Seni & Sukan 22 Feb, 2023

Penerbit filem Mat Kilau nafi! Pertimbang tindakan saman! Lelaki dakwa ada bayaran tertunggak RM150k!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Syarikat produksi Studio Kembara menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bayaran tertunggak yang didakwa oleh Tok Sidang Kampung Telok Bakong, Bota, Perak, Zul Hasan, 60, yang melibatkan kos sebanyak RM150,000 membabitkan penggambaran filem yang mencapai kutipan pecah panggung hampir RM100 juta, 'Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan'.

“Kami berpendapat dakwaan tersebut adalah palsu dan boleh dianggap cubaan menipu pihak Studio Kembara. 

"Sehubungan itu, unit Undang-undang kami sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zul Hassan yang telah mencemar nama baik Studio Kembara,” ujar Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dan dihantar kepada pihak media pada 20 Februari 2023.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem Mat Kilau


Kenyataan itu menyebut pihak Studio Kembara telah melunaskan bayaran kepada semua pembekal atas segala khidmat dan tugas mereka.

“Dakwaan kami ada berhutang sejumlah wang kepada Zul Hassan adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali,” tambah kenyataan itu.

Untuk rekod, pada 15 Februari 2023, pihak Studio Kembara telah mendapat makluman berkenaan suatu dakwaan oleh seorang individu bernama Zul Hassan, yang menyatakan bahawa beliau tidak diberi bayaran sebanyak RM150,000 oleh penerbit filem Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan dan Studio Kembara atas peranan dan kerja-kerja yang telah dilakukan olehnya. 

Ekoran dakwaan itu, Studio Kembara mengambil langkah mengeluarkan satu kenyataan akhbar menafikan segala tohmahan tersebut sambil menegaskan  individu terbabit bukanlah pemilik bagi sebuah tanah di set penggambaran filem 'Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan' tetapi hanya memegang status pemilikan tanah yang dijadikan set penggambaran pada 29 Julai 2019 sedangkan seluruh penggambaran filem telah selesai pada Februari 2019.


Kredit foto: Blogger cucumatkilau.com.


“Ini dapat dibuktikan melalui carian tanah di Kampung Padang Marhum, Lambor Kanan, Perak seperti yang didakwa malah, pihak Studio Kembara tidak ada membuat apa-apa binaan untuk tujuan penggambaran filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di atas tanah yang didakwa milik beliau. Dakwaan binaan dibuat atas tanah beliau ini juga tidak benar kerana binaan berbentuk jeti dibuat di atas tanah rezab sungai,” tambah Penerbitnya. 

Seterusnya, tambah kenyataan penerbit, pihak Studio Kembara tidak ada membuat apa-apa binaan untuk tujuan penggambaran filem Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan di atas tanah yang didakwa milik beliau. Dakwaan binaan dibuat atas tanah beliau ini juga tidak benar kerana binaan berbentuk jeti dibuat di atas tanah rezab sungai. 

“Encik Zul Hassan tidak mempunyai apa-apa asas untuk menuntut bayaran mahupun imbuhan daripada kami. 

"Malah, pihak subkontraktor Studio Kembara ada memberi sejumlah wang sebanyak RM3,000 kepada individu tersebut sebagai kos sewa jeti kerana beranggapan beliau adalah pemilik tanah tersebut yang kemudian disahkan tidak benar,” ujar kenyataan media itu sambil menambah kata, semakan pihaknya  mendapati terdapat bayaran-bayaran yang tidak sepatutnya dibayar kepada individu tersebut tetapi telah dibayar melalui subkontraktor Studio Kembara.

Dilaporkan Studio Kembara mengesahkan tiada sebarang janji, kontrak, mahupun persetujuan yang pernah dibuat oleh pihaknya kepada individu tersebut berkaitan sebarang kos dalam apa jua khidmat atau peranan termasuklah penyedia tapak, pembinaan set, keselamatan, penginapan atau apa-apa tugas sekalipun.

“Kami mengesahkan bahawa semua set atau lokasi penggambaran telah dibuat di atas tanah atau tempat telah dibenarkan oleh pemilik sah di sisi undang-undang. 

"Kami turut menegaskan bahawa semua pembekal, penyedia perkhidmatan, atau subkontraktor telah dibayar lengkap atas kerja-kerja yang mereka lakukan dan tiada lagi bayaran tertunggak yang perlu dibayar oleh Studio Kembara kepada mana-mana pihak. Ini dapat dibuktikan dengan segala rekod pembayaran yang kami simpan,” akhiri penerbit Studio Kembara. - KitaReporters


5
12
0
13
0
You will be interested