
DISANGKAKAN Lee Zii Jia namun yang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 ialah Aaron Chia/Soh Wooi Yik.
Sekalipun perseorangan lelaki badminton negara itu mengulangi pencapaian gangsa Sukan Olimpik sejak 1996 (Rashid Sidek di Atlanta), kejayaan beregu lelaki berkenaan lebih menonjol dan ‘rare’ (jarang diperoleh) Malaysia kerana mempertahan pingat itu selepas meraihnya kali pertama di Tokyo 2021.
Kedua-dua pencapaian podium ketiga milik Zii Jia dan Aaron/Wooi Yi itu memastikan kontinjen Team Mas tidak pulang dengan tangan kosong daripada Sukan Olimpik Paris 2024.
Beregu badminton ini juga meraih pengiktirafan tertinggi sukan Malaysia kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) ini buat kali kedua selepas 2022 setelah turut menewaskan tiga lagi calon, Wong Weng Soon (wusyu), Mohd. Aniq Kasdan (angkat berat) dan Abdul Latif Maxzakir (pencak silat).
Selain piala dan blazer kuning khas, Aaron/Wooi Yik dan Olahragawati Kebangsaan 2024, Nor Farah Ain Abdullah memperoleh wang tunai RM20,000 dalam majlis penyampaian ASN di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor.
Farah, juara individu wanita Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Kepulauan Channel pada April 2024 lalu yang mengatasi Sin Li Jane (boling), Tan Cheong Min (wusyu), Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat).

KENNY Goh (tiga dari kiri) dan Nor Farah Ain Abdullah (tiga dari kanan) menerima piala Olahragawan (wakil) dan Olahragawati Kebangsaan 2024 daripada Sultan Ibrahim pada majlis penyampaian ASN di Subang Jaya. - Kredit foto: MSN
Mereka menerimanya daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenan menghadiri ASN 2024. Aaron/Wooi Yik walau bagaimanapun tidak hadir kerana menyertai Terbuka Thailand di Bangkok dan diwakili Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. K. Nagulendran dan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.
Kejayaan Aaron/Wooi Yik turut meluaskan penguasaan terbesar atlet badminton lelaki yang sejak 1967, sudah bergelar Olahragawan Kebangsaan sebanyak 20 kali.
Bagi Farah, 25, pengiktirafan Olahragawati Kebangsaan 2024 turut memahat namanya dalam sejarah ASN sebagai atlet boling padang wanita pertama memenangi gelaran itu. - KitaReporters

SKUAD sepak takraw negara yang muncul naib juara Piala Dunia Istaf 2024 di Kuala Lumpur. - Kredit foto: MSN

SEORANG pemain skuad Kejohanan Boling Asia 2024 menerima piala Pasukan Wanita Kebangsaan 2024 daripada Adam Adli Abd. Halim. - Kredit foto: MSN
SENARAI PEMENANG KATEGORI LAIN
Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting para)
Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Hasmunirah Maliki (boling padang para)
Pasukan Lelaki Kebangsaan: Pasukan sepak takraw naib juara berpasukan Piala Dunia Istaf Kuala Lumpur 2024
Pasukan Wanita Kebangsaan: Sin Li Jane, Natasha Mohamed Roslan, Gillian Lim, Nora Liyana Natasia Norkamal, Faten Najihah Ahmad Faik dan Nur Syazwani Sahar pemenang tiga pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa Kejohanan Asia Ke-27 di Bangkok
Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Jamil Adam (powerlifting para)
Jurulatih Wanita Kebangsaan: Siti Rahmah Mohamed Nasir (pencak silat)
Tokoh Sukan: Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam
Kepemimpinan Sukan: Sunny Si Poh Heng (Persatuan Boling Sarawak) dan Tan Sri Mohammad Norza Zakaria (Persatuan Badminton Malaysia)
Anugerah Khas: Johor Motorsport Racing Team (JMR), Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Selangor Red Giant (e-sports MLBB) dan Allahyarham Datuk Hasbullah Awang

NOR Farah Ain Abdullah (tengah) menerima piala Olahragawati Kebangsaan 2024 daripada Sultan Ibrahim sambil disaksikan oleh Hannah Yeoh (kiri) dan Adam Adli Abd. Halim. - Kredit foto: MSN
OLAHRAGAWAN DAN OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN
1966: M. Jegathesan (olahraga), M. Rajamani (olahraga)
1967: Tan Aik Huang (badminton), M. Rajamani (olahraga)
1968: Ng Boon Bee (badminton), Annie Goh Koon Gee (bola keranjang)
1969 Punch Gunalan (badminton), Ong MeiLin (renang)
1970: Ng Joo Ngan (berbasikal), RadhikaMenon (tenis)
1971: Daud Ibrahim (berbasikal), Junaidah Aman (olahraga)
1972: M. Mahendran (hoki), Junaidah Aman (olahraga)
1973: Chiang Jin Choon (renang), Gladys Chai Ng Mei (olahraga)
1974: Punch Gunalan (badminton), Rani Kaur (hoki)
1975: Khoo Chong Beng (olahraga), Sylvia Ng (badminton)
1976: Mokhtar Dahari (bola sepak), Marina Chin (olahraga)
1977: Shukor Saleh (bola sepak), Marina Chin (olahraga)
1978: Vasu Subramaniam (olahraga), Sylvia Ng (badminton)
1979: Khoo Boo Jin (boling), Shirley Chow (boling)
1980: Rabuan Pit (olahraga), Katerina Ong (renang)
1981: Misbun Sidek (badminton), Helen Chow (renang)
1982: Rabuan Pit (olahraga), Zaiton Othman (olahraga)
1983: Misbun Sidek (badminton), Norsham Yoon (olahraga)
1984: Michael Chuah Seng Tatt (boling), tiada pemenang
1985: Rosman Alwi (berbasikal), Nurul Huda Abdullah (renang)
1986: Abdul Malek Mohd. Noor (bina badan), Nurul Huda Abdullah (renang)
1987: M. Kumaresan (berbasikal), Nurul Huda Abdullah (renang)
1988: Jeffrey Ong (renang), Nurul Huda Abdullah (renang)
1989: Foo Kok Keong (badminton), Nurul Huda Abdullah (renang)
1990: Rashid Sidek (badminton), Lydia Kwah (boling)
1991: Rashid Sidek (badminton), Lisa Kwan (boling)
1992: Rashid Sidek (badminton), Lim Ai Lian (golf)
1993: M. Ramachandran (olahraga), Lisa Kwan (boling)
1994: Nur Herman Majid (olahraga), Shalin Zulkifli (boling)
1995: Sam Chong Tin (biliard-snuker), Sharon Low (boling)
1996: Rashid Sidek (badminton), Shalin Zulkifli (boling)
1997: Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock (badminton), Shalin Zulkifli (boling)
1998: Lim Keng Liat (renang), G. Shanti (olahraga)
1999: Shahrulneeza Razali (berbasikal), Nicol David (skuasy)
2000: Sazali Samad (bina badan), Noraseela Mohd. Khalid (olahraga)
2001: Roslin Hashim (badminton), Shalin Zulkifli (boling)
2002: Karamjit Singh/Allen Oh (rali kereta), Shalin Zulkifli (boling)
2003: Nazmizan Mohamad (olahraga), Nicol David (skuasy)
2004: Josiah Ng (berbasikal), Elaine Teo (taekwondo)
2005: Lee Chong Wei (badminton), Nicol David (skuasy)
2006: Sazali Samad (bina badan), Nicol David (skuasy)
2007: Koo Kien Keat/Tan Boon Heong (badminton), Nicol David (skuasy)
2008: Lee Chong Wei (badminton), Nicol David (skuasy)
2009: Azizulhasni Awang (berbasikal), Nicol David (skuasy)
2010: Azizulhasni Awang (berbasikal), Nicol David (skuasy)
2011: Lee Chong Wei (badminton), Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)
2012: Lee Chong Wei (badminton), Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)
2013: Sazali Samad (bina badan), Nicol David (skuasy)
2014: Sazali Samad (bina badan), Nicol David (skuasy)
2015: Mohd. Al-Jufferi Jamari (silat), Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)
2016: Abdul Latif Romly (olahraga para), Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat)
2017: Azizulhasni Awang (berbasikal), Cheong Jun Hoong (akuatik terjun)
2018: Muhammad Rafiq Ismail (boling), Amy Kwan (gimnastik)
2019/2020: Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal), Tan Cheong Min (wusyu)
2021: Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal), Datuk Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)
2022: Aaron Chia Teng Fong/Soh Wooi Yik (badminton), Ng Joe Ee (gimnastik)
2023: Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Natasha Roslan (boling)

SITI Rahmah Mohamed Nasir (kiri) menerima piala Jurulatih Wanita Kebangsaan daripada Adam Adli Abd. Halim. - Kredit foto: MSN

BEKAS pengulas sukan TV, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang sebagai penerima Anugerah Khas ASN 2024. - Kredit foto: MSN