Seni & Sukan 27 Jun, 2024

Taraf Selangor International Race (SIR) akan diangkat! PKNS mahu setaraf dengan Le Tour de Langkawi!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023.

Share this


SELANGOR International Race (SIR) akan diangkat menjadi salah satu kejohanan berbasikal utama di negara ini selain Le Tour de Langkawi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas.

Beliau mengakui, PKNS bukan mengambil alih Le Tour De Langkawi, biarkan jenama itu menjadi acara sukan utama di negara ini, jika dapat menjadi nombor dua atau tiga dalam sukan berbasikal di negara ini pun sudah memadai.

Memasuki edisi kedua, perbadanan itu komited membangunkan sukan berbasikal pada peringkat tempatan dan antarabangsa, selain menarik minat masyarakat untuk beriadah. 


Tengku Amir Shah melepaskan peserta yang mengambil bahagian dalam SIR 2024 di Ibu Pejabat PKNS di Shah Alam, Selangor pada 23 Jun 2024.


Tengku Amir Shah (tengah) mengaminkan doa sebelum pelepasan peserta SIR 2024 di Shah Alam, Selangor.


"Usaha PKNS mengadakan sukan berbasikal ini boleh mengembangkan aktiviti ekonomi, semua pihak untung dan mendapat manfaat "grabfood", pemandu teksi, orang kampung, inap desa dan perhotelan.

"Saya berharap SIR akan dimantapkan supaya ia menjadi jenama pada peringkat wilayah selain mempromosi Selangor sebagai bandar hijau, destinasi pelaburan dan pelancongan terkemuka," katanya ketika ditemu bual pengacara SIR 2024, Haliza Hamzah selepas menamatkan kayuhan kategori VIP sejauh 20 kilometer pada 23 Jun 2024. 

Menurutnya, sukan berbasikal boleh dikembangkan ke peringkat lebih tinggi kerana negara ini berada pada peringkat dunia, malah bertanding di Sukan Olimpik, bukan seperti golf atau bola sepak. Inilah peranan PKNS menjadikan SIR lebih popular pada peringkat tempatan dan antarabangsa. 

Mahmud Abbas (dua dari kanan) ketika ditemu bual oleh Haliza Hamzah (kanan) selepas menamatkan kayuhan kategori VIP sejauh 20 kilometer.


Beliau memberi jaminan, PKNS akan mengadakan SIR 2025 dan melakukan penambahbaikan bagi meningkat kejohanan itu supaya menjadi lebih baik termasuk memantapkan siaran langsung seperti dilakukan sekarang supaya orang ramai terutama peminat sukan berbasikal dapat menyaksikan perlumbaan itu pada peringkat awal dan pecutan di garisan penamat.

Ditanya pengalaman berkayuh dengan pelumba muda, beliau berkata: " Ia pengalaman yang sungguh bagus tapi jika saya 30 tahun muda tentu ia lebih seronok sebab apabila berada dalam perlumbaan, kita dapat rasakan tenaga dan keterujaan yang tidak boleh didapati di tempat lain, tapi kena ambil bahagian dan kayuh," katanya.

Pemandangan dari udara sebahagian pelumba yang berkayuh pada kejohanan SIR 2024 pada 23 Jun 2023.


"Sukan berbasikal ini unik kerana kita ambil berat antara satu sama lain, bukan macam sukan-sukan lain. Jika ada pelumba yang jatuh atau basikalnya ada masalah teknikal, pelumba lain akan berhenti untuk membantu tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, Cina atau India.

"Berbasikal ini boleh memupuk perpaduan antara penduduk berbilang kaum dan agama, ia adalah sukan yang unik dan tidak terikat kepada bangsa dan perkauman," katanya lagi. 

Pelumba akan berkayuh di beberapa laluan yang mempunyai kepentingan PKNS seperti Kota Puteri, pekan ijok dan berakhir di Shah Alam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS, Ir Suhaimi Kasdon, berkata pihaknya bercadang menjadikan kejohanan SIR sebagai acara tahunan bagi menggilap lebih ramai bakat pelapis negara.

Beliau berkata, PKNS banyak menganjurkan kejohanan sukan lain seperti badminton, golf dan berbasikal. Ia juga sebagai usaha untuk mempromosi Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan di negara ini.

"Kita mahu PKNS dikenali bukan sahaja sebagai pemaju hartanah tetapi penganjur kejohanan sukan bertaraf antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar selepas pelepasan SIR 2024 oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Ibu Pejabat PKNS di Shah Alam, Selangor. 

Ir Suhaimi Kasdon (tengah) diapit Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS (Pembangunan), Ir Kamarzan Md. Rais (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa SIR 2024, Mohd. Iswardy Mohamad Yunos ketika sidang akhbar di PKNS, Shah Alam, Selangor.


Pelumba perlu berkayuh sejauh 141 kilometer merentasi lebuh raya, laluan berbukit serta projek perbandaran PKNS seperti Kota Puteri, pekan ijok dan berakhir di Shah Alam pada 23 Jun 2024.

Beliau berkata, "kita dapati ada peningkatan 15 peratus penyertaan pelumba luar negara tapi kita terpaksa menolak dan kekal dengan 1,000 peserta sebagaimana penganjuran sebelum ini kerana mahu mengekal kualiti kejohanan."

SIR 2024 menghimpunkan 1,000 pelumba tempatan dan dari sembilan negara iaitu Great Britain, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Jerman.

Pelumba terawal membuat pecutan terakhir untuk menamatkan perlumbaan di garisan penamat sempena SIR 2024.


"Untuk acara SIR 2024, PKNS menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 membabitkan dua kategori perlumbaan iaitu profesional dan amatur.

"Keseluruhan, saya berpuas hati kerana SIR 2024 lebih baik berbanding tahun lalu (2023), selain peningkatan peserta, kami jua meningkatkan aspek keselamatan dan bekerjasama dengan PDRM, bomba, ATM dan PBT selain menambah laluan baharu untuk memberi pendedahan kepada peserta," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, SIR akan dibawa ke destinasi lain yang ada kepentingan PKNS seperti Bandar Baru Bangi dan Bernam Jaya bagi memberi peluang penduduk di kawasan terbabit dapat mengikut kejohanan itu dengan lebih dekat. 

Pelumba Malaysia Pro Cycling, Akmal Hakim Zakaria mencecah garisan penamat untuk muncul juara kategori Lelaki A SIR 2024.


Dalam perkembangan yang sama, pelumba Malaysia Pro Cycling, Akmal Hakim Zakaria muncul juara kategori Lelaki A. Naib juara disandang oleh Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala tempat ketiga dirangkul oleh Azli Najmi Zulkefli daripada pasukan JBC.

Pemenang membawa pulang wang tunai RM1,500, jersi dan trophi, manakala naib juara serta tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM1,000 dan RM750 serta plak.

Penganjuran SIR 2024 mendapat kerjasama daripada Selangor Youth Community (SAY), Cycling Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Arena Asia Malaysia. - KitaReporters

Akmal Hakim Zakaria (tengah) menerima hadiah kemenangan daripada Timbalan Pengarah Projek Signature PKNS, Azilah Arshad (kiri) dan Mohd. Iswardy Mohamad Yunos.

18
13
0
15
0
You will be interested