Seni & Sukan 24 Jun, 2025

Video| Luar Biasa Fazura! Bangkit dengan single terbaharu! Tak pernah mengalah! Memang luar biasa!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

.


Siapa sangka, di sebalik pelbagai gelombang kritikan terhadap vokal nyanyiannya, selebriti kesayangan ramai Fazura tidak pernah mengalah. 

Malah, beliau terus membuktikan minat dan kesungguhan dalam bidang muzik dengan melancarkan single terbaharu, 'Luar Biasa'.  Memang ‘luar biasa’ ibu tunggal ini kan?

Kali ini, seperti rakan selebriti yang juga menyandang status ibu tunggal, Bella Astillah, pemilik bernama penuh Nur Fazura Sharifuddin, 41, turut memilih untuk berganding bahu dengan pemuzik handalan dari Indonesia, Ade Govinda, mempersembah sebuah karya inspirasi yang sarat dengan mesej positif.

Lagu 'Luar Biasa' ini bukan sekadar melodi biasa, ia adalah sebuah suntikan semangat yang dicipta khas untuk sesiapa sahaja yang pernah jatuh dan sedang mencari kekuatan untuk bangkit semula persis Bella Astillah yang tampil dengan mesejnya, ‘Lebih Indah’.


'Luar Biasa' nyanyian Fazura vs 'Lebih Indah' nyanyian Bella Astillah mendapat lagu daripada komposer sama, Ade Govinda.


Dengan ‘Luar Biasa’, selaku komposer sepenuhnya lagu ini, Ade Govinda, berjaya merangkumkan tema perjuangan hidup dan ketabahan hati dengan susunan muzik yang segar dan melodi yang membangkitkan jiwa.

Fazura atau lebih mesra disapa 'Faz' yang terkenal dengan aura positifnya, tidak hanya menyumbang vokal, malah turut menulis bahagian lirik bersama Veron Savanoah. Beliau melahirkan rasa teruja dapat terlibat dalam projek yang penuh nilai murni ini. 

“Saya sangat tersentuh dengan lirik ‘Jatuh itu biasa, bangun itu luar biasa’. Ia benar-benar menggambarkan hakikat hidup, kita semua ada perjuangan sendiri,” kata Faz penuh perasaan.

“Tapi yang penting adalah semangat untuk bangkit demi diri sendiri dan orang tersayang. Dengan niat yang baik dan keyakinan kepada Allah, kita mampu menghadapi dengan tenang,” tambahnya, mencerminkan ketabahannya dalam menghadapi rintangan, termasuklah kritikan yang sering dilemparkan kepadanya.



Ade Govinda pula menjelaskan bahawa lagu ini adalah dedikasi kepada semua insan yang pernah berdepan kegagalan, untuk menyedarkan mereka bahawa kebangkitan itu jauh lebih luar biasa daripada kejatuhan. 

“Lagu ini datang daripada hati, dan saya mahu pendengar menjadikannya sebagai lagu pembakar semangat dalam rutin harian mereka,” ujar Ade, yang turut bertanggungjawab sebagai penyusun dan penerbit lagu ini.

Proses penghasilan 'Luar Biasa' berjalan lancar tanpa halangan. 

Ade menggambarkan bagaimana mesej yang jelas dan dekat di hati membuatkan segalanya mengalir dengan mudah, dari penulisan lirik hingga susunan muzik, seolah-olah lagu ini "ingin lahir sendiri". 

Pengalaman merakam lagu dan video muzik bersama juga disifatkan sangat menyenangkan oleh kedua-dua artis. 



Fazura tidak lokek dengan pujian terhadap profesionalisme pasukan produksi dan keserasian yang terjalin. 

Ade pula kagum dengan fokus dan semangat Fazura, yang membolehkan rakaman vokal dan video muzik disiapkan dalam masa yang singkat.

Bagi Fazura, bekerjasama dengan pasukan produksi dari Indonesia memberikan impak yang mendalam. Beliau merasakan semua pihak berkongsi tenaga dan visi yang sama. 

“Setiap orang membawa kekuatan tersendiri dan apabila digabungkan, alhamdulillah kami berjaya menghasilkan satu karya yang bukan sahaja indah dari segi muzik tetapi juga kuat dari segi mesej,” jelasnya, menunjukkan kematangan dan kerendahan hati dalam menerima setiap proses kreatif.

Lagu 'Luar Biasa' telah melalui sentuhan adunan oleh Jones Roma dan proses mastering oleh Stephan Santoso, dua nama besar dalam industri muzik serantau. 

Hasil akhirnya membuahkan sebuah lagu dengan bunyi moden yang kaya emosi, sesuai untuk didengar oleh semua lapisan umur, sekali gus membuktikan bahawa kualiti adalah keutamaan.





Terdahulu, pada 20 Jun 2025, Fazura mengadakan Tayangan Muzik Video Eksklusif 'Luar Biasa' sebagai tanda pelancaran lagu terbaharunya itu yang berlangsung di Aurum @ The Exchange TRX.

Dengan pelancaran itu Fazura sekali lagi membuktikan bahawa semangat dan dedikasi mampu mengatasi segala rintangan, dan beliau masih relevan di persada seni suara. - KitaReporters

10
11
0
18
0
You will be interested