Seni & Sukan 03 Sep, 2025

Video| Cinderella naratif baharu! Gandingan tenaga Asyraf Nasir dan SonaOne! Macam main pingpong?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Setelah bergelut dalam bayang-bayang industri muzik selama beberapa tahun, penyanyi rap dan hip hop tempatan, Asyraf Nasir, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya, “Cinderella”, sebuah kisah dongeng moden penuh keyakinan.



Lagu ini merupakan sebuah naratif moden yang menceritakan perjalanan daripada seorang yang dipinggirkan kepada individu yang menjadi tumpuan. 

Berbeza dengan dongeng asalnya, lagu ini tidak memerlukan kasut kaca, sebaliknya hanya keyakinan diri dan gaya persembahan yang penuh santai. 

Dilancarkan sebagai lagu ‘feel good’ untuk golongan yang dipinggirkan atau ‘underdog’ moden, “Cinderella” meraikan saat di mana seseorang akhirnya melangkah ke cahaya dan mendapat perhatian, bukan dalam nada berat atau dramatik, tetapi dengan rasa seronok, nakal, dan penuh gaya.

Asyraf berkongsi bahawa lagu ini adalah manifestasi perasaan yang sering dialami oleh ramai individu.



"Cinderella adalah untuk sesiapa yang pernah rasa terpinggir, tetapi tahu dalam hati bahawa mereka punya sesuatu yang istimewa. 

"Lagu ini tentang keyakinan, tentang tiba-tiba semua mata memandang, dan anda menikmatinya sepenuhnya,” kongsi Asyraf.

Proses penghasilan lagu ini amat luar biasa. Hanya dalam tempoh dua hari, Asyraf bersama penerbit tersohor SonaOne berjaya merakamkan “Cinderella” dengan menggunakan rakaman ‘first take’ atau rakaman pertama bagi mengekalkan tenaga spontan yang segar. Sama seperti lagu sebelumnya “Virus”, lima tahun lalu (2020).

Kerjasama kreatif ini menghasilkan bunyi yang jujur dan asli. 

“Kita tak overthink. Apa yang anda dengar adalah hasil tangkapan babak sebenar. Jujur dalam cara terbaik,” jelasnya.

Menurut Asyraf, kerja berpasukan bersama SonaOne disifatkan sebagai pengalaman yang membuka mata. 


Asyraf bersama penerbit dan rakan kolaborasinya SonaOne (kiri) berjaya menangkap tenaga spontan yang segar di studio.


“Dia tahu bila nak bina ruang dan bila nak naikkan tenaga. Rasanya macam main pingpong -- idea saya lempar, dia balas, dan tiba-tiba lagu ni jadi hidup,” tambah Asyraf. 

Uniknya, melodi pembukaan lagu yang menggunakan bunyi ‘eccentric synth piano’ diambil daripada sebuah lagu lama Malaysia yang diolah semula dengaan sentuhan moden.

Walaupun lagu ini baru dilancarkan, “Cinderella” sebenarnya bermula sebagai sebuah demo pada tahun 2020. 

Versi demo tersebut amat melekat pada telinga Asyraf dan rakan-rakan pemuziknya sehingga tiada perubahan drastik dilakukan pada versi akhirnya. 

“Kita perbaiki adunan muzik, tapi kita kekalkan rasa asal. Saya percayakan KidKenobi untuk hasil akhir,” jelasnya.

Fakta menariknya, tajuk asal lagu ini ialah “Condifento”, hasil gurauan spontan ketika proses mencipta rentak.

Apa pun dengan memilih “Cinderella”, Asyraf bukan sahaja mengetengahkan sisi baharunya, malah membuktikan bahawa kisah dongeng juga boleh hadir dengan rentak hip hop, penuh keyakinan dan gaya tersendiri.

“Anda sedang menyaksikan babak pertama fasa baru saya. Setiap lagu akan ada watak dan personalitinya sendiri, macam karakter dalam filem. Saya mahu pendengar tenggelam dalam fantasi itu,” sambungnya. - KitaReporters


12
10
0
14
0
You will be interested