Suasana sebuah kampung di Perak yang menjadi latar belakang kepada teater Kampung Boy akan dipentaskan dengan adegan peristiwa lucu dan humor.

Poster Kampung Boy
Begitulah teater Datuk Lat: Kampung Boy yang diadaptasi daripada novel grafik The Kampung Boy karya Seniman Negara ke-9, Datuk Lat (Datuk Mohammad Nor Mohammad
Khalid) yang juga Seniman Diraja.
Khalayak yang melihat pementasan itu disajikan dengan selingan bahasa
pertuturan rakyat negeri Perak yang masih tidak lekang pada zaman ini.
Pengarah Ridhwan Saidi dan penulis skrip Saat Omar menggarapkan teater lakonan realisme ini dengan set pentas yang masih mengekalkan ciri tradisional kampung.
Begitu juga dengan latar belakang rumah kampung yang mempunyai langsir, tiang dan tingkap papan menggambarkan suasana kehidupan kampung yang begitu menarik dengan pelbagai kelucuan.

Teater ini diterjemahkan dari siri komik ikonik The Kampung Boy yang mengetengahkan kehidupan Datuk Lat sebagai seorang budak lelaki iaitu Lat.
Lat merupakan anak sulung dalam keluarga dan gemar bermain di hutan, sungai dan lombong bijih timah bersama kawan-kawannya. Lat membntu keluarga ketika berusia sembilan tahun dengan kemahiran melukis dan menjual komik-komik kepada rakan-rakannya.
Penampilan watak Lat semasa kanak-kanak yang dilakonkan oleh
Hadi Mikail dan bapa Lat (Pak Ya Sepahtu) serta emak Lat (Safura Yaacob), manakala
watak Lat Dewasa dilakonkan oleh Taiyuddin Bakar begitu mencuit khalayak.
Kenangan hidup Lat yang dibuat secara sorotan kembali kenangan
lama di Kampung Lalang, Kota Bharu, di Kampar, Perak membuktikan betapa
akrabnya jiran tetangga dan kehidupan di kampung yang sederhana, lucu dan mencuit
khalayak.
Begitu juga dengan guru sekolah Lat, Puan Hew (lakonan Sty Mat Desa) yang menyedari kebolehan Lat melukis komik semasa menuntut di sebuah sekolah di Ipoh setelah Lat berhijrah ke Ipoh.

Datuk Lat berkata, beliau membenarkan Kampung Boy
dipentaskan di Perak walaupun komik beliau tidak banyak dialog.
“Cerita rakyat ini berlaku sejak 60 tahun, saya melukis
berkaitan masyarakat. Pentas teater memerlukan banyak dialog bermakna, lucu dan
sedih. bezanya dengan komik yang saya lukis kerana tiada dialog,” katanya yang
menerbitkan buku The Kampung Boy sejak 40 tahun lalu.
Lat juga berbangga kerana dapat menonton teater ini kerana cerita
yang diketengahkan adalah campuran realiti dan fiksyen.
“Saya tinggalkan kampung dan pindah ke Sungai Rokan itu
memang cerita betul, Semua cerita yang saya lukis itu semasa saya tinggal di Sungai Rokam.
“Saya berpindah ke bandar kerana tarikan di bandar
menyebabkan keluarga saya berpindah ke bandar,” katanya pada pratonton teater
Kampung Boy di Auditorium JKKN di Ipoh pada 11 November 2025.
Kampung Boy pernah dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur dan diterbitkan dalam bentuk animasi dalam bahasa Melayu dan Inggeris di dalam dan luar negara.
Pengarah Jabatan kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak,
Hisham Mat Husien berkata, pementasan teater Kampung Boy adalah satu
penghormatan kepada Seniman Diraja, Datuk Lat.
“Karya seni ini membawa nilai tinggi dan mengangkat sebuah karya figura yang menjadi kebanggaan negeri Perak,” katanya.

Hisham Mat Husien (kanan) berbual dengan Lat (kiri) semasa Lat menghadiri pra tonton teater Kampung Boy di Ipoh.
Hisham berkata, pementasan teater ini berprestij tinggi apabila Sultan Perak Sultan Nazrin Shah akan berangkat menonton pementasan itu pada 15 November 2025 ini.
Teater Kampung Boy akan dipentaskan di Auditorium JKKN Perak di Ipoh selama tiga hari iaitu pada 14 hingga 16 November 2025 ini jam 8.30 malam.
Harga tiket RM25 (Orang awam) dan RM20 (pelajar, OKU dan warga emas).
Bagaimanapun tiket untuk menyaksikan pementasan itu telah habis
dijual kerana sambutan yang menggalakkan. - KitaReporters