Seni & Sukan 17 Nov, 2023

Skuad Atma Tari SK Sungai Udang hebat! Perkasa seni tarian tradisional Melayu! Bentuk siasah murid!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


DALAM usaha memperkenal, mengekalkan serta memberi pendedahan tarian tradisional masyarakat Melayu, Sekolah Kebangsaan Sungai Udang (SKSU), Klang, Selangor, mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Atma Tari sejak 2020.

Atma bermaksud ‘Nyawa’ dalam Bahasa Melayu Lama, suatu nama yang indah dan sesuai dengan penubuhan skuad tari SKSU sebagai usaha ‘kerdil’ murid sekolah dalam membantu mengembalikan kegemilangan tarian tradisional Melayu yang semakin mereput ditelan zaman.

Langkah itu juga secara tidak langsung bertepatan dengan semangat yang ingin disuntik dalam diri murid SKSU khusus kepada setiap ahli dalam skuad tari itu supaya turut berasa bertanggungjawab mempopularkan semula tarian tradisional masyarakat Melayu yang begitu gah suatu ketika dahulu.

Di samping itu skuad berkenaan juga mendidik ahlinya untuk lebih berdisiplin dan berdedikasi dalam pelbagai aspek kerana itu juga antara matlamat lain penubuhan Skuad Atma Tari untuk memastikan murid SKSU mengetahui seni tari Melayu serta tarian dan budaya daripada etnik lain di Malaysia serta memastikan budaya tempatan tidak dilupakan oleh generasi sekarang.


Skuad Atma Tari bersama sebahagian ibu bapa yang sentiasa memberi suntikan semangat bagi meraih kejayaan.


Pengurus Skuad Atma Tari, Cikgu Hasnan Zakaria, berkata skuad itu pada asalnya merupakan pasukan tarian di bawah Kelab Kebudayaan Sekolah, apabila pada peringkat awalnya adalah hanya untuk memenuhi kriteria yang perlu ada dalam pasukan kebudayaan sekolah.

Menurutnya, skuad tari berkenaan adalah cetusan idea pentadbiran SKSU yang inginkan supaya bakat murid berkenaan dapat dikembangkan lagi bukan hanya di sekolah dan dalam daerah sahaja sebaliknya boleh terus diketengahkan pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Tambahnya, sehubungan dengan itu Skuad Atma Tari yang ditubuhkan itu bukan setakat memberikan pendedahan yang bukan sahaja berfokuskan tarian tradisional masyarakat Melayu seperti zapin, joget, inang dan tarian asli, malah pelbagai tarian dan budaya daripada pelbagai etnik lain di Malaysia. 

Bertitik tolak daripada itu, Skuad Atma Tari SKSU diperkukuh dengan adanya latihan berkala pada setiap bulan di luar waktu persekolahan bagi memastikan murid terbabit tidak terganggu proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di dalam bilik darjah mereka.

Pasukan itu dilatih secara profesional oleh jurulatih tari yang dilantik oleh SKSU daripada Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor. 

Hasil kegigihan serta kesungguhan skuad itu aktif dalam mengadakan persembahan serta mengikuti pertandingan yang dianjurkan sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan juga peringkat kebangsaan.

“Bagaimanapun Skuad Atma Tari SKSU ini turut dibelenggu cabaran dan juga masalah terutama dari segi kewangan selain masa untuk diperuntukan bagi menjalani latihan. Kewangan adalah kekangan paling utama kepada skuad tari itu kerana keperluan untuk membayar jurulatih, penyediaan busana mengikut tema yang diperlukan, pembeliaan alatan serta props tarian disamping pengurusan setiap kali pertandingan yang diikuti,” terang Cikgu Hasnan.


Skuad Atma Tari Sekolah Kebangsaan Sungai (SKSU) Klang, Selangor merakam kenangan gaya tarian tradisional Melayu pada Festival TARI Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Sementara itu, Guru Besar SKSU, M Khalimi Dalhan, berkata penubuhan Skuad Atma Tari itu dilihat selari dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tidak mahu sekolah hanya memfokuskan kepada kaedah untuk melahirkan murid yang cerdik semata-mata, tetapi mempunyai sahsiah diri yang baik.  

Menurut beliau, melalui penglibatan dalam skuad tari itu, murid terbabit mengalami perubahan dari segi disiplin terutama apabila hadir untuk mengikuti latihan yang diadakan dan juga pada setiap kali pertandingan disertai dan secara tidak langsung bertepatan dengan konsep anak Baik lagi Cerdik (ABC) yang dianjurkan oleh KPM.

Katanya, melalui pembabitan dalam skuad tari itu, murid bukan sekadar belajar di sekolah, mereka juga dididik untuk menjadi modal insan berilmu dan berakhlak mulia sebagai pewaris negara pada masa hadapan.

Tambahnya, pembabitan dalam skuad tari itu juga adalah salah satu inisiatif untuk memastikan murid SKSU bukan hanya mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik namun pada masa sama untuk melahirkan murid mempunyai sahsiah yang baik.

M Khalimi berkata, SKSU menyokong penuh penyertaan kelab sebegini kerana ia juga boleh mempromosikan sekolah secara tidak langsung dalam membangunkan potensi murid serta menyuburkan sikap cintakan warisan budaya Melayu melalui kokurikulum.


M Khalimi Dalhan (kiri) dan Cikgu Hasnan Zakaria menunjukkan antara kostum Skuad Atma Tari SKSU.


Jelas beliau, kepada guru pula ia menimbulkan keseronokan untuk berkarya selain memberi terapi di samping tugasan hakiki di dalam kelas yang juga secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan melaksanakan tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Di samping itu, beliau juga berpendapat penubuhan Skuad Atma Tari ini juga bertepatan dengan konsep ABC, kerana selari dengan tujuh teras utama yang menjadi tunjang KPM, iaitu aspek “Karamah Insaniah” melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam diri seseorang murid.

Terangnya, skuad itu juga dilihat salah satu program yang meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak mereka. Ibu bapa secara langsung terbabit dalam setiap kali latihan dan juga pertandingan yang disertai oSkuad Atma Tari.

“Sokongan dari segi kewangan dan juga moral diberikan sepenuhnya oleh ibu bapa atau penjaga secara total dalam usaha kemenjadian murid di SKSU malah Skuad Atma Tari komited dalam melahirkan murid yang bukan hanya terbaik dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulum dalam usaha melahirkan murid bersahsiah tinggi dan berpekerti mulia.

Skuad Atma Tari berpeluang ke peringkat antarabangsa pada Festival Belia Folklore Asia Pasifik.


“Skuad Atma Tari walaupun masih baru dalam bidang tarian, dalam masa yang singkat berkat kesungguhan murid terbabit SKSU mampu bersaing dengan nama-nama hebat yang telah lama berkecimpung dalam bidang seni tari ini.

“Jika diberikan lebih banyak peluang dan ruang Skuad Atma Tari mampu melangkah dengan lebih jauh lagi serta melahirkan anak-anak seni tari yang setanding dengan pasukan tarian yang sedia ada,” ujarnya.

Antara penyertaan serta penglibatan dan kejayaan tiga tahun terakhir Skuad Atma Tari itu termasuklah pada 2022 tempat kelima Gala Keseniaan Peringkat Negeri Selangor anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan persembahan jemputan sempena Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam.

Manakala sepanjang 2023 Skuad Atma Tari menyertai Pertandingan Festival Apresiasi Seni Untuk Semua anjuran JPN Selangor dan merangkul tempat ketujuh pada Festival Tari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) peringkat kebangsaan, anjuran UKM.

Pada 2023 juga Skuad Atma Tari muncul johan pada Pertandingan Tarian Muhibbah sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Anjuran i-City Mall, peringkat Negeri Selangor, meraih Anugerah Pasukan Harapan, Pertandingan Bestari PJ anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya, peringkat Negeri Selangor, persembahan jemputan sempena K-SeManis peringkat antarabangsa anjuran PPD Klang dan persembahan jemputan sempena persaraan pegawai angkat SKSU, di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang. - KitaReporters


Skuad Atma Tari merakam kenangan di depan bangunan utama SKSU yang memberi peluang kepada mereka mendalami ilmu tarian tradisional masyarakat Melayu.

26
16
0
11
0
You will be interested