Seni & Sukan 05 Nov, 2025

Nota Tepi Padang| Peminat terkejut sebab FAM terkejut! Lawan tetap lawan! Kalau kalah, letak jawatan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

SUDAH terang lagi bersuluh! 

Keputusan Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman dikenakan oleh badan induk dunia itu ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan jelas membuktikan mereka yang terbabit memang bersalah.


YUSOFF MAHADI


Justeru, apabila FAM menerusi kenyataan pemangku presidennya, Datuk Wira Yusoff Mahadi menzahirkan rasa terkejut dengan keputusan FIFA itu, ramai kalangan peminat bola sepak negara turut menyatakan rasa terkejut kerana FAM terkejut!

Reaksi sinis peminat itu menunjukkan mereka sudah menjangkakan keputusan FIFA. Bagi mereka tiada apa yang mengejutkan, ia sudah dijangka kerana bukti kesalahan yang didedahkan badan induk berkenaan memang sukar ditangkis oleh FAM.

Bukti pemalsuan dokumen pemain warisan yang menjadi asas kepada hukuman oleh FIFA tidak mampu dinafikan oleh FAM hanya bersandarkan hujah berlaku kesilapan teknikal.


Kredit: Palatao Bola.


Malah, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam sidang media pada 25 Oktober, 2025 lalu percaya FIFA tidak akan mengubah keputusan sebaliknya mungkin sekadar akan mengurangkan denda, mengenakan pemotongan mata dan meringankan hukuman penggantungan ke atas pemain. 

Kalau sudah tokoh berpengaruh seperti Tunku Ismail sendiri tidak yakin rayuan FAM akan berjaya, badan induk itu tidak sepatutnya rasa terkejut dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November, 2025.

Jawatankuasa itu mengekalkan hukuman denda CHF350,000 (RM1.8) juta ke atas FAM serta penggantungan selama 12 bulan ke atas tujuh pemain warisan. 

Ketujuh-tujuh pemain terbabit, Gabriel Arrocha, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel turut didenda sebanyak CHF 2,000 (RM 10,600). 


TUJUH pemain warisan yang digantung FIFA. - Kredit foto: Pencinta Bolasepak Malaysia.


Kini, jalan terakhir untuk FAM membersihkan nama adalah dengan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), langkah seterusnya yang memang akan dilakukan oleh badan induk itu walaupun ada yang beranggapan ia sekadar membuang masa, tenaga dan wang.

Malah, ramai tidak yakin rayuan ini akan memihak kepada FAM, oleh itu menyarankan agar badan induk itu tidak meneruskan niat sebaliknya ‘menutup buku’ dengan menerima hukuman dikenakan FIFA dan bergerak ke hadapan.

Tapi bagi penulis, selagi ada ruang untuk membuat rayuan, kita gunalah peluang berkenaan. Kalaupun kita ditakdirkan tewas juga dalam perhitungan terakhir itu, sekurang-kurangnya FAM sudah mencuba sehabis daya.

Walaupun ada beranggapan tidak guna ‘menegakkan benang basah’ tapi FAM patut diberi peluang menggunakan haknya untuk merayu kepada CAS. 


BARISAN kepemimpinan FAM 2025-2029 yang dipilih pada Kongres Tahunan FAM ke-61.


Cuma, penulis berharap, jika rayuan kepada CAS kelak, juga tidak berpihak kepada FAM, seluruh kepemimpinan badan induk bola sepak negara itu perlu mengambil tanggungjawab dengan MELETAK JAWATAN!

Malah, penulis juga berharap Jawatankuasa Siasatan Bebas yang ditubuhkan oleh FAM untuk menyiasat kes berkenaan turut bertindak telus mengenal pasti siapakah dalang sebenar di sebalik tragedi hitam ini tanpa menjadikan orang lain sebagai ‘kambing hitam’!

Isu ini telah ‘mengharumkan’ nama Malaysia di mata dunia atas faktor yang salah. Ia bukan lagi mengenai bola sepak sebaliknya turut mengheret kerajaan Malaysia seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang meluluskan permohonan kewarganegaraan pemain-pemain warisan itu.



Ia ibarat seekor kerbau membawa lumpur, habis terpalit semua kerbau. Jadi, kini menjadi tanggungjawab FAM membersihkan lumpur itu.

Teruskan niat mencari keadilan menerusi CAS!

Tapi, ingat, jika gagal, silalah berundur kerana FAM perlukan pemimpin yang lebih berintergriti dan berwibawa! - KitaReporters

 

 

 

5
9
0
18
0
You will be interested