Seni & Sukan 28 Apr, 2025

Tiada kejutan! JDT juara lagi! Piala Malaysia miliknya! Kuadrapel Liga M! Namun syabas Sri Pahang!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

JDT FC dan ketua jurulatihnya, Hector Bidoglio (depan, tiga dari kiri) bergembira besar meraikan kejayaan mendakap Piala Malaysia kali ketiga berturut-turut selepas 2022 dan 2023. - Kredit foto: JDT


YANG seorang berterima kasih kepada rakan sepasukan. Si lawan pula memohon maaf kepada teman seperjuangan.

Park Jun-heong mengakui mencium penjaring gol kemenangan, Arif Aiman Hanapi selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 pada 26 April 2025.

Sebaliknya Sergio Aguero mengakui kesilapannya yang terlalu menurut nafsu amarah sehingga dibuang padang akibat mengutip kad kuning kedua pada minit ke-33.

Benteng tengah import Johor Darul Ta’zim (JDT) FC itu turut terpaksa meninggalkan perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang berusia 57 minit itu gara-gara kad kuning keduanya.

“Selepas perlawanan, saya mencium Arif sebab dia menyelamatkan saya,” kata pemain kelahiran Seoul, Korea Selatan itu yang menerjah keras penyerang Sri Pahang, Mykola Ahapov, dipetik daripada video sebuah portal media.  

“Kami tidak begitu bagus bermain tetapi tetap memenanginya,” katanya selepas Harimau Selatan memastikan gelaran keempatnya sepanjang musim 2024-2025 ini dengan menewaskan Sri Pahang FC 2-1 di depan 55,552 hadirin.

Trofi teragung bola sepak negara ini juga melengkapkan kejayaan kuadrapel JDT FC bagi musim ketiga berturut-turut sejak 2022 yang meliputi Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah (9 Mei 2024), Piala FA (24 Ogos 2024) dan Liga Super (16 April 2025).


ARIF Aiman Hanapi (kiri) masih mampu mengawal bola biarpun diasak hebat Ibrahim Manusi dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: MFL


Juara bertahan walau bagaimanapun dikejutkan gol rembatan kaki kanan perantara Sri Pahang FC, T. Saravanan pada minit ke-13 susulan tandukan Aleksandar Cvetkovic yang ditepis oleh Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Penyerang import JDT FC dari Brazil yang bakal menyarung jersi Harimau Malaya, Bergson pula menyamakan jaringan buat Tim Hector Bidoglio menerusi sepakan penalti minit ke-54 angkara kekasaran Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham terhadap Oscar Arribas.

Arif, anak kelahiran Pahang, mengekalkan Piala Malaysia di bumi Johor selepas 2017, 2019, 2022 dan 2023 setelah rembatan kaki kirinya membolosi Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-74.

“Jauh dari sudut hati, saya memohon maaf kepada rakan sepasukan dan barisan jurulatih kami. Itu kesilapan saya. Dalam bola sepak (tindakan agresif) ini berlaku,” kata Aguero.

Penyerang naturalisasi Harimau Malaya kelahiran Argentina ini, menunjal kakinya terhadap Bergson ketika terbaring ekoran pertembungan dengan Heberty yang pantas dihukum oleh pengadil, Razlan Joffri Ali di depan mereka ketika insiden itu.

Ulas Arif: “Walaupun ketinggalan 1-0, saya tahu dan percaya gol kami akan datang dan kami hendak menang perlawanan ini.

“Kalau 10 kali kami cuba dan 10 kali gagal, saya akan cuba sampai 11 kali,” kata Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 ini.


SERGIO Aguero (16) bertelagah dengan Heberty (tersorok, dua dari kanan) sambil cuba ditenangkan Park Jun-heong (tengah) dan Aleksandar Chetkovic (5). - Kredit foto: JDT


Namun ketua jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad menganggap gol Arif itu sebagai ofsaid malah mempersoal mengapa Razlan tidak menghentikan perlawanan sejurus sebelumnya ketika pasukannya mahu menukar dua pemain.

“Mereka (JDT FC) mencari jalan untuk membuat umpanan dan menyingkirkan kemampuan kami untuk menentang mereka. Namun itulah bola sepak.

“Kami amat yakin dapat mengejutkan JDT FC tetapi ada perkara tertentu yang mengganggu kami, memang permainan buruk hari ini (malah) bertukar menjadi babak kedua yang buruk bagi kami,” kata pengendali kelahiran Singapura ini.

Kata Fandi, dia hanya kecewa dengan cara Sri Pahang FC kalah selepas kehilangan Aguero yang langsung merosakkan corak permainan mereka sepasukan.

“Dia hilang pertimbangan dan bertelagah (dengan Heberty dan Bergson),” rujuknya kepada perancang gol tunggal itu menerusi sepakan sudut dari sebelah kiri.

Dengan perkara yang diharap tidak menjadi itu akuinya, “menentang Sabah FC dalam separuh akhir (seri 1-1 dan menang 2-1 pada 18 Januari dan 2 Februari 2025 lalu) ialah perlawanan akhir kami sebenarnya.

“Ini final bonus (menentang JDT FC) kerana selepas (separuh akhir) kami telah meraikannya. Masuk final sudah alhamdulillah.   

“Menang kalah bukan segalanya bagi kami tetapi cara kami beraksi. Kami tunjukkan kesungguhan, perwatakan, dedikasi, banyak berdisiplin sekarang dan bermain sepasukan biarpun kekurangan seorang.

“Penting bagi kami tunjukkan perwatakan baik dalam permainan sepasukan. Beri 100 peratus, beri yang terbaik dan berjuang sampai habis. Semangat perjuangan itu yang saya hendak tengok dan harus bangga dengannya,” katanya lagi.


T. Saravanan diraikan rakan sepasukan Sri Pahang FC seperti Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (kiri) dan Baqiudin Shamsuddin (12) selepas rembatan kencangnya menembusi JDT FC. - Kredit foto: SRP


JOHOR DARUL TA’ZIM FC: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Afiq Fazail (La’Vere Corbin-Ong), Bergson, Park Jun-heong, Juan Muniz (Iker Martinez), Eddy Israfilov, Oscar Arribas (Nazmi Faiz Mansor), Natxo Insa (Romel Morales), Heberty, Arif Aiman Hanapi.

SRI PAHANG FC: Zarif Irfan Hashimuddin, Adam Nor Azlin, Aleksandar Cvetkovic, Syazwan Andik Ishak (Azwan Aripin), Mykola Ahapov, Baqiudin Shamsuddin (Sean Selvaraj), Stefano Brundo, Sergio Aguero, T. Saravanan (Nor Azam Azih), Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Ibrahim Manusi (Syaahir Saiful Nizam). 


SENARAI PEMENANG LIGA MALAYSIA 2024-2025:

Piala Malaysia: Johor Darul Ta'zim (JDT) FC

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Arif Aiman Hanapi (JDT FC)

Penjaring Terbanyak: Bergson (JDT FC), 6 gol

Liga Super: Johor Darul Ta'zim (JDT) FC

Penjaring Terbanyak: Bergson (JDT FC), 32 gol

Piala FA: Johor Darul Ta'zim (JDT) FC

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Juan Muniz (JDT FC)

Penjaring Terbanyak: Juan Muniz (JDT FC), 5 gol

Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah: Johor Darul Ta'zim (JDT) FC

Piala Liga A1 Semi-pro: Melaka FC

Piala MFL: Johor Darul Ta'zim (JDT) II


BERGSON membawa bola selepas menyumbat gol penyamaan JDT FC menerusi sepakan penalti. - Kredit foto: JDT 

15
11
0
10
0
You will be interested