Seni & Sukan 08 Jun, 2024

Pemergian The Tanker, Hasli Ibrahim! Bantu Singapura juarai Piala Malaysia pada 1977 dan 1980!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

HASLI Ibrahim (berdiri, dua dari kiri) bersama-sama pasukan Singapura dalam kempen Piala Malaysia 1981 di mana mereka muncul naib juara.  


HASLI atau nama sebenarnya, Haslir Ibrahim kerap bergandingan di barisan belakang dengan 'Tembok Gibraltar' yang juga kapten Singapura, Samad Allapitchay. - Kredit foto: BHS


BEKAS benteng bola sepak Singapura yang sering mewarnai siri perseteruan Piala Malaysia dengan Selangor pada era 70-an dan 80-an, Hasli Ibrahim meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 pagi pada 7 Jun 2024.

Allahyarham atau nama sebenarnya, Haslir Ibrahim kembali ke rahmatullah dalam usia 73 tahun di rumahnya di Jalan Tampines akibat lama menghidap penyakit radang paru-paru, dipetik daripada portal Berita Harian Singapura.

Bekas bek kiri yang pernah digelar ‘The Tanker’ (Kereta Kebal) oleh rakan sepasukan Singapura, meninggalkan seorang balu dan enam anak. Dia dilahirkan pada 8 Ogos 1950 dan pernah bekerja sebagai ejen kargo.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Pusara Aman, Singapura selepas disolatkan di Masjid Al-Istighfar dan solat Jumaat pada petang, 7 Jun 2024.


HASLI Ibrahim (berdiri, dua dari kanan) anggota skuad Singapura yang menentang Selangor yang menewaskan pelawat 3-0 menerusi dua gol Mokhtar Dahari dan John Engkatesoo (depan, empat dan dua dari kiri) pada final Piala Malaysia 1976 di Stadium Merdeka. 


Hasli merupakan anggota skuad juara Piala Malaysia pada 28 Mei 1977 dan 28 Jun 1980 setelah Singapura menewaskan Pulau Pinang 3-2 dan Selangor 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Dia turut menjaringkan gol pertama skuad republik pada minit ke-33 perlawanan akhir Piala Malaysia tanggal 10 Jun 1978 di stadium sama susulan sepakan sudut S. Rajagopal biarpun mereka ditumpaskan oleh Selangor 4-2.   

Singapura yang dianggotainya turut tewas kepada Selangor dalam tiga lagi final Piala Malaysia, 1-0, 3-0 dan 4-0 pada 1975, 1976 dan 1981 juga di Stadium Merdeka.


HASLI Ibrahim (dua dari kiri) saling mengasak dengan penyerang Malaysia, Isa Bakar Abu Bakar dalam perlawanan Kumpulan 1 Kelayakan Piala Dunia 1977 di Stadium Nasional, Singapura. Samad Allapitchay di kanan.  


Pada 6 Mac 1977, Hasli dan pasukannya mengejutkan Malaysia yang dikendalikan oleh M. Kuppan (mendiang Datuk) 1-0 di depan hampir 60,000 hadirin Stadium Nasional, Singapura dalam perlawanan Kumpulan 1 Kelayakan Piala Dunia.

Dia didapati menerjah bek kiri, D. Devandran (Allahyarham Hanis Devandran Abdullah) dalam kotak penalti pada babak pertama namun Toshio Asami enggan memberikan sepakan penalti – antara siri tindak-tanduk pengadil dari Jepun itu yang dianggap berat sebelah dan 'merompak' kemenangan skuad negara.


SINGAPURA dengan Hasli Ibrahim (tiga dari kiri, barisan kedua) yang berdepan Selangor dalam final Piala Malaysia 1978.

12
14
0
10
0
You will be interested