Seni & Sukan 19 Dec, 2025

Pahit jerih, penat lelah berbaloi! Kontinjen kita lepasi sasaran 200 pingat Sukan SEA Thailand 2025!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Kontinjen Malaysia boleh menarik nafas lega apabila mencapai sasaran 200 pingat di Sukan SEA Thailand 2025 ketika temasya dwitahunan itu dijadual berakhir pada Sabtu, 20 Disember 2025.

Angka keramat 200 yang membolehkan kontinjen negara melepasi sasarah pingat Sukan SEA Thailand 2025.


Kejayaan tersebut diraih selepas skuad berbasikal trek negara menghadiahkan pingat emas dalam acara kejar-mengejar berpasukan lelaki di Velodrom Hua Mark, Bangkok pada 18 Disember 2025. 
Kuartet negara Azim Aliyas, Hafiq Jafri, Yusri Shaari dan Newjoe Lau mempamerkan kayuhan bertenaga pada perlumbaan akhir untuk menewaskan pasukan tuan rumah Thailand yang dibarisi Nattakrit Kaeonoi, Thak Kaeonoi, Thurakit Boonratanathanakorn dan Putipong Chaloemsrimueang, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Menerusi perkembangan tersebut, setakat 19 Disember 2025, menyaksikan Malaysia mengutip 204 pingat dengan 46 emas, 49 perak dan 109 gangsa untuk berada di tangga kelima di belakang Singapura, Vietnam, Indonesia dan tuan rumah, Thailand yang gah memimpin carta dengan 197 kilauan emas setakat Jumaat 19 Disember 2025.

Skuad berbasikal trek merakam momen indah setelah meraih pingat emas dalam acara kejar-mengejar berpasukan lelaki.

Atlet Muay Thai, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar turut melakar sensasi apabila menghadiahkan pingat emas buat negara, meskipun berdepan tekanan hebat penyokong tuan rumah.
Beraksi di Stadium Tinju Lumpinee, atlet berusia 16 tahun yang lebih dikenali sebagai Miki itu menewaskan petarung Thailand, Sirilun Suphakon dengan keputusan 29-28 dalam pertarungan kategori bawah 55 kilogram (kg).

Lebih manis, kejayaan itu disaksikan dan dibimbing oleh abangnya yang juga bintang ONE Championship, Johan Ghazali, yang bertindak sebagai 'jurulatih' di tepi gelanggang.

"Saya tak kisah sangat semua itu. Kalau abang naik popular, Miki tak kisah pun. Alhamdulillah, semua sama-sama naik.

"Siapa yang tak menangis lepas menang emas Sukan SEA. Lagi-lagi saya baru 16 tahun. Syukur Alhamdulillah," ujar Miki.


Miki mengungguli kategori 55kg untuk meraih emas setelah menundukkan petarung tuan rumah.

Skuad sepak takraw juga berada dalam kelas tersendiri apabila memadam kemarau emas lebih tiga dekad, malah lebih manis kejayaan dalam acara regu berpasukan lelaki itu diraih setelah menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-1 di Nakhon Pathom.

Air mata kegembiraan jelas terpancar pada wajah ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun yang kali terakhir dimenangi semasa Sukan SEA Filipina di Manila pada 1991 ketika beliau bergelar sebagai pemain.

Beliau berkata, 34 tahun adalah tempoh yang cukup lama, namun berkat kesabaran dan semangat tidak pernah luntur akhirnya Malaysia menggenggam kilauan emas dalam acara regu berpasukan lelaki sepak takraw Sukan SEA.

"Ketika perlawanan itu, tekanan memang terasa, tetapi saya berserah kepada Tuhan dan bertawakal. Apa yang penting, anak buah tidak melakukan kesilapan mudah," katanya.


Wajah ceria pemain negara yang meraih pingat emas sepak takraw Sukan SEA selepas menewaskan Thailand 2-1 di Nakhon Pathom.


Di gelanggang badminton pula, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk merangkul pingat emas.

Kejayaan itu bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila gandingan nombor dua dunia itu dipaksa bekerja keras selama 86 minit sebelum dapat menundukkan wakil Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17.

Lebih manis, kejayaan Pearly-Thinaah di Gimnasium Universiti Thammasat, Rangsit itu menamatkan kemarau 10 tahun Malaysia gagal memenangi pingat emas menerusi acara beregu wanita.

Kali terakhir pasangan negara memenangi emas sebelum ini adalah menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

"Macam tak percaya...tiba-tiba perlawanan habis. Kami sebenarnya tak fikir terlalu banyak, kami hanya mahu menikmati perlawanan dan tidak mahu berasa kecewa selepas tamat perlawanan," kata Pearly.


Kejayaan Pearly-Thinaah di Gimnasium Universiti Thammasat, Rangsit itu menamatkan kemarau 10 tahun Malaysia gagal memenangi pingat emas menerusi acara beregu wanita.


 

Di Stadium Nasional Suphachalasai pada 13 Disember 2025 pula, Jonah Chang Rigan mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau 32 tahun Malaysia setelah mengungguli acara lontar peluru lelaki di Sukan SEA. 

Kejayaan itu bukan sekadar emas, namun ia lebih manis apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri serta rekod temasya menerusi lontaran sejauh 18.78 meter (m).

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara berkenaan adalah pada edisi 1993 di Singapura menerusi lontaran Arjan Singh, sekali gus menjadikan kejayaan Jonah sebagai satu pencapaian bersejarah selepas lebih tiga dekad penantian.

Rekod kebangsaan sebelum ini milik Jonah adalah 18.66m yang dicatatkan pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) pada September 2025 lalu, manakala rekod temasya lama ialah 18.14m milik atlet Filipina, William Morrison yang dilakukan pada edisi 2022.

Meskipun melakar rekod kebangsaan dan temasya, Jonah mengakui kurang berasa puas kerana tidak dapat memenuhi impiannya untuk melakukan lontaran sejauh 19m.

"Bersyukur dapat memperbaharui rekod kebangsaan dan rekod Sukan SEA kerana itulah sasaran utama saya. Namun sasaran kedua mahu lakukan lontaran sejauh 19m tidak berjaya.

"Berasa gembira, tetapi ada juga sedih. Saya dapat rasakan berada pada prestasi terbaik. Cuma mungkin teknik saya tak berapa menjadi. Tidak mengapa, tetap bersyukur," katanya.


Jonah melakar sejarah apabila menamatkan kemarau 32 tahun Malaysia setelah mengungguli acara lontar peluru lelaki.

Dalam pada itu, di venue sama, Andre Anura Anuar menebus kekecewaan gagal mempertahan pingat emas acara lompat kijang dengan mendominasi acara lompat jauh apabila melakukan lompatan sejauh 7.71 meter (m).

Lebih manis Andre menamatkan kemarau 22 tahun Malaysia untuk memenangi acara berkenaan selepas kali terakhir dimenangi Mohd Shahrul Amri Suhaimi pada edisi 2003 di Hanoi, Vietnam.

"Acara lompat jauh memang lebih banyak tekanan. Kalau tengok catatan peribadi terbaik ketiga-tiga atlet terbaik harinya, kesemuanya pernah lakukan catatan lebih 8m.

"Namun saya tahu kemampuan saya dan cuba kekal bertenang. Akhirnya saya berjaya juga memenangi pingat emas," katanya.


Andre menamatkan kemarau 22 tahun Malaysia untuk memenangi pingat emas bagi acara lompat jauh.


 

Sementara itu, dua kegagalan lalu, air mata kekecewaan dan pulang dengan tangan kosong tidak pernah mematahkan semangat Nur Syafiqah Hamzah.

Sebaliknya, ia menjadi pemangkin yang membakar tekad pesilat wanita negara dalam acara tunggal Puteri itu sehingga akhirnya menghadiahkan pingat emas.

Penampilan pertama Syafiqah pada edisi 2019 di Filipina berakhir tanpa sebarang pingat, diikuti nasib sama pada Vietnam 2021, namun tiada istilah putus asa buat atlet silat seni dari Kelantan itu.

Usahanya mula menampakkan hasil apabila meraih pingat perak di Kemboja 2023, tewas kepada juara dunia dari Indonesia, Puspa Arumsari.

Kekalahan itu bukan titik noktah, malah menjadi pemangkin kepada keyakinan luar biasa bahawa emas mampu menjadi miliknya pada edisi kali ini.

Dengan ketenangan dan keyakinan tinggi, Syafiqah bangkit membalas dendam apabila menang 9.955-9.930, sekali gus memadam kenangan pahit tewas pada final di Phnom Penh.

Kemudian, pada aksi final di Impact Arena, atlet berusia 31 tahun itu tampil kemas dan bertenaga untuk mencatat markah 9.960, menewaskan wakil Brunei, Nur Wasiqah Aziemah Rosihan yang mengumpul 9.920 untuk menghadiahkan emas pertama buat kem silat negara pada temasya kali ini.

Lebih manis, kejayaan Syafiqah dianggap mengejutkan kerana dia tidak disenaraikan sebagai prospek emas Malaysia.

"Perasaan semasa pusingan awal tetap ada rasa berdebar, tetapi tidaklah terlalu takut. Mungkin sebab masih pusingan awal dan masih tak 'panas' lagi.

"Sebenarnya sudah banyak kali jumpa dia (Puspa), jadi saya tahu permainan dia. Dari pengalaman itu, saya sentiasa cuba perbaiki diri. Saya cuba yang terbaik dan Alhamdulillah dapat tewaskannya di separuh akhir," katanya.


Nur Syafiqah meraih pingat emas dalam acara tunggal puteri.

Liku skuad bola sepak, bawah 23 tahun (B-23) negara juga tidak kurang hebatnya apabila kembali ke podium selepas lapan tahun dan pengendalinya, Mohd Nafuzi Zain menyifatkan perjuangan dan pengorbanan mereka wajar dibanggakan.

Katanya, sejak awal persiapan, pasukan berdepan pelbagai cabaran termasuk pemain yang tidak dilepaskan kelab, kekurangan pemain, penggantungan, serta kecederaan.

"Kalau nak ikutkan cerita Sukan SEA ini, dari awal persiapan hingga kini, kita boleh buat buku tentang liku-liku perjalanan pasukan. Pemain tidak pernah cukup, ada yang masuk, ada yang keluar, ada yang digantung, ada yang cedera.

"Sehingga ke akhirnya, kita seolah-olah berperang. Ada pemain yang bertongkat, berbalut bahu. Itu semua adalah pengorbanan dan satu perjuangan untuk negara yang saya rasa kita patut bangga," katanya.

Dalam pertembungan menentang Filipina pada 18 Disember 2025 itu, skuad Harimau Muda melakar kemenangan 2-1 untuk merangkul pingat gangsa.


Pasukan bola sepak B-23 tidak pulang tangan kosong apabila meraih gangsa setelah menewaskan Filipina 2-1.

Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Muda kembali menaiki podium buat pertama kali sejak meraih perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir tanpa pingat pada tiga edisi terdahulu. - KitaReporters

12
8
0
11
0
You will be interested