BIASA memasuki 'rumah hantu' di taman hiburan (amusement parks) atau fun fair? Seram bukan? Tetapi ia adalah seram untuk keseronokan walau pun mungkin ada yang menyesal selepas memasuki 'rumah hantu' tersebut. Lain pula ceritanya mengenai rumah hantu di Indonesia. : KitaReporters
KABUPATEN Sragen di timur Jawa Tengah. - Kredit foto: Google Map
Di Kabupaten Sragen, Jawa Tengah ada rumah hantu yang lain dari lain.
Masuk ke rumah berhantu itu bukan untuk berseronok tetapi sebagai hukuman kepada mereka yang melanggar arahan sekatan pergerakan seperti Perintah kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia sekarang.
Berang kerana ramai yang mengingkari sekatan berkenaan, Ketua Kebupaten Sragen, Kusdinar Untung Yuni Sukowati mengarahkan mereka yang ingkar disumbatkan ke dalam rumah berhantu sebagai hukuman.
Biar mereka menjalani hukuman dalam ketakutan.
RUMAH hantu yang menempatkan pengingkar arahan sekatan pergerakan di Sepat, Srage, Jawa Tengah. - Kredit foto AFP
Memetik laporan agensi AFP, arahan luar biasa ini dibuat bukan sahaja untuk mengajar rakyat tempatan tetapi juga mereka yang ramai datang dari luar ekoran penutupan Jakarta dan beberapa bandar utama lain bagi mengekang penularan Covid-19.
Sukowati marah kerana mereka yang datang ini tidak mematuhi peraturan kuarantin 14 hari bagi pendatang luar menyebabkan risiko penularan virus Covid-19.
Ekoran itu, dia mengarahkan penduduk tempatan menggunakan rumah-rumah tinggal yang dianggap berhantu sebagai tempat tahanan untuk para pengingkar arahan sekatan.
Ramai rakyat Indonesia percaya rumah lama yang ditinggalkan ini, terutama di kawasan luar bandar, sebagai berhantu dan didiami makhluk halus.
BARISAN katil yang dipisahkan dengan tabir di rumah berhantu Sepat, Sragen, menempatkan pengingkar arahan sekatan pergerakan. - Kredit foto: AFP
Menurut Sukowati, dia telah memaklumkan kepada masyakarat di Sragen, jika ada sahaja rumah kosong berhantu di kawasan mereka, sumbatkan sahaja pengingkar ini ke dalam rumah tersebut dan dikunci.
Pihak berkuasa di perkampungan di Sepat misalnya, memilih sebuah rumah panjang
yang sudah lama di tinggalkan dan melengkapinya dengan katil pada jarak
tertentu yang dipisahkan dengan tabir.
Sehingga Rabu, 22 April 2020, lima orang telah dimasukkan ke dalam rumah berhantu di Sragen dengan tiga orang disumbat ke dalam rumah di Sepat.
Di sinilah mereka akan ‘bertamu’ sehingga selesai tempoh kuarantin 14 hari yang ditetapkan.
Salah seorang yang dikurung, Heri Susanto memberitahu, rumah tersebut memang seram.
Namun sehingga ini dia masih belum berhadapan dengan gangguan makhluk halus atau bertemu dengan hantu.
Dia bagaimana pun menerima baik hukuman yang dikenakan ke atasnya.
Dia menganggap ia untuk kebaikan semua serta satu pelajaran yang sangat berguna.
KETUA Kabupaten Sragen, Kusdinar Untung Yuni Sukowati keluarkan arahan sumbat pengingkar arahan sekatan pergerakan ke rumah-rumah hantu.
Memang itu yang diharapkan oleh pihak berkuasa.
Diharapkan langkah bertamu di rumah hantu ini akan menakutkan mereka dan mengajar mereka tidak lagi ke sana-sini sesuka hati sepanjang penguatkuasaan arahan sekatan.
Indonesia sehingga Khamis, 23 April 2020 mencatatkan 7,775 penghidap positif
Covid-19, tempat kedua di kalangan negara ASEAN selepas Singapura dengan 11,178 kes.
Jumlah kematian di Indonesia pula direkodkan sebanyak 647 orang, manakala Singapura ialah 12 orang.
Di Malaysia pun banyak rumah kosong tinggal yang dianggap berhantu. Mungkinkah apa yang dilakukan di Sragen ini boleh dilakukan di sini? - KitaReporters