Seni & Sukan 13 Aug, 2022

Video| Faztival Fazura 2022! Fazura impikan kumpul artis-artis pilihannya! Kini jadi satu realiti!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


SEJAK negara beralih ke fasa endemik COVID-19, akhir-akhir ini dilihat industri hiburan khususnya seni nyanyian yang terjejas teruk ketika PKP berkuat kuasa dahulu, kembali rancak dengan persembahan konsert sana sini.

Antara penyanyi hebat yang telah aktif kembali menghangatkan pentas hiburan merangkumi Dato Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aishah, Datuk M. Nasir, Anuar & Ziana Zain malah bulan September 2022 ini bakal menyaksikan beberapa lagi konsert seperti antaranya Konsert Rakyat Melaka pada 3 September.

Dan akan datang, pada 11 September, warga kota bakal disajikan dengan hiburan yang berskala lebih besar di mana artis daripada negara serumpun disatukan di Arena Axiata, Bukit Jalil Kuala Lumpur dalam konsert yang dinamakan ‘Faztival Fazura 2022’.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan acara konsert-konsert


Iya… buat julung kalinya, pelakon, penyanyi dan usahawan terkenal, Nur Fazura Sharifuddin, 38,  akan menjadi penganjur kepada sebuah konsert yang terdiri daripada artis baharu dan lama pilihannya sendiri.

‘Faztival Fazura’ yang dijadualkan pada 11 September 2022 depan menghimpunkan ramai artis terkenal tempatan dan dari Indonesia meliputi Dato’ M. Nasir, Dato’ Awie, Ella, kumpulan Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

“Konsert ini bakal ditunjangi juga dua penyanyi luar negara yang tidak asing lagi dari Indonesia, Ahmad Band yang diketuai Ahmad Dhani berserta isterinya, Mulan Jameela,” ujar Nur Fazura yang lebih mesra disapa Faz ketika ditemui di majlis sidang media ‘Faztival Fazura 2022’ di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur pada Jumaat, 12 Ogos 2022.

Turut bersamanya, suami tercinta, Fattah Amin dan barisan artis terbabit konsert seperti Amir Masdi, Ippo Hafiz, Zizi Kirana dan  Kumpulan Ruffedge diwakili Cat Farish dan Azan Addin.

Dari kiri: Ippo Hafiz, Amir Masdi, Fazura, Zizi Kirana dan dua anggota Kumpulan Ruffedge, Azan Addin dan Cat Farish.


Menurut Faz, konsert tersebut juga merupakan impian menjadi realiti baginya kerana telah lama menyimpan hasrat untuk membuat persembahan bersama dengan rakan-rakan seni yang amat dikaguminya di bawah satu acara yang gilang gemilang.

“Lagu-lagu dari Dato M. Nasir antaranya adalah kegemaran dan siulan arwah bapa dan menjadi kenangan saya waktu remaja. Faz membesar dengan lagu-lagu artis-artis legenda pilihan Faz ini,” tambah Fazura dalam tona sebak mengenangkan bapanya yang telah meninggal dunia ketika usianya 17 tahun.

Berkongsi lanjut, Fazura memberitahu antara tujuan konsert diadakan adalah untuk meraikan para peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan kepada kerjayanya dan juga rangkaian produk jenama Fazura, diasaskan beliau termasuk hijab Tudung Fazura, produk penjagaan kulit Fazura Skincare, produk kecantikan Fazura Beauty, dan rangkaian fesyen serta aksesori Fazbulous. 

Juga dianjurkan sempena menyambut ulang tahun kelahirannya pada bulan September nanti, serta turut meraikan para stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang menunjukkan pencapaian terbaik dan konsisten sepanjang menjadi wakil jualan produk jenama Fazura. 

Mereka merupakan nadi dalam menggerakkan program Fazura Rewards, di mana pelbagai barangan eksklusif dapat ditebus menggunakan mata ganjaran yang dikumpul. 

Sehubungan itu, kata Fazura harga tiket pula sudah tentunya harga yang mampu dimiliki, kerana #miliksemua sudah begitu sinonim dengan jenama Fazura.

“Selain dari persembahan hebat daripada para artis yang Faz kagumi ini, beberapa kejutan istimewa juga bakal kami tampilkan semasa konsert ini kelak, Insya-Allah. Saya berharap agar penganjuran sulung Faztival Fazura ini berjaya supaya dapat dijadikan sebagai konsert tahunan, Insya-Allah,” tambah Fazura lagi sambil memberitahu ada beberapa kejutan yang bakal ditampilkan sepanjang konsert.


Kredit foto: @missfazura.


Mungkinkah Fazura akan berduet dengan suaminya, Fattah Amin atau Fattah juga akan muncul sebagai penyanyi jemputan khas membawa kek ulang tahun dan hadiah bunga buat isteri tersayang atau mengumumkan hamil anak ke-2?

Yang pasti kata Faz, "Fattah belum memberikan kata putus sama ada nak turut menyanyi atau tak, Belum tahu lagi Yang," kata Fazura mengeluarkan suara tona seumpama Fattah disusuli ketawa sambil menambah kata, soal menimang anak ke-2 memang ada dalam perancangan namun bukan dalam masa terdekat kerana sibuk dengan pelbagai urusan.

"Jika ada rezeki memang saya mahukan anak lelaki, ada sepasang tetapi segalanya aturan Allah swt dan saya terima apa sahaja pemberian-Nya," jawab Faz.

Apa pun kita nantikan apakah kejutan lain yang bakal ditonjolkan pada konsert 'Faztival Fazura 2022' yang diuruskan oleh Icon Entertainment di mana  tiket akan mulai  dijual pada 19 Ogos 2022 dengan harga yang bermula dari RM147 melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my atau talian hotline WhatsApp menerusi +6 019 9919 055. - KitaReporters

10
14
0
10
0
You will be interested