.

Negeri di Bawah Bayu, Sabah bakal menyaksikan sebuah malam penuh emosi dan melodi apabila dua penyanyi terkenal Indonesia, Andmesh Kamaleng dan Ziva Magnolya, tampil menggegarkan pentas dalam konsert 'Festival Tentang Cinta' yang bakal berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 9 Ogos 2025.
Dianjurkan oleh Extreme Visionary Venture, konsert berskala besar ini bukan sahaja menghimpunkan artis terkenal dari Indonesia, malah turut menampilkan bintang tempatan seperti Ara Johari, Adira Suhaimi, Mary Grace, dan Hael Husaini.
Festival ini dijangka menjadi salah satu konsert paling dinanti di Sabah bagi tahun 2025.

Menurut Pengarah Urusan Extreme Visionary Venture, Julianah Ishak, 'Festival Tentang Cinta' merupakan usaha memperkenal penganjuran hiburan bertaraf serantau di Sabah.
“Kami ingin membawa pengalaman muzik yang unik dan menyatukan peminat dari pelbagai latar melalui bahasa universal iaitu muzik. Ini kali pertama kami anjurkan konsert sebesar ini, dan kami berharap ia menjadi titik permulaan kepada lebih banyak acara hiburan berkualiti di negeri ini,” ujar beliau,
Pertama kali berkunjung ke Sabah, penyanyi dan pelakon, Ziva Magnolya Muskitta, 24, sangat menghargai peluang yang diberikan kepadanya serta mengakui tidak sabar untuk bertemu dengan peminatnya di sana.
“Saya sangat bersemangat! Ini adalah kali pertama saya ke Sabah, dan saya janji akan berikan yang terbaik. Jumpa anda semua di SICC nanti,” kata pemenang ketiga Indonesian Idol musim kesepuluh (2019/20) ini.

Sementara itu, pemilik bernama penuh Jeandmesh Antonio Kamaleng, 28, ini menyifatkan festival ini sebagai ruang untuk mengeratkan hubungan sesama peminat serantau melalui muzik.
Andmesh yang pernah menjejakkan kaki di Sabah sebelum ini, mengakui beliau sangat menghargai kasih sayang yang diberikan peminat tempatan.
“Saya sangat senang kerana dapat menyatukan kekeluargaan ini melalui muzik. Kami akan beri persembahan terbaik dari segi susunan muzik, semangat dan pengalaman. Ini kali kedua saya ke Kota Kinabalu, semoga tidak mengecewakan” kata plantun lagu 'Cinta Luar Biasa' yang cukup popular sekali gus menaikkan namanya dalam kalangan peminatnya di Malaysia.
Penganjuran festival ini turut disokong erat oleh Tourism Malaysia sebagai sebahagian usaha memperkasa sektor pelancongan domestik menerusi penganjuran acara hiburan berskala besar. - KitaReporters.
