajar dengan cemerlang lagi pada masa akan datang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan al-Quran
Namun, hadiah agak berbeza yang diberikan oleh seorang bapa di Kudus, Jawa Tengah yang telah mengendong anak remaja lelakinya akibat terlalu gembira selepas anak itu selesai khatam al-Quran dan menjadi hafiz 30 juzuk di sekolah pondoknya Tahfidz Quran Angkatan 2 MAN 1, Kudus, pada 18 Jun 2022 lalu.
Aksi bapanya yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Diponegoro, Semarang, Jawa Tengah berbuat demikian sebagai hadiah kepada anaknya yang bernama Ahmad Husni Mubarak Yasin yang mampu menghafal dan khatam 30 juz al-Quran.
Viral sebuah video yang kelihatan pensyarah tersebut menangis ketika dia mengendong Ahmad Husni bermula dari pentas pondok itu sehingga di padang bola.
Dipetik dari portal tvonenews.com pada 21 Jun 2022 lalu memberitahu bahawa Ahmad Husni adalah salah seorang pelajar daripada 10 pelajar lain yang menyertai acara Haflatul Hidzaq yang diadakan setiap tahun di pondok tersebut.
‘’Untuk gendong mengendong itu sebenarnya secara spotan saya lakukan akibat saya terlalu gembira ketika itu apabila Ahmad Husni berhasil menghafal al-Quran. Allah memberikan penghafal kepada orang-orang yang Allah pilih,’’ ucap pensyarah itu.
‘’Aku besok (di akhirat) kamu gendong aku ye, masukkan aku ke syurga nak. Sekarang kamu sudah khatam Quran. Aku sudah gendong kamu. Biar kebuntuan, Ya Allah,’’ kata pensyarah sambil menangis dalam kegembiraan ketika sedang mengedong anaknya menuju ke padang bola.
Sementara itu, Ketua MAN 1 Kudus, Suhamto berkata seramai 69 pelajar yang menyertai menghafal al-Quran itu dan daripada jumlah itu hanya 10 pelajar termasuk Ahmad Husni sahaja yang berjaya menghafal dan khatam 30 juz.
Menurutnya, dia tidak menjangka video yang memaparkan seorang bapa mengendong anak viral dalam media sosial yang mendapat pujian dalam kalangan netizen.
‘’Dalam ajaran Islam, seorang anak yang dapat hafal al-Quran akan dapat membantu dan mengendong orang tuanya ke syurga. Apa yang dilakukan pensyarah itu mengendong anaknya sebagai tanda syukur selain gembira dan insya-Allah anaknya mengendong bapanya ke syurga nanti,’’ kata Suhamto. - KitaReporters