Seni & Sukan 12 May, 2021

Video| Jangan pandang sebelah mata! Artis pun kaki libas! Tak percaya? Jom try servis selebriti!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

DEEN Maidin dengan gaya libasan kalih tersendiri dalam perlawanan pertunjukan regu 'Bintang Libas' dan Kelab Sepak Takraw Media Massa di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Kredit foto ZAI 


SIAPA kata artis kita ‘Kaki Bangku’? Bak petikan dialog 'Laxmana Do Re Mi', "daun serai, daun gaharu. Belum try belum tahu!"

Di sebalik karier pelakon, penyanyi, pemuzik, pelawak dan seangkatannya dalam dunia seni hiburan, turut tersembunyi bakat bersukan yang tidak kurang hebatnya dalam diri mereka.

Mungkin sudah agak kerap kita mendengar atau melihat berlangsungnya perlawanan bola sepak persahabatan yang lebih bersifat suka-suka atau santai antara artis atau selebriti dengan pasukan pilihan tertentu termasuk orang kenamaan (VIP).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw

ISMA Aliff selaku apit kiri Selebriti, memiliki kawalan bola yang kemas ketika perlawanan pertunjukan sempena Kejohanan Dunia Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. - Kredit foto: RAA


Namun tidak ramai yang pasti menyedari bahawa para artis tanah air turut mahir melibas, menimang dan menservis dalam sukan sepak takraw. Justeru, mengapa tidak jika mereka juga wajar digelar ‘Kaki Libas!’ 

Deen Maidin Gerak Khas, Rahim Sepahtu, Roy Azman, Allahyarham Faizal Yusop, Mat Over, Isma Aliff, Salih Yaakob malah Amir Ukays serta Shahrol Shiro merupakan antara artis popular yang bakat sepak takraw mereka pun ‘boleh tahan’ jika dipertaruhkan ke gelanggang. 

Perlawanan Khas Sepak Takraw Piala Milo-Pallas Rejam antara Selebriti dan Kelab Sepak Takraw Media Massa (Keris) pada 17 Mei 2009 telah menyerlahkan servis dan rejaman padu dan berbisa mereka. 


MAT Over atau nama sebenarnya, Sulaiman Yassin, tekong regu Deen Maidin (kanan) dan Isma Aliff, melakukan servis sila yang pernah menewaskan Kelab Sepak Takraw Media Massa dalam kategori Jemputan Terbuka MBPJ. - Kredit foto: RAA



Selebriti pimpinan Deen Maidin, pendukung watak Detektif Linggam dalam siri TV drama kepolisan ‘Gerak Khas’, menang 2-1 dalam perlawanan berformat regu berpasukan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara, Taman Keramat, Kuala Lumpur itu.

Deen yang bertubuh agak besar dan tegap, masih mampu melonjak dan melibas dengan gaya tersendiri seperti mengilas kaki malah mengakui, sanggup menyertai beberapa kejohanan kecil terbuka tanpa mengira nilai hadiah kemenangan yang ditawarkan penganjur.

“Saya masuk kejohanan sepak takraw sebab minat dan semangat serta mencintai sukan. Apabila diundang menentang Kelab media, kami hanya berlatih antara dua atau tiga kali sesi malah tidak fikirkan menang atau kalah sangat.

“Saya minat main macam-macam sukan, bola sepak, sepak takraw dan badminton,” kata Shamsuddin Maidin (nama sebenarnya),  56, yang kini dilaporkan mengusahakan perniagaan makanan.


RAHIM Sepahtu dikatakan pernah disegani arena sepak takraw Selangor sekitar 90-an. - Kredit foto: ZAI 


ALlahyarham Faizal, bekas suami penyanyi Siti Nordiana, hebat dalam membuat libasan kalih manakala Roy, pendukung watak crook dalam kebanyakan filem Datuk Yusof Haslam, handal dengan rejaman gulung ala apit Thailand.

Isma, penyanyi lagu komedi yang kemudian membintangi filem lawak seperti ‘Marah-marah Sayang’ dan ‘Kembar Siam’, berganding bahu dengan Deen sebagai apit kiri, manakala pelawak, pelakon dan penyanyi, Mat Over (Pi Mai Pi Mai Tang Tu) menjadi tekongnya.

Rahim Sepahtu yang kian popular menerusi siri ‘Sepahtu Reunion’ dan pernah muncul juara Maharaja Lawak Mega, handal bermain sebagai pengumpan atau apit kiri biarpun tubuhnya gempal dan boroi.

Namun kenalan rapatnya turut pernah menceritakan, kehebatannya ketika berusia 20-an dan sebelum berstatus selebriti, memang diakui ramai penggiat sepak takraw Selangor.


IDLAN 'Kassim Pon-Pon', naib juara Raja Lawak 4 (kanan) bersama regu Kelab Sepak Takraw Media Massa menentang Marsiling Singapura pada 2012. - Kredit foto AZM.


Beberapa kali juga undangan Keris jarang dihampakannya sama ada untuk memeriahkan perlawanan pertunjukan, persahabatan atau kejohanan. Kawalan bola dan sambutan servisnya kemas manakala umpanannya kepada perejam atau apit kanan, memang mantap!

Ketika masih dalam Raja Lawak 5 pada 2011, Rahim Mat Ali (nama sebenarnya dengan kumpulan asal R2) dan naib juara siri realiti bakat Astro itu musim 4, Idlan ‘Kassim Pon-Pon’, hadir beraksi menentang Keris di Gimnasium MSN, Bukit Jalil.

Begitu juga dalam kejohanan Rejam Media-Keris 2011 dan 2015. 

Kali ini bergabung dengan Keris, aksi mereka tetap berdaya saing apabila menentang regu wanita Malaysia dan kakitangan MSN yang pernah disaksikan oleh mantan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong.


JOHAN Raja Lawak (kiri) dan Scha Al Yahya (kanan) dalam satu adegan menarik filem Libas. - Kredit foto: MDAG


 

'REGU Libas Malaysia' (dari kiri) Johan, Fadzly, Rosyam dan Beego. - Kredit foto: MDAG 


Sekitar 2011, sebuah filem bercorak drama komedi aksi sukan sepak takraw berjudul ‘Libas’ ditayangkan di pawagam-pawagam yang dibintangi antaranya Datuk Rosyam Noor, Johan Raja Lawak, Scha Al Yahya, Adam Corrie, Beego, Zek Zamri dan Yank Kassim.

Sebagai pemeriah dan promosi filem terbitan MDAG Marketing Sdn. Bhd. Ini, sebuah kejohanan sepak takraw terbuka, Piala Raja Libas turut dilangsungkan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur yang kebetulan menjelang Piala Dunia Pertama anjuran Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di situ.


LIBAS memaparkan pertandingan unik sepak takraw bawah tanah dengan jaringnya daripada pagar besi dan berisiko cedera teruk atau maut. - Kredit foto: MDAG


Filem ini mengisahkan Adnan Saladin atau digelar Raja Libas (Rosyam) perlu mencari pemain-pemain baharu regu Malaysia untuk menentang regu Thailand yang telah mencederakan kakinya dalam satu ‘pertandingan sepak takraw bawah tanah’ sambil cuba mempertahankan Bola Raga Pusaka.

ROSYAM Noor (kanan) menunjukkan skil menimang bola sepak takraw yang tanpa suntingan camera trick, efek khas atau CGI sambil diperhatikan oleh Deen Maidin (kiri).


Ala 'Shaolin Soccer' lakonan bintang Hong Kong, Stephen Chow, 'Libas' arahan Datuk Jurey Latif Rosli turut dihiasi aneka kesan khas dan imej janaan komputer (CGI). 

Menariknya, Rosyam, Zek, Deen, Adam dan Rahim serta Keris tampil mempamerkan aksi dan bakat sepak takraw tersendiri dalam satu perlawanan selingan pertunjukan sebelum final Kejohanan Raja Libas di stadium itu. - KitaReporters


RAHIM Sepahtu (berdiri, kiri) bersama-sama para pelakon filem Libas antaranya Zek dan Rosyam Noor (depan, jersi merah) dan Deen Maidin (berdiri, dua dari kanan) serta pemain Kelab Sepak Takraw Media Massa. - Kredit foto: ZAI

1
3
0
3
0
You will be interested