KINI rata-rata pengusaha homestay telah mula mengambil langkah pembersihan rumah penginapan mereka kerana menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPKB) akan berakhir tidak beberapa lama lagi. Menurut beberapa pengusaha homestay (rumah inap) yang dihubungi, sebaik saja PKP dilaksanakan 18 Mac 2020 mereka terus menutup rumah penginapan itu sebagai mematuhi arahan kerajaan untuk menyekat penularan Covid-19. : KitaReporters
Bilik penginapan di Jass Telaga Inn Homestay sentiasa dipastikan kebersihannya.
Mulai 10 Jun 2020, kerajaan akan melaksanakan pula PKP Pemulihan (PKPP) pula sebagai tanda negara, ekonomi dan kehidupan di negara ini mula bergerak ke arah pemulihan selepas hampir tiga bulan "dikawal" bagi melendaikan penularan Covid-19 sejak 18 Mac 2020.
Di bawah PKPP, sektor pelancongan dalam negeri akan dibenarkan dan boleh dibuka kepada umum, namun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Pemilik Jass Telaga Inn Homestay, Umi Kalsom Buang berkata lebih dua bulan homestay itu terpaksa ditutup bagi mematuhi arahan PKP walaupun ada permintaan untuk menyewanya daripada penduduk tempatan.
Beliau berkata, dia tidak berani untuk membenarkan bilik di homestay di Kilometer 10, Jalan Daeng Tawi, Telok Mas, Melaka itu disewakan kerana bimbang akan berlaku penularan wabak Covid-19 yang bukan membahayakan dia dan keluarga malah penduduk di sekitar kampung itu.
Umi Kalsom Buang
Menurutnya, mulai minggu lalu, dia memulakan kerja-kerja pemulihan dan pembersihan di inap desa itu seperti membersih kolam mandi, menyapu sampah sarap, menyembur sanitizer serta memeriksa pendawaian elektrik dan sebagainya bagi memastikan berada dalam keadaan selamat.
“Homestay saya telah dibuka lebih empat tahun lalu dan sentiasa menjadi pilihan pelancong yang datang melawat Melaka Bandaraya Bersejarah setiap hujung minggu dan tempahan selalunya penuh berikutan ada kemudahan kolam mandi sejak setahun lalu,” katanya.
Pengurus Pemasaran Jass Telaga Inn Homestay, Muhammad Afifi memastikan langkah kebersihan dilaksanakan di homestay itu.
Bagi Noor Hayati Mohamad Noor, dari Kota Bharu, Kelantan, berkata sebaik sahaja kerajaan melaksanakan PKP dia turut menutup homestaynya dan tidak membuka untuk disewa walaupun ada permintaan daripada penduduk setempat.
Menurutnya,
lebih baik mematuhi arahan kerajaan itu daripada membiarkan inap desa itu
terdedah kepada penularan wabak Covid-19 apabila disewakan oleh mereka yang
kita tidak mengetahui tahap kesihatan mereka.
Noor Wa Homestay terus ditutup apabila kerajaan melaksanakan PKP bermula 18 Mac 2020.
“Ini ibarat perniagaan keluarga bagi mencari pendapatan sampingan walaupun tiada pendapatan masuk lebih dua bulan saya menganggap bukan suatu kerugian, kerana ia lebih selamat daripada terkena wabak berbahaya itu yang boleh meragut nyawa.
“Lebih dua minggu lalu saya bersama-sama anak memulakan kerja pembersihan sekitar homestay seperti menyembur sanitizer dan menyapu lantai dengan harapan PKP dapat ditamatkan dalam kadar segera,” katanya yang mengusahakan Noor Wa Homestay di Taman Kujid, Kampung Telok Pauh Panji, Kota Bharu.
Noor Hayati dengan dibantu anak-anak memulakan kerja membersih dan menyembur sanitizer di sekitar homestaynya.
Pemilik Homestay Cabin Highway, Md Yasin Embong, berkata dia terpaksa reda atas arahan kerajaan apabila PKP dilaksanakan walaupun inap desa miliknya di di Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu itu baru sahaja beroperasi hujung tahun 2019.
Menurut
beliau, walaupun sudah mengeluarkan modal yang besar membangunkan homestay itu
tetapi demi keselamatan dan kesejahteraan kesihatan penduduk sekitar dia
terpaksa akur arahan PKP untuk memberhentikan seketika perniagaan itu.
Md Yasin terpaksa menutup homestay miliknya lebih dua bulan sebagai mematuhi arahan PKP.
“Selepas PKPB dilaksanakan dan ada kelonggaran diberikan saya membuka semula homestay ini sejak seminggu lalu dengan meningkatkan tahap penjagaan dari segi kesihatan dan kebersihan termasuk meminta mereka yang menyewa supaya mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) ditetapkan.
“Sebaik
sahaja penyewa keluar saya sendiri akan melakukan kerja-kerja pembersihan bilik
seperti menukar sarung bantal dan cadar serta menyembur atau menyapu sanitizer di tempat yang sepatutnya,”
kata beliau.
Md Yasin melakukan sendiri kerja-kerja mengemaskan bilik termasuk menukar cadar bagi memastikan kebersihannya.