
HARIMAU Malaya yang menewaskan Nepal 2-0 di Iskandar Puteri mengekalkan kesebelasan utama ini bagi persediaan berdepan Cape Verde dan Vietnam. - Kredit foto: FAM
EMPAT pemain Bawah 23 tahun (B-23) dalam Piala MFL menjadi pilihan mengejut ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski ke kem latihan pusat menjelang Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025.
Alif Ahmad dan Shafizan Arshad dari Johor Darul
Ta’zim (JDT) FC II, manakala gandingan Selangor FC B-23, Haykal Danish Haizon
dan Aiman Hakimi Othman tersenarai dalam skuad 38 pemain yang dipanggil melapor
diri ke kem itu mulai 18 Mei 2025.
Skuad ini turut dipersiap untuk berdepan pasukan
di ranking ke-72 dunia, Cape Verde dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 di
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 29 Mei 2025 dan perlawanan latihan tertutup di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, 3 Jun 2025.
Mereka akan memulakan kem di Johor Bahru, Johor sehingga 26 Mei 2025 sebelum menyambungnya di Kuala Lumpur dari 27 Mei 2025 sehingga hari perlawanan, menurut siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 15 Mei 2025.

BEK kanan, Matthew Davies (2) bakal ditugaskan kembali sebagai kapten Harimau Malaya bagi tiga siri perlawanan antarabangsa tahap 1, perlawanan latihan dan kelayakan. - Kredit foto: FAM
Cklamovski didapati mengekalkan 25 pemain daripada pasukan negara yang menumpaskan Nepal 2-0 ketika membuka kempen kelayakan Kumpulan F di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 lalu.
Mereka termasuk perantara naturalisasi kelahiran
Belanda penjaring gol pertamanya, Hector Hevel manakala Gabriel Palmero, bek
kiri kelab divisyen empat Sepanyol, CD Tenerife B tidak tersenarai pada
perlawanan berkenaan biarpun sempat menjalani latihan bersama.
Cklamovski turut membuat kejutan dengan menyenaraikan Junior Eldstal, 34, bek tengah JDT FC yang kali akhir menyarung jersi negara dalam Piala Asia 2024 di Qatar ketika dikalahkan oleh Jordan 4-0.

JUNIOR Eldstal (15), bek tengah yang prestasinya begitu hambar ketika Piala Asia 2024 di Qatar namun menambat hati Peter Cklamovski kali ini. - Kredit foto: FAM
Dua lagi muka baharu Harimau Malaya kali ini pula ialah Syed Nasrulhaq Syed Bidin, penjaga gol lampai Terengganu FC yang berusia 26 tahun dan berketinggian 1.95 meter dan bek tengah sekelab, Ubaidullah Shamsul Fazili, 22 yang sebelum ini turut beraksi buat B-23 negara.
Sayap kiri Terengganu FC, Akhyar Rashid yang baru
mendirikan rumah tangga 2 Mei 2025 lalu dan dalam skuad menentang Nepal, tidak
terpilih kali ini dan hanya diletakkan dalam Senarai Bersedia 12 pemain.
Turut tiada daripada skuad berkenaan ialah penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan sayap kanan naturalisasi JDT FC kelahiran Gamnia, Mohamadou Sumareh yang hanya dalam Senarai Bersedia dan mungkin dipanggil sekiranya ada kecederaan atau pindaan pada senarai utama.
Harimau Malaya kini menghuni ranking ke-131 dunia, manakala Vietnam yang membelasah Laos 5-0 di Stadium Binh Duong, Binh Duong pada 25 Mac 2025 lalu, ke-109.

HECTOR Hevel (13) yang menyerlah menentang Nepal, kembali tersenarai antara 38 pelatih menjelang menentang Cape Verde dan Vietnam. - Kredit foto: FAM

SKUAD 38 PELATIH HARIMAU MALAYA:
Penjaga gol: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor
Darul Ta’zim FC), Azri Ghani (Kuala Lumpur City FC), Rahadiazli Rahalim, Syed
Nasrulhaq Syed Bidin (Terengganu FC), Haziq Nadzli (Perak FC).
Benteng: La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Shahrul Saad, Junior Eldstal (Johor Darul Ta’zim FC), Shafizan Arshad (Johor Darul Ta’zim FC II), Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili, Quentin Cheng, (Selangor FC), Aiman Hakimi Othman (Selangor B-23), Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Dominic Tan, Daniel Sang Ting (Sabah FC), Dion Cools (Buriram United FC), Gabriel Palmero (CD Tenerife B).
Perantara: Afiq Fazail, Nazmi Faiz Mansor, Nathaniel Shio, Syamer Kutty Abba (Johor Darul Ta’zim FC), Alif Ahmad (Johor Darul Ta’zim FC II), Nooa Laine, Muhammad Abu Khalil (Selangor FC), Stuart Wilkin (Sabah FC), Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City FC), Hector Hevel (Portimonense SC).
Sayap: Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim FC), Faisal Halim (Selangor FC), Safawi Rasid (Terengganu FC).
Penyerang: Fergus Tierney, Romel Morales, (Johor Darul Ta’zim FC), Haykal Danish Zainon (Selangor B-23), Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC).

PETER Cklamovski (kanan) dalam sidang media pengumuman 38 pelatih Harimau Malaya menentang Cape Verde dan Vietnam di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor di samping Pengarah Teknikal pasukan, Tan Cheng Hoe. - Kredit foto: FAM