KERAJAAN memutuskan untuk mempercepat pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 dari Disember 2022 ke November 2022 bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada pertengahan bulan November 2022.
"BKM Fasa 4 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat-peringkat bermula 15 November 2022 (Selasa) dan dijangka selesai pada 18 November 2022 (Jumaat).
"Pembayaran yang bernilai RM2.1 bilion ini akan memanfaatkan seramai 5.2 juta penerima yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan warga emas bujang/tiada pasangan.
"Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022," kata Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media pada Khamis, 10 November 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bantuan Keluarga Malaysia
Untuk BKM Fasa 4, kata Perdana Menteri, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Pembayaran ini merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini.
"Keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa 4 dari Disember 2022 ke November 2022 adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada pertengahan bulan November 2022.
"Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November 2022 dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi BKM melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my," kata Perdana Menteri lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media