MENGAMBIL keberkatan Ramadan bagi menerapkan nilai murni dalam kalangan kakitangan, 15 kakitangan Monstr Confectionery Sdn Bhd telah dibawa menyertai Program Menyantuni dan Berbuka Puasa Bersama Warga Emas di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Beranang, Selangor, pada 29 April 2022 lalu.
Pengarahnya, Muhammad Khairul Mohamed Ali, berkata langkah itu sebagai menggalakkan kakitangan syarikat berkenaan untuk bersikap lebih prihatin serta bertanggungjawab terhadap masyarakat khusus warga emas dalam melahirkan sejahteraan dan keharmonian.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat-pusat jagaan
Pengerusi PJNH, Mohiadin (depan) memberi taklimat kepada kakitangan Monstr Confectionery Sdn Bhd mengenai pusat jagaan itu dan nasib yang menimpa warga emas di situ.
Menurutnya,
dalam usaha yang masih muda mereka wajar didedahkan dengan program komuniti
terutama membabitkan aktiviti kerja kebajikan termasuk bagaimana cara
menguruskan warga emas yang tersisih serta uzur di samping merasai kepayahan kehidupan mereka.
Jelasnya, langkah itu akan membawa ke arah membentuk keperibadian yang mulia dalam kalangan kakitangan syarikat apabila mereka nanti turut turun padang untuk mempromosikan produk keluaran syarikat kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur.
“Di pusat ini mereka berpeluang bertanya khabar dan menyantuni warga emas yang uzur serta memiliki pelbagai karenah kerana terlalu memerlukan layanan daripada seorang kawan bagi meluahkan perasaan selepas disisih ahli keluarga atau hidup sebatang kara.
“Sebelum ini kami hanya mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada pusat kebajikan seperti rumah anak yatim, keluarga miskin serta asnaf tanpa berpeluang menyantuni dengan lebih mesra seperti dilakukan di PJNH,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Mohammad Khairul (tiga dari kiri) bersama-sama kakitangan Monstr dan warga emas di PJNH.
Mohammad Khairul berkata, program itu juga diharap menjadi penggerak atau pembuka jalan kepada aktiviti kebajikan dengan pusat jagaan yang lebih tersusun dan berkesan serta membabitkan lebih dua ribu ejen syarikat itu di seluruh negara.
Tambahnya, sebagai syarikat berasaskan coklat dan bakeri serta sudah lima tahun berada di pasaran dalam negara dan dia ingin melahirkan budaya berniaga sambil beramal dalam kalangan semua ejen supaya dapat berkongsi rezeki.
“Alhamdulillah saya sendiri sudah sedia maklum ada ejen sudah melakukan kerja kebajikan sendiri di tempat masing-masing bagaimana program di PJNH ini akan menjadi pendorong utama kepada aktiviti kerja kebajikan dan amal untuk seterusnya,” kata beliau.
Kakitangan Monstr Confectionery Sdn Bhd beramah mesra dan menyerahkan sumbangan kepada warga emas tersisih di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, pada 29 April 2022 lalu.
Tengku Dewi (tiga dari kiri), Saiful Anuar dan Mohiadin memberi taklimat mengenai surau PJNH yang masih memerlukan bantuan kelengkapan untuk keselesaan warga emas.
Sementara itu dalam majlis berasingan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama Grab mengadakan Program Kasihku untuk agihan Wakalah Zakat di PJHN dan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor.
Ketua Jabatan Pengurusan Sosial dan Kebajikan LZS, Saiful Anuar Abdullah Saleh, berkata program Kasihku agihan Wakalah Zakat di PJNH itu merupakan kali keempat dilaksanakan apabila sebelum itu mereka sudah mengunjungi rumah anak yatim, kanak-kanak istimewa, mualaf dan Orang Asal.
Menurut Pegawai Hal Ehwal Awam dan Polisi Grab Petaling Jaya, Tengku Dewi Ahdiyana pula, agihan Wakalah Zakat itu memberi peluang kepada syarikat melalui wakilnya mereka mengagihkan sendiri zakat kepada penerima terbabit.
“Saya sendiri berasa terharu apabila berpeluang mengunjungi dua pusat jagaan ini kerana dapat melihatkan dengan lebih dekat kepayahan dan keuzuran warga emas yang perlu disantuni dengan baik dan tugas itu diuruskan dengan sempurna serta penuh rasa kasih sayang petugas pusat jagaan berkenaan,” katanya. - KitaReporters
Penasihat 1 PJMM, Azman Rasman (berdiri kanan) bersama-sama kakitangan Grab, Saiful Anuar, Tengku Dewi dan sebahagian warga emas yang menerima agihan Wakalah Zakat.