
BUNGA Raya (berjersi biru berseluar putih) belum menemui ujian sebenar sebagai bekalan ke ARC di Colombo dengan hanya menewaskan Muamalat Bullets 28-7 dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur. - Kredit foto: MR
SKUAD negara berlepas ke Colombo, Sri Lanka pada 16 April 2025 dengan misi mempertahan posisinya dalam Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) sejak 2018.
Tampil sebagai penghuni ranking ke-49 Ragbi Dunia (WR), Bunga Raya (gelarannya) berdepan tuan rumah dalam play-off ARC 2025 pada 19 April 2025 yang sekiranya tewas, bakal menurunkannya ke Divisyen Satu ARC 2026.
Misi ini semakin getir memandangkan kelebihan lawan di ranking ke-40 dunia selain beraksi di depan penyokong sendiri di Stadium Lapang Lumba, Colombo.
Menariknya ketika kali akhir pertemuan, Malaysia yang dikemudi oleh Lee Nyuk Fah menewaskan Sri Lanka 22-9 di Padang Ipoh, Perak pada 20 Mei 2017 untuk melonjak ke Divisyen Perdana 2018 dari Divisyen Satu ARC.
Sudah enam tahun termasuk tiada pertandingan selama dua tahun gara-gara pandemik Covid-19, Bunga Raya mendiami Divisyen Perdana ARC.
Mereka walau bagaimanapun terpaksa mengharungi play-off ini akibat ditewaskan oleh Korea Selatan 55-5, Hong Kong 70-6 dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 62-19 di Incheon, Serdang dan Dubai pada 2024.

SAMUELA Tamanisau, pemain centre import kelahiran Fiji yang dipertaruh oleh Bunga Raya. - Kredit foto: MR
Namun jika berjaya menjinakkan Sri Lanka atau dijuluki Si Gading atau Gajah Berani, Bunga Raya bakal berpeluang merebut tiket ke Piala Dunia Ragbi (RWC) 2027 dengan ketiga-tiga pasukan Divisyen Perdana itu pada pusingan kelayakan secara timbal balik antara Jun atau Julai 2025 ini.
Persiapan pasukan kendalian Saizul Hafifi Md. Noor ini ke ARC 2025 dilengkapkan dengan dua siri kemenangan dalam perlawanan latihan dan persahabatan, 22-5 dan 28-7 terhadap KL Tigers dan Muamalat Bullets di Arena Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 10 dan 12 April 2025 lalu.
Kedua-dua kelab tempatan ini sahaja yang menjadi galang ganti ujian pasukan kebangsaan setelah rancangan menentang Singapura yang diatur oleh Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) di republik itu tidak menjadi kenyataan.
Dua puluh tiga pemain Bunga Raya juga diperkasa dengan kehadiran tiga pemain naturalisasi, Samuela Tamanisau dan Etonia Vaqa Saukuru kelahiran Fiji serta Ryan James Long dari Scotland.
Peranan kapten negara pula didukung oleh Syarif Nurhidayat Muzhaimey. - KitaReporters

ETONIA Vaqa Saukuru (memegang bola), pemain posisi No. 8 mampu memberikan kelebihan fizikal kepada Bunga Raya dalam misi menundukkan Sri Lanka di Colombo. - Kredit foto: MR

RYAN James Long, pemain posisi No. 8 atau 2nd row kelahiran Scotland yang turut menjadi sandaran Bunga Raya. - Kredit foto: MR
BUNGA RAYA 15’S ARC 2025:
Azri Kamal Rosnan, Amirul Mukminin Amizan, Amierul Harith Heriezal, Shobrey Amok, Sameer Sani Surinder, Syarif Nurhidayat Muzhaimey, Suhaikal Suhaimi, Etonia Vaqa Saukuru, Nasharuddin Ismail, Amirul Aqil Kamsol, Luqman Nur Hakim Ahmad Termizi, Samuela Tamanisau, Afifuddin Misruji, Daim Zainudin, Luqman Hakim Abu Hassan, Nabil Ikhwan Nazri, Amir Zakwan Zunaidi, Danish Haiqal Shahizam, Harith El Iskandar Shah Shukri, Ryan James Long, Khairul Abdillah Ramli, Ameer Nasrun Zulkefli, Nazreen Fitri Nasrudin.

SAIZUL Hafifi Md. Noor turut akan dibantu oleh Faiz Ali sebagai jurulatih barisan depan dan Khairul Azhar Sha'arani bagi barisan belakang. - Kredit foto: MR

BUNGA Raya 15's berdepan Sri Lanka atau digelar Si Gading di Colombo dengan misi kekal dalam Divisyen Perdana ARC dan menyaingi slot untuk ke Piala Dunia 2027. - Kredit foto: MR