Seni & Sukan 06 Apr, 2021

Pelamin, gubahan bunga kreatif Cikgu Jay! Kenangan terindah pengantin guna andaman mampu milik!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Mohamad Jalil Mohamad Yunus sedang menyiapkan hiasan pada pelamin yang ditempah pelanggan.


MEMILIKI minat dan kemahiran semula jadi dalam bidang andaman memberi sumber pendapatan sampingan kepada seorang guru sejak bertahun-tahun lalu di samping berasa seronok serta terharu dapat meringankan bebanan pengantin baharu.

Beliau menggunakan masa lapang dan hujung minggu luar waktu bekerja untuk melakukan kerja andaman itu termasuk membuka peluang kepada kawan-kawan yang hilang pekerjaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sekarang ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan andaman


Mohamad Jalil Mohamad Yunus, berkata apabila menyedari bidang itu boleh menambahkan pendapatan keluarga dia terus memandang ke hadapan dengan mendalami dan mempraktikan lagi kemahiran yang dimiliki itu untuk menghasilkan pelamin pengantin serta gubahan bunga yang menarik dan unik.

Menurutnya, pelamin dan gubahan bunga untuk hantaran perkahwinan atau pertunangan dia akan membuat rekaan mengikut 'trend' semasa yang sederhana tetapi kelihatan begitu kreatif yang menzahirkan kecantikan serta menarik.


Mohamad Jalil bersama isteri Norhayati duduk di atas pelamin hasil kreatifnya dengan kos mampu milik untuk pasangan pengantin baharu. 


Gubahan hantaran yang menarik hasil sentuhan Cikgu Jay.


Katanya, dia akan sedaya upaya meminimumkan kos penghasilan pelamin atau gubahan itu kerana berasa turut bertanggungjawab membantu memeriahkan majlis perkahwinan seseorang apabila mereka memerlukan khidmat andaman.

“Saya tidak mahu membebankan keluarga serta pasangan pengantin baharu apabila mereka terpaksa menanggung pelbagai kos mengadakan majlis perkahwinan dan pelamin atau gubahan yang dihasilkan mampu dimiliki.


Mohamad Jalil turut melakukan kerja hiasan pentas untuk pelbagai pihak termasuk memenuhi permintaan rakan guru sekolah.


“Sama ada mini pelamin atau pelamin di dalam dewan saya akan membuatkan dengan penuh minat serta kreatif sebagaimana cita rasa ditagih oleh pelanggan supaya majlis yang diadakan itu berjalan dalam suasana meriah dan menjadi kenangan terindah,” katanya.

Mohamad Jalil atau lebih dikenali dengan gelaran Cikgu Jay, berkata sepanjang pembabitan dalam kerjaya andaman itu dia turut ditawarkan untuk membuat hiasan pentas, gubahan untuk cenderahati majlis yang dianjurkan pihak tertentu termasuklah hari persaraan atau perpisahan guru besar atau pengetua dan sambutan hari guru.


Norhayati turut membantu suaminya Mohamad Jalil untuk menghiaskan pelamin dan membuat gubahan hantaran perkahwinan atau pertunangan.


Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia turut mendapat sokongan daripada isterinya Norhayati Mat Ali serta rakan-rakan yang turut membantu membuat gubahan untuk hantaran, hiasan majlis termasuk di atas pentas atau dalam dewan dan sebagainya bagi mencari pendapatan tambahan berikutan pandemik Covid-19.

Katanya,  dia berasa seronok apabila diminta rakan guru untuk membuat hiasan pentas di dewan terbuka sekolah sempena mengadakan hari anugerah pelajar atau mesyuarat persatuan ibu bapa dan guru supaya suasana sekeliling kelihatan cantik dan menarik.


Hasil menarik dan kreatif Mohamad Jalil menghiaskan pentas untuk majlis di sekolah apabila khidmatnya diperlukan.


“Saya tidak risau kepada persaingan kerana andaman ini hanya kerja sampingan yang secara tidak langsung menjadi terapi minda selepas penat seharian melakukan tugas rutin berkaitan bidang pendidikan.

“Saya berasa bersyukur dan gembira apabila majlis perkahwinan dan sebagainya menggunakan khidmat andaman berjalan dengan meriah dan lancar yang menjadi terindah kepada mereka terbabit,” katanya yang kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, Selangor.

Kepada mereka yang berminat mendapat khidmat Cikgu Jay boleh menghubungi beliau menerusi telefon 019-3216092 atau Facebook dan Instagram cikgu jay/cikgu.jay. - KitaReporters

Pelamin yang menarik hasil ciptaan Mohamad Jalil untuk majlis persaraan seorang guru di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

14
2
0
0
0
You will be interested