Seni & Sukan 03 Nov, 2021

Video| Azhan Rani jadi blonde! Demi drama Keluarga Untuk Disewa! 6 bulan simpan rambut blonde!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


PELAKON yang terkenal dengan panggilan Ustaz Hamadi selepas menonjolkan lakonan mantap menerusi drama bersiri ‘Nur’, Azhan Rani kini sanggup mewarnakan rambutnya demi kelainan bagi watak dipegangnya dalam  ‘Keluarga Untuk Disewa’.

Perubahan 360% daripada seorang ustaz kepada seorang gelandangan yang berhutang, sekali gus mencipta sejarah tersendiri bagi pelakon berusia 45 tahun ini apabila kali pertama dia mewarnakan rambutnya 'blonde' (perang muda).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Azhan Rani


Bersiaran menerusi slot Diandra TV9, drama bersiri ‘Keluarga Untuk Disewa’ ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 8.30 malam bermula 2 November 2021.



“Pada mulanya saya ingat boleh bertahan untuk sebulan sahaja tetapi terpaksa menanggung membawa rambut berwarna ini sehingga enam bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” cerita Azhan Rani ketika diwawancara pada sidang media drama ‘Keluarga Untuk Disewa’ secara maya pada 3 November 2021.

Turut hadir secara maya, pengarahnya, Raja Mukhriz R. Ahmad Kamaruddin serta barisan pelakon lain seperti Adibah Noor, Pekin Ibrahim, Dynas Mokhtar, Fimie Don, Afifah Nasir dan adik Fifi Laura Olivia.

Menyambung cerita, Azhan memberitahu, rona rambut berkenaan dipilih oleh Raja Mukhriz sendiri setelah cadangannya dipersetujui.

“Saya berterima kasih kepada pengarah yang menyokong idea saya itu demi memberikan kelainan kepada watak Alwi dan Azman kerana saya suka explore sesuatu yang baharu bagi menghidupkan watak,” tambah pemilik nama penuh, Azhan Abdul Rani.

Katanya, dengan lebih kurang 50 gaya rambut yang digayakannya dalam drama berkenaan pujian serta penghargaan harus diberikan kepada mekap artis dan stylis rambutnya, Effa Basri atas rekaan yang begitu cemerlang.


Demi hidupkan kelainan pada watak dipegangnya, Azhan sanggup warnakan rambutnya.



Begitu pun,  Azhan akui rasa terseksa apabila terpaksa bertahan dengan rona rambut sedemikian begitu lama sehingga rasa diri seperti alien (orang asing) bila berada di luar apatah lagi bila ramai yang memandangnya. 

Menurutnya, gara-gara rambut 'blonde' itu beliau terpaksa menutup kepala apabila berada di luar rumah kerana risau dengan penampilan sedemikian akan mengundang pelbagai tanggapan orang terhadapnya termasuk buang tabiat.

"Mewarna rambut sememangnya satu perbuatan yang tak pernah saya lakukan seumur hidup tetapi demi menonjolkan imej yang tak kena pada karakter Alwi, saya sedia mencuba.

"Namun tidak sangka pula ia menyusahkan saya kerana terpaksa simpan lama berikutan penggambaran tergendala kerana PKP," ujar Azhan.


Drama bersiri 'Keluarga Untuk Disewa' terbitan  Eleven Field Creative Sdn Bhd bersiaran sebanyak 20 episod menerusi slot Diandra TV9, bermula 2 November 2021.


Drama hasil nurkilan skrip oleh Ellyna Ahmad dan MF Kencana ini mengisahkan Aina (Fifi Laura Olivia) kehilangan keluarganya dalam sebuah tragedi kemalangan jalan raya. 

Neneknya, Puan Sri Maryam (Adibah Noor), seorang ikon wanita sangat digeruni di Melaka terkejut dengan berita kematian anak tunggalnya, Marissa, meninggalkan  cucu bongsunya, Aina yang terselamat tetapi berada dalam koma. 

Selepas Aina sedar, doktor mengatakan Aina hilang ingatan dan perlukan perhatian daripada keluarga untuk cepat sembuh. 

Sabaruddin (Pekin Ibrahim) yang merupakan pembantu peribadi Puan Sri Maryam mencadangkan untuk mencari keluarga olok-olok untuk Aina supaya anak kecil ini dapat rasa hidupnya dikelilingi kasih sayang.

Pada mulanya, Puan Sri Maryam enggan tetapi apabila Aina mula bertanya di mana keluarganya, beliau tidak sampai hati memberitahu cucunya yang dia kini anak yatim piatu. 

Oleh itu, Puan Sri Maryam bersetuju untuk mengupah empat individu bagi menyamar sebagai ahli keluarga Aina iaitu Marissa (ibu), Azman (ayah), Hisham (abang) dan Anis (kakak).



 Azhan memegang watak sebagai Alwi, manakala Dynas Mokhtar sebagai Intan dalam drama bersiri 'Keluarga Untuk Disewa'.


Puan Sri Maryam mendapatkan khidmat seorang lelaki yang penuh hutang iaitu Alwi dilakonkan Azhan Rani; 

Intan, ibu tunggal merangkap penyanyi kelab malam lakonan Dynas Mokhtar; Fikri (Fimie Don), seorang remaja bermasalah lari dari rumah serta Nora (Afifah Nasir), gadis yang terpaksa menyara adik-adiknya setelah kematian ibu bapanya. 

Walaupun keempat-empat ini sangat berbeza dari segi rupa, saiz dan perwatakan dari keluarga Aina yang asal tetapi Puan Sri Maryam terdesak lalu terpaksa terima sahaja cadangan Sabaruddin.

Alwi, Intan, Fikri dan Nora yang saling tidak mengenali menerima tawaran Puan Sri Maryam disebabkan gaji bulanan yang lumayan dan juga bonus di hujung kontrak dijanjikan itu. 

Mereka berusaha untuk menyesuaikan diri dan cuba sebaik mungkin untuk mewujudkan kemesraan dan keharmonian seperti sebuah keluarga bahagia.

Tanpa diduga, Aina menjadi rapat dengan keluarga sewanya dan pelbagai isu serta permasalahan timbul dalam lakonan Alwi, Intan, Fikri mahu pun Nora untuk terus berlakon menjadi keluarga Aina. 

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Jawapannya kenalah saksikan sendiri 'Keluarga Untuk Disewa' ini  dan tonton bagaimana rupa Azhan Rani dengan pelbagai fesyen rambutnya! - KitaReporters



8
15
0
18
0
You will be interested