Seni & Sukan 03 Dec, 2025

Seni silat zaman AI! Kurang diminati anak muda Melayu! Tapi dapat sambutan daripada bukan Melayu?

Share this

Dalam era kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai AI kini, penulis yakin ramai generasi masa kini tidak cenderung untuk mempelajari seni mempertahan diri silat kerana dianggap kolot dan tiada masa depan. 



 

Seni persilatan tidak lagi dianggap sebagai ilmu berkerperluan tinggi, malah kehadirannya dalam masyarakat hari ini hanya dikenali sebagai penyeri kepada acara sampingan dalam sesuatu majlis keramaian seperti majlis perkahwinan atau perasmian acara.

Pelbagai persepsi kurang tepat yang dilontarkan menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap kehebatan seni pertahanan Melayu yang kekuatannya pernah menjadi benteng penting kerajaan Melayu lampau, kini semakin pudar.

Saya sempat bertemu bersama Jurulatih Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia Kebangsaan (PSSGMK), Mohd Ariffin Hassan, 40, di mana sebagai penggiat seni silat, menjadi matlamatnya memperbetulkan persepsi buruk yang tular dalam media sosial dalam seni silat Melayu hari ini.



Amalan seperti penyediaan pengeras dan pulut kuning oleh sebahagian penggiat seni silat Melayu adalah antara sebahagian perbuatan khurafat yang menyebabkan seni silat kini semakin dijauhi.

"Tidak dinafikan antara sebab seni silat Melayu kurang mendapat perhatian ialah disebabkan persepsi masyarakat yang mengaitkan seni pertahanan ini dengan amalan khurafat tetapi di PPSGMK, kami tidak 'menghidupkan' seni silat dengan amalan sedemikian.

"Sebaliknya, ia ditonjolkan sebagai seni pertahanan diri asli yang mempunyai unsur ketauhidan tersendiri, sekali gus membawa insan untuk bergantung harap hanya kepada Allah SWT.

"Ini dilakukan supaya generasi muda hari ini dapat didekatkan dengan pertahanan diri 'asal' kaum Melayu dan meneruskan kesinambungannya pada masa depan, malah ibu bapa pula tidak mencurigai seni ini dan membenarkan anak mereka menyertainya," katanya ketika ditemui di gelanggang silat perkarangan Masjid Makam Lubok Batu, Segamat pada 1 Disember 2025.

Hadir sama Pengerusi Masjid Kampung Bendahara Lubok Batu, Mahzob Arshad dan Imam 1, Ustaz Ismail Rosli.



Pertemuan penulis bersama beliau sempena bengkel persilatan yang diadakan dengan bertujuan menyemarakkan kembali penggunaan seni silat tempur dalam kalangan anak tempatan dan penduduk sekitar kawasan perkampungan.

Mohd Ariffin juga mengakui seni pertahanan diri semakin popular berikutan kesedaran orang ramai untuk mempelajarinya bagi tujuan perlindungan diri.

Bagaimanapun, masih ramai generasi siber yang tidak menguasai kemahiran sesuatu seni pertahanan diri yang dipelajari disebabkan penekanan kepada konsep kehidupan dalam talian teknologi masa kini.

"Seni pertahanan diri silat Melayu tidak membenarkan pesilat mendabik dada serta memandang rendah pihak lawan kerana ia satu kesalahan kerana dianggap takbur serta riak.

"Memang peringatan sebegitu sesuai untuk diguna pakai dalam pertandingan dan ketika keadaan mendesak untuk mempertahankan diri agar sentiasa tidak alpa,” kongsi Ariffin kepada penulis.


 


Mohd Ariffin berkata, meskipun kurang mendapat sambutan dalam masyarakat Melayu sendiri, kehebatan seni silat Melayu mula membuka minat masyarakat bukan berbangsa Melayu malahan individu daripada luar negara.

"Orang bukan Islam yang mahu mempelajari seni silat Melayu ini disambut dengan tangan terbuka sesuai dengan ajaran akhlak muslim yang baik.

"Kebanyakan mereka turut mempelajari seni mempertahankan diri yang lain tetapi tarikan seni silat Melayu itu sendiri membawa mereka sering mahu menyertai seni persilatan di negara ini,"kata Ariffin lagi.



Sementara itu, seorang bapa yang juga salah seorang penduduk Kampung Bendahara Lubok Batu, Segamat, Hurauan Abu Hassan, 45, berkata, dia amat menggalakkan anaknya, Khalis Iman Hurauan, 8, untuk menyertai bengkel silat anjuran PSSGMK itu kerana mahu anaknya mewarisi kelebihan warisan Melayu sambil menimba ilmu berkenaan teknik tempur.

Hurauan yang juga terbabit dengan seni pertahanan diri sejak berusia 12 tahun lagi, berkongsi beliau gemarkan seni pertahanan diri kerana mahu mempersiapkan dirinya dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak terduga.

"Saya menggalakkan generasi muda menyertai bengkel persilatan di mana juga yang diadakan.

"Sebagai anak Melayu, kita harus bersikap terbuka menerima malah generasi terdahulu juga bersedia berkongsi pengetahuan mengenai seni silat Melayu sebelum ini.

"Malah, keturunan Melayu umumnya dalam memperkata seni pertahanan diri wajib menggalakkan waris menyertai seni pertahanan lain juga kerana tiada salahnya bagi menambah ilmu," kata Hurauan lagi. - KitaReporters

15
10
0
15
0
You will be interested