
WARTAWAN bola sepak terkenal Itali, Gianluca Di Marzio pada 26 Mei 2025 mendakwa, Antonio Conte akan meninggalkan Napoli beberapa hari selepas membawa kelab tersebut memenangi Scudetto (Perisai) sebagai juara Lega Serie A (Liga Siri A).
Khabar itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pada 22 Mei 2025, Conte telah menyenaraikan beberapa permintaan yang dilihat sebagai mustahil untuk dipenuhi sekiranya pihak pengurusan mahu beliau kekal pada musim hadapan (2025-2026).
Menurut portal sukan Il Mattino, antara permintaan tersebut adalah Partenopei (nama gelaran bagi kelab Napoli) perlu berbelanja besar sekurang-kurangnya mendapatkan sembilan pemain ternama di setiap bahagian bagi membolehkan mereka menguasai bola sepak Eropah.

Conte dikatakan ingin mendapatkan pemain seperti Dejan Kulusevski yang pernah beraksi di bawahnya di Tottenham, selain Jack Grealish serta Kevin De Bruyne.
Situasi ini bakal menyaksikan pengeluaran bajet melebihi 200 juta Euro (RM963 juta) sesuatu yang tidak mungkin dilakukan oleh pemilik Aurelio De Laurentiis atau lebih dikenali sebagai ADL.
Pengikut bola sepak Itali pastinya sangat hadam dengan sikap penerbit filem terkenal itu yang begitu berhati-hati dalam aliran tunai dan bijak dalam menimbang hal untung serta rugi.
Malah, ADL sendiri dalam temu bual selepas memenangi liga itu menegaskan: "Jika seseorang tidak gembira dalam persekitaran, dia boleh berubah seperti mana dilakukan oleh Luciano Spalletti."

Selain itu, Conte turut menuntut supaya kemudahan yang terdapat di kelab ditambah baik bukan sahaja untuk kegunaan skuad senior tetapi juga primavera iaitu skuad remaja.
Justeru, kini perkara yang menjadi persoalan ramai di mana destinasi Conte selepas ini? Apakah beliau akan kembali mengemudi pasukan kebangsaan atau mungkin berpindah ke liga Arab untuk mencari kekayaan.
Namun begitu, perlu diingat pada tahun 2023, beliau pernah menyatakan rasa menyesal meninggalkan Juventus pada tahun 2014 selepas memenangi tiga piala bersama kelab tersebut pada 2012, 2013 dan 2014.
Beliau menyifatkan apa yang dilakukan itu tidak matang hanya kerana cuba melarikan diri daripada sesuatu yang kecil.

Jika melihatkan kepada prestasi semasa Juventus, ada kemungkinan Conte kembali ke kelab tersebut memandangkan dominasi pasukan Old Lady (nama gelaran kepada Juventus) itu semakin terhakis dan kejuaraan kini mula dikawal oleh Inter Milan dan Napoli.
Untuk itu, individu yang benar-benar teruji kebolehannya untuk memacu kejayaan adalah Conte, tambahan beliau memiliki DNA kelab tersebut selepas menghabiskan 13 tahun menabur bakti sebagai pemain. - KitaReporters