Seni & Sukan 11 Jul, 2024

Terbaiklah AFF! VAR jadi hakim baharu Kejohanan ASEAN! Tiada lagi lakonan, tiada lagi berat sebelah!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

AFF melaksanakan sistem VAR sejak Kejohanan B-16 ASEAN dan meneruskannya pada pertandingan tertinggi anjurannya, Kejohanan ASEAN 2024 atau dulunya digelar Piala AFF. - Kredit foto: AFB


PARA Ultras Malaya pasti masih teringat bagaimana ‘lakonan menjadi’ pemain Vietnam, Doan Van Hau pada perlawanan Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 27 Disember 2022.

Adegan pura-puranya dikasari Azam Azmi Murad sedangkan dia terlebih dulu mengasak telah mempengaruhi pengadil, Ryuji Sato mengenakan kad merah kepada bek kanan Harimau Malaya ini pada minit ke-62 malah mempengaruhi kekalahan 3-0 pasukan kita.

Pada pandangan pengadil Jepun itu, dia yang menghentak kakinya sebagai tindak balas terhadap lawan ketika mereka rebah di luar padang selepas perebutan bola di tepi garisan.

Sato turut memberikan penalti 'tidak sah' kepada tuan rumah yang dijaringkan oleh Que Ngoc Hai biarpun para pemain Harimau Malaya berkeras mempertikai keputusannya sehingga perlawanan tergendala beberapa minit.


DOAN Van Hau (jersi merah) kononnya merintih kesakitan akibat dihentak kaki Azam Azmi Murad selepas rebah mengasak bek kanan Malaysia itu. 


Lebih memberangkan Ekor-Ekor Harimau Malaya ialah apabila pemain Terengganu FC itu turut didenda RM4,403 serta digantung dua perlawanan berikutnya oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

‘Overacting’ dan sikap berat sebelah sebegini dijangka terhapus dengan pengenalan sistem Pengadil Berbantukan Video (VAR) oleh AFF pada Kejohanan ASEAN (nama baharu Piala AFF) pada 23 November hingga 21 Disember 2024.

Siaran media AFF pada 4 Julai 2024 melaporkan, teknologi VAR yang mengesan kemungkinan kecuaian pengadil dan ‘belang’ sebenar para pemain mahupun jurulatih di padang, bakal dilaksanakan pada kejohanan edisi ke-15 itu.   


PIALA AFF mula dipertanding pada 1996 dan pernah bertukar nama kepada Kejohanan AFF tetapi atas sebab penaja utama sebelum kini dijenamakan semula sebagai Kejohanan ASEAN. - Kredit foto: AFF


Namun Kejohanan ASEAN 2024 menurut persekutuan, menjadi pertandingan keempat dalam kalendarnya menggunakan VAR selepas diperkenal dalam Kejohanan Bawah 16 Tahun ASEAN di Surakarta, Indonesia pada 23 Jun hingga 3 Julai 2024.

Dua lagi pertandingan yang akan menyusulinya ialah Kejohanan B-19 ASEAN dari 17 hingga 29 Julai 2024 dan Kejohanan Kelab ASEAN 2024/2025 dari 21 Ogos 2024 hingga 21 Mei 2025.

Malaysia, juara Piala AFF 2010, telah diundi dalam Kumpulan A Kejohanan ASEAN 2024 dengan juara bertahan, Thailand selain Singapura dan Kemboja serta pemenang pusingan kelayakan pada 14 dan 21 September 2024 antara Brunei dan Timor-Leste.

Kumpulan B pula mengandungi naib juara edisi ke-14, Vietnam yang turut dicabar Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.

Harimau Malaya kendalian warga Korea Selatan, Kim Pan-gon sekadar menjejak separuh akhir Piala AFF 2022-2023 setelah disekat Thailand 3-1 secara agregat dalam perlawanan timbal balik di Bukit Jalil dan Pathum Thani.


AKSI Stuart Wilkin (8) dan Fazly Mazlan (12) ketika Harimau Malaya dijinakkan oleh Thailand 3-0 dalam separuh akhir Piala AFF 2022-2023 di Stadium Thammasat, Pathum Thani. - Kredit foto: FAM


“AFF percaya VAR membentuk semula bola sepak dan telah menjadi satu daripada pembina yang paling penting yang akan menaikkan pertandingan kami ke tahap baharu,” kata Presiden AFF, Khiev Sameth.

"Pengambilan teknologi pengadilan ini dalam Kejohanan B-16 ASEAN sejajar dengan rancangan usaha dan berterusan AFF dalam meningkatkan pertandingan kami termasuk menyediakan sokongan seterbaik mungkin kepada pengadil-pengadil dalam membuat keputusan yang tepat, konsisten dan termaklum,” tambahnya.

Khiev turut menghulurkan penghargaan Majlis AFF kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Pengerusi Persatuan Bola Sepak Indonesia (PBSI), Erick Thohir dan rakan-rakan badan induk negara itu atas bantuan yang begitu besar dalam pelaksanaan VAR pada Kejohanan B-16 ASEAN 2024.

Pegawai tinggi tentera Kemboja berpangkat Mejar Jeneral ini juga berterima kasih kepada Tim Projek VAR yang dipengerusikan oleh Viphet Sihachakr; Setiausaha Agung AFF, Winston Lee; di samping Rodzali Yacob atas usaha tanpa jemu mereka dalam proses pelaksanaannya. - KitaReporters


RYUJI Sato membuang padang Azam Azmi Murad biarpun dipertikai rakan-rakan sepasukan Harimau Malaya pada perlawanan menentang Vietnam dalam Kumpulan B Piala AFF 2022-2023 di Hanoi. 


Jadual aksi Harimau Malaya dalam Kejohanan ASEAN 2024 (Kumpulan A):

23 November 2024: Kemboja lawan Malaysia

26 November 2024: Malaysia lawan Brunei/Timor-Leste

29 November 2024: Thailand lawan Malaysia

6 Disember 2024: Malaysia lawan Singapura

10/11 Disember 2024: Separuh akhir pertama (jika layak)

13/14 Disember 2024: Separuh akhir kedua (jika layak)

17 Disember 2024: Perlawanan akhir pertama (jika layak)

21 Disember 2024: Perlawanan akhir kedua (jika layak)


KESEBELASAN utama terbaharu Harimau Malaya yang menewaskan Taiwan 3-1 dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun 2024. - Kredit foto: FAM

14
11
0
13
0
You will be interested