Seni & Sukan 23 Mar, 2021

Harimau Malaya di kandang Harimau Selatan! Syukur semuanya negatif Covid-19! Selamat berlatih!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

 

KETUA jurulatih, Tan Cheng Hoe menjalani Ujian Antigen di sebuah hotel di Johor Bahru pada 22 Mac 2021. - Kredit foto FAM.


SEBELUM menjejak padang Pusat Latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Johor Bahru, Johor, skuad 29 pelatih Harimau Malaya dan barisan jurulatih perlu mengharungi ujian Rapid Antigen bagi mengesan gejala Covid-19.

Ujian berkenaan yang dijalankan di hotel penginapan pasukan negara kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pada Isnin 22 Mac 2021, melegakan mereka apabila keputusannya didapati negatif. 

Dengan Liga Super dan Perdana direhatkan, skuad ini dihimpunkan sebagai persediaan awal menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ini yang disambung semula 3 Jun 2021 hingga 15 Jun 2021 ini sejak tertunda dari Mac 2020.


PEMAIN naturalisasi ketiga, Guilherme de Paula kelahiran Brazil turut menjalani ujian Rapid Antigen. - Kredit foto FAM.


Selama sembilan hari sehingga 30 Mac 2021 ini, Harimau Malaya berkampung di pangkalan ‘si adik’, Harimau Selatan menjelang saingan Kumpulan G di Emiriah Arab Bersatu (UAE), menentang tuan rumah, Vietnam dan Thailand. 

"Selepas 16 bulan tidak bersama (kekangan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan - PKP) sejak 19 November 2019 lalu (mengalahkan Indonesia 2-0 di Bukit Jalil), Harimau Malaya akhirnya kembali dapat dikumpulkan untuk kem latihan pusat.

"Sudah tentu saya berasa cukup lega dan gembira. Bagi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya berterima kasih kepada JDT atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihannya dengan pasukan negara.

"Inilah satu lagi sumbangan JDT terhadap bola sepak Malaysia. Selain membantu meningkatkan profil bola sepak Malaysia melalui pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya, Harimau Malaya kini dapat memanfaatkan kemudahan yang bertaraf dunia.


SKUAD pelatih Harimau Malaya serius menjalani latihan di Pusat Latihan JDT FC, Johor Bahru pada Isnin 22 Mac 2021. - Kredit foto FAM.


"Harapan saya, kelab-kelab lain dapat mencontohi JDT dalam membangunkan pusat latihan mereka,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam laman Facebook rasmi persatuan, Isnin 22 Mac 2021.

Empat muka baharu dalam panggilan latihan Harimau Malaya kali ini ialah Ramadhan Saifullah Usman (JDT FC), Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC), Guilherme de Paula (Perak FC) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium).

Pernah menyarung jersi negara yang kembali memikat perhatian Cheng Hoe selepas beberapa lama diketepikannya termasuk Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC), Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Afiq Fazail, Danial Amier Norhisham, Nazmi Faiz Mansor (JDT FC), Fazly Mazlan (Sri Pahang FC), Faisal Halim (Terengganu FC) dan Shahrel Fikri Fauzi (Selangor FC)


HAMIDIN Mohd. Amin sentiasa memantau perkembangan semasa Harimau Malaya. - Foto FAM.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM, turut yakin Cheng Hoe mampu menggilap semula semangat sepasukan dan persefahaman para pemain serta meningkatkan mutu permainan pasukan sehingga pasukan kita beroleh kejayaan.

Harimau Malaya akan menyambung baki pusingan kedua dengan menentang UAE (3 Jun 2021), Vietnam (10 Jun 2021) dan Thailand (15 Jun 2021) ini.

Malaysia menghuni tempat kedua Kumpulan G kelayakan dengan mengumpul sembilan mata selepas menewaskan Indonesia 3-2 (Jakarta) dan 2-0 serta Thailand 2-1 (Bukit Jalil) selain dikalahkan UAE 2-1 (Bukit Jalil) dan pendahulu, Vietnam 1-0 (Hanoi) sepanjang 2019.

Hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik daripada kelapan-lapan kumpulan, akan layak automatik ke pusingan akhir Piala Asia di China sambil meneruskan pemburuan empat setengah tiket Piala Dunia di Qatar dalam pusingan ketiga.




SENARAI 29 PELATIH HARIMAU MALAYA

Penjaga gol: Farizal Marlias (JDT), Khairulazhan Khalid (Sel), Khairul Fahmi Che Mat (Mel), Rahadiazli Rahalim (Trg).

Benteng: Matthew Davies, Aidil Zafuan Radzak, Adam Nor Azlin, La’Vere Corbin-Ong (JDT), Syahmi Safari (Sel), Shahrul Saad (Prk), Fazly Mazlan (Pah), Rizal Ghazali (Ked), Irfan Zakaria (KL), Arif Fadzilah Abu Bakar (Trg).

Perantara: Syamer Kutty Abba, Afiq Fazail, Danial Amier Norhisham, Nazmi Faiz Mansor (JDT), Nor Azam Azih (Pah), Brendan Gan (Sel).

Sayap: Ramadhan Saifullah Usman, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh (JDT).

Penyerang: Syafiq Ahmad (JDT), Shahrel Fikri Fauzi (Sel), Faisal Halim (Trg), Guilherme de Paula (Prk), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Norshahrul Idlan Talaha (Swk).


LUQMAN Hakim Shamsudin antara empat muka baharu kem latihan Harimau Malaya sejak beraksi dengan skuad Bawah 22 Tahun pada Sukan SEA Filipina 2019. - Kredit foto: FAM.


AKSI terakhir Harimau Malaya menentang Indonesia di Bukit Jalil sebelum 'berehat panjang' dek Covid-19 dan PKP. Safawi Rasid (kanan) tidak menyertai kem kali ini kerana kecederaan. - Kredit foto: FAM.

0
0
0
0
0
You will be interested