Seni & Sukan 06 Sep, 2023

Video| Kematian dicemburui! Lebih 3,000 hadir pada pengebumian Hattem Rashdi! Seorang yang baik hati!

@jamliah abdullah
Penulis konten & pemberita sambilan. Cintai alam semula jadi & makanan. Suka menulis untuk membantu yang memerlukan. Anda punyai kisah menarik untuk dikongsi, emelkan ke [email protected]

Share this



DUNIA permotoran dikejutkan dengan kematian pelumba drag profesional, Muhammad Hattem Rashdi, 22, pada Isnin, 4 September setelah lebih 12 jam bertarung nyawa.

Anak kelahiran Kedah ini terlibat dalam kecelakaan ketika menyertai Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 di Pekan, Pahang sehari sebelum ini (3 Ogos 2023). 

Allahyarham yang menceburi sukan tersebut sejak 2016 disahkan meninggal dunia pada 2.29 petang, Isnin itu ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang dipercayai akibat pendarahan teruk pada kepala.

Jenazah anak bongsu daripada lima beradik ini selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Padang Lalang, Alor Janggus di Kubang Rotan, Kuala Kedah pada Selasa (5 September 2023). 


MUHAMMAD HATTEM RASHDI  


Paling mengharukan pemergian remaja berkenaan bukan sahaja ditangisi keluarga dan sahabatnya malah semua yang mengenalinya dalam media sosial.

Upacara pengebumian Allahyarham itu dihadiri lebih 3,000 orang termasuk pengikut media sosial yang datang dari seluruh negara.

Menurut kakak Allahyarham, Noor Amalia Rashdi, 27, keluarganya sendiri terkejut dengan kehadiran orang ramai itu yang mengambarkan arwah seorang yang sangat disayangi ramai.

Noor Amalia ketika ditemui memberitahu, orang ramai sudah menunggu di hadapan rumah mereka di Kampung Padang Lalang seawal 4 pagi, pada Selasa itu selepas mengetahui tentang kematiannya.


Muniroh Ahmad (dua dari kiri) ditenangkan oleh rakan.  


“Kami sekeluarga merasa terharu dan sayu kerana begitu ramai rakannya yang hadir. Banyak juga yang kami tidak kenali dan mereka datang dari Johor, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak mengetahui apa amalan yang dilakukan oleh Allahyarham ketika hayatnya namun tidak menafikan Muhammad Hattem seorang anak yang sentiasa taat kepada ibu bapa mereka dan baik hati.

“Arwah juga suka tolong orang dan suka bersedekah. Mungkin kerana sikapnya itu arwah disayangi ramai,” ceritanya.

Bercerita lanjut katanya, jenazah Allahyarham juga diusung oleh rakan-rakannya dari rumah ke masjid berkenaan untuk dikebumikan.

Noor Amalia juga memberitahu Allahyarham turut menghadiahkan sebentuk cincin kepadanya dan ibu mereka, Muniroh Ahmad, 58, pada bulan lepas sempena hari lahir mereka.

Seorang lagi kakak Muhammad Hattem, Noorasyikin, 36, berkata, Allahyarham menunjukkan sikap agak luar biasa apabila keluar dari rumah untuk ke Pekan pada pukul 4 petang, Jumaat lepas (1 September).

“Dia keliling rumah bersalam dengan kami semua dan kelihatan gelisah seolah-olah tidak mahu pergi. Sebelum keluar rumah arwah tinggalkan pesan, ‘Doakan chek,” ceritanya.


Allahyarham Muhammad Hattem Rashdi di samping keluarga.


Bagi ibu kesayangan Allahyarham yang juga penyokong kuat kariernya itu, warga emas ini luluh namun reda dengan ketentuan Allah itu.

Menurut Munirah, dia menonton sendiri kemalangan anak kesayangannya itu yang disiarkan secara langsung oleh penganjur pada malam kejadian kira-kira pukul 1 pagi.

 “Saya tonton ‘live’ perlumbaan itu saya nampak arwah terjatuh tetapi saya ingat tak serius sebab bukan kali pertama arwah kemalangan. Tetapi hati saya rasa tak sedap apabila ‘live’ itu tiba-tiba ditamatkan.

 “Saya terus menelefon adik yang mengiring arwah ke perlumbaan itu sebelum dia menunjukkan gambar kemalangan. Kami rasa tak sedap hati terus berangkat ke Kuantan,” katanya. - KitaReporters


14
14
0
13
0
You will be interested