Seni & Sukan 12 Apr, 2022

Keluarga Malaysia kongsi keajaiban Coca-Cola! Rai 4,000 penerima manfaat! Fast2Feed di 22 lokasi!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this



COCA-COLA sekali lagi mengerakkan inisiatif menyumbang kepada golongan yang memerlukan selaras dengan falsafah jenamanya menyatukan komuniti di mana lebih daripada 4,000 orang penerima di Malaysia mendapat manfaat pada bulan Ramadan ini melalui kerjasama dengan rakan strategik Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Mydin dan Marrybrown

Inisiatif ini bertepatan dengan tuntutan pada bulan mulia ini serta aspirasi konsep Keluarga Malaysia yang menerapkan nilai kesyukuran, kebersamaan dan berkongsi nikmat Ramadan dengan mereka yang kurang berkemampuan. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program kebajikan


“Masyarakat termasuk seluruh warga kerja, pelanggan dan komuniti setempat merupakan teras kepada strategi perniagaan dan operasi kami di Coca-Cola dan kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat sekeliling.  

"Kami gembira dapat bersama-sama Muslim Aid Malaysia meneruskan kerjasama strategik yang terjalin lebih 10 tahun melalui program Fast2Feed ini untuk membawa kegembiraan kepada rakyat Malaysia terutama pada masa yang sukar, seiring dengan falsafah jenama Real Magic atau Rasakan Keajaiban Coca-Cola," kata Amruta Vaidya, Pengarah Francais, Coca-Cola Malaysia dalam satu kenyataan media pada 11 April 2022.

Program Fast2Feed pada tahun ini membawa Coca-Cola dan Muslim Aid Malaysia ke 22 lokasi di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Pahang, Kelantan, dan Sabah bagi menyantuni anak-anak yatim dan golongan asnaf pada majlis berbuka puasa di samping menyalurkan sumbangan dalam bentuk bakul makanan dan duit raya kepada lebih daripada 4,000 orang penerima. Program yang bermula pada 3 April lepas akan berakhir pada 27 April 2022.

“Kami berterima kasih kepada Coca-Cola Malaysia atas dedikasi dan sokongan berterusan yang diberikan sejak 2010 lagi, agar kami dapat membantu lebih ramai komuniti yang kurang berkemampuan. 

"Kami menggalakkan mana-mana individu atau syarikat korporat untuk menyokong kami dalam pelaksanaan program Fast2Feed bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik, termasuklah anak-anak yatim dan keluarga miskin,” kata Habsah Marjuni, Ketua Pegawai Operasi, Muslim Aid Malaysia dalam kenyataan tersebut.



Ini merupakan tahun ke-15 Muslim Aid Malaysia melaksanakan program Fast2Feed untuk rakyat Malaysia, yang menghubungkan penderma dan penerima. Rangkaian Muslim Aid juga melaksanakan program yang sama di negara-negara lain.

Falsafah jenama Coca-Cola's Real Magic atau Rasakan Keajaiban Coca-Cola percaya yang keajaiban ada di mana-mana, pada setiap masa dan ia akan lebih bermakna apabila dikongsi bersama yang tersayang dan komuniti di sekeliling kita. 

Sehubungan itu, selain program Fast2Feed, inisiatif tanggungjawab sosial Coca-Cola dan Muslim Aid Malaysia diperluaskan lagi melalui kerjasama dengan Mydin dan Marrybrown dalam pelbagai aktiviti anjuran bersama termasuk membawa lebih 200 anak-anak yatim dan kanak-kanak yang kurang berkemampuan untuk membeli baju raya di Mydin manakala Marrybrown pula menyumbang hidangan istimewa Ramadan iaitu MB Nasi Lemak.



“Mydin percaya rasa kekitaan yang wujud di dalam hati kita semua membolehkan semua pihak berganding bahu untuk menyokong inisiatif mulia ini bagi menggembirakan golongan kurang berkemampuan, dan ini bertepatan dengan kempen 2022 “Senyum Syawal” yang kami laksanakan. Mydin Prihatin CSR akan terus menghulurkan bantuan dan berharap kerjasama ini membawa kegembiraan kepada golongan komuniti kurang berkemampuan pada Aidilfitri ini,” kata Datuk Dr Ameer Ali, Pengarah Urusan, Mydin.

“Di Marrybrown, kami percaya hidangan yang disediakan adalah untuk dikongsi dan cara yang baik meraikan Ramadan adalah dengan berkumpul beramai-ramai sambil menikmati keenakan hidangan yang ada. Kami sangat bersyukur dapat turut serta menyajikan hidangan kami kepada mereka yang memerlukan,” kata Dato’ Joshua Liew, Ketua Pegawai Eksekutif, Marrybrown.



Selain itu, Coca-Cola Malaysia akan bekerjasama dengan Masjid Enstek dan Masjid Salak Tinggi, bagi warga kerja Coca-Cola berbuka puasa bersama penduduk setempat yang tinggal di sekitar kilang pembotolannya di Bandar Enstek.

"Kami sangat terharu dengan kemurahan hati rakan kerjasama kami, Mydin dan Marrybrown dengan sokongan yang diberikan terhadap aktiviti bersama Muslim Aid Malaysia, membantu menganjurkan majlis iftar dan menceriakan golongan yang memerlukan. 

"Saya juga ingin berterima kasih kepada kakitangan kami yang sanggup meluangkan masa untuk menjayakan majlis ini. Ia mencerminkan komitmen kami terhadap inisiatif tanggungjawab sosial bagi membawa perubahan dan mewujudkan kesan positif yang berpanjangan kepada komuniti yang kami berkhidmat,” kata Louis Balat Joseph, Ketua Pegawai Eksekutif, Bottling Investment Group untuk Singapura, Malaysia dan Brunei dalam kenyataan yang sama. 

Anggota masyarakat juga boleh turut serta menderma kepada program Fast2Feed. Layari http://muslimaid.org.my/fast2feed/ untuk mengetahui bagaimana sumbangan anda boleh membawa perubahan pada Ramadan ini. - KitaReporters


12
11
0
13
0
You will be interested