Seni & Sukan 20 May, 2022

Seronok dalam gementar! Ain Edruce berganding dengan Pak Nil! Acarakan program Karaoke Superstar!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Pengacara dan pelakon yang terkenal dengan keletahnya yang riang, Ain Edruce mengakui rasa gementar apabila menerima tawaran sebagai hos bersama Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil untuk rancangan realiti nyanyian terbaharu ‘Karaoke Superstar’ yang bakal bersiaran mulai 5 Jun 2022 ini menerusi saluran Astro Ria (104).

“Bayangkan apabila berganding dengan Pak Nil yang terkenal sebagai pengacara otai tentulah saya rasa gementar. Malah sebagai hos bersama pada program ini membuatkan saya rasa benar-benar penat dan kehabisan tenaga,” ujar pemilik nama penuh, Nurulain Edruce, 30, ketika ditemui pada sidang media program ‘Karaoke Superstar’ bertempat di The Gardens baru-baru ini,

Turut hadir, Pak Nil dan Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh serta artis artis jemputan yang terlibat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan personaliti pengacara


Menurut Ain, begitu pun beliau rasa selesa dan seronok apabila dapat mencipta keserasian antaranya dan Pak Nil, sekali gus menjadikan impiannya selama ini untuk berganding dengan idolanya itu tercapai.

“Malah, ini antara satu-satunya program yang Ain rasa penat sangat sebab kami memberikan tenaga seratus peratus terhadapnya malah hampir keseluruhannya kami mengendalikannya secara spontan tanpa mengikut skrip,” cerita Ain teruja.

Baginya, mereka melengkapi antara satu sama lain dengan keserasian tanpa Pak Nil kelihatan ‘over shadow’ dirinya atau pun sebaliknya.

“Memang seronok sangat dan Ain rasa puas mengendalikan program nyanyian realiti sepanjang bergelar pengacara,” tambahnya.



Karaoke Superstar’ merupakan sebuah program pertandingan berkaraoke antara dua penyanyi terkemuka yang akan bersaing dalam setiap episod. 

Secara uniknya, mereka akan berganding dengan peminat-peminat setia yang dipilih daripada kelab peminat mereka tersendiri dengan kaedah cabutan dalam segmen-segmen tertentu. 

Sepanjang program ini dijalankan, semua persembahan artis-artis yang terbabit akan diiringi oleh ‘live’ band untuk memberi kelainan dalam berkaraoke. 

Seramai 20 orang selebriti bakal bertanding mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian serta pengetahuan masing-masing bagi mengumpul markah sehingga akhir pertandingan untuk memenangi trofi emas Karaoke Superstar. 

Para pemenang untuk setiap cabaran akan menerima sebuah trofi dan juara keseluruhan pula akan menerima piala pusingan juara Karaoke Superstar untuk minggu tersebut. 

Arts-artis lama dan baharu yang terlibat terdiri dari Zamani, Wany Hasrita, Tajul, Amira Othman, Ezad Lazim, Ramlah Ram, Ameng Spring,  Datin Alyah, Rahmat Mega, Ara Johari, Syamel, Liza Hanim, Muss, Amelina, Dato Nash, Aina Abdul, Black Hanafiah dan Jaclyn VIctor.

Bersiaran selama 10 minggu, ‘Karaoke Superstar’ dipecahkan kepada lima segmen yang akan memberikan cabaran berasaskan nyanyian, permainan, duet bersama peminat serta kuiz  yang menguji bakat dan pengetahuan para artis akan industri hiburan. 



Sementara itu, berkongsi lanjut, Norzeha Mohd Salleh (gambar atas) memberitahu, kriteria lagu yang dipilih dalam program ini merupakan lagu-lagu popular selebriti tanah air dan juga antarabangsa yang sering menjadi pilihan para pengunjung pusat karaoke. 

“Antara keunikan dan cabaran buat selebriti dalam program ini adalah mereka bakal menyanyikan lagu-lagu yang belum pernah dinyanyikan di mana-mana platform dan merupakan lagu-lagu yang bergenre di luar keselesaan mereka,” jelas Norzeha.

Kesemua peserta akan diadili juri tetap yang digelar sebagai Ratu Karoks iaitu Erra Fazira dan Mas Idaya bersama seorang juri jemputan setiap minggu antaranya Ifa Raziah yang turut hadir memeriahkan majlis.

“Mereka bertanggungjawab memberikan markah per seratus dengan pecahan markah vokal atau tempo (40%), persembahan (40%), personaliti (10%) dan bakat spontan mereka (10%) dalam setiap segmen untuk meraih gelaran pemenang pada minggu tersebut.

Tambah menarik, program ini tampil lebih hebat dengan episod-episod kapsulnya sebanyak 10 episod yang akan disiarkan selama 10 minit setiap minggu

Episod istimewa ‘The Best of Karaoke Superstar’ juga akan ditayangkan secara eksklusif di Astro Ria sebanyak empat episod. -KitaReporters


Antara artis yang hadir pada majlis pelancaran 'Karoake Superstar' baru-baru ini.

14
12
0
11
0
You will be interested