Seni & Sukan 23 Jan, 2025

Memburu hadiah bersara! Farkhan Tiger bakal mengaum pada JIBC! Tapi Jaskaran lebih tinggi, lagi muda!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 dan Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

FARKHAN Haron mewarisi bakat dan kejaguhan bapanya pemenang pingat perak kelas 91 kilogram tinju Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, Haron Ismail. 


JASKARAN SINGH


FARKHAN Haron memiliki aneka kelebihan yang tidak wajar dibazirkan apabila cuba mempertahankan gelaran bridgerweight Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia di Arena Larkin, Johor Bahru, Johor pada 16 Februari 2025 ini.

Bertinju di bandar kelahiran pasti dengan sokongan padu ribuan peminat serta rekod 12 pertarungan karier pro tanpa kalah termasuk 11 tumbukan penumbang (KO) sejak 2015 meletakkannya selaku pilihan utama menentang Jaskaran Singh.

Pencabarnya kelahiran Punjab, India yang berusia 27 tahun dan berketinggian 1.87 meter ini pula bakal tampil dengan rekod sembilan kemenangan (sembilan tumbukan penumbang teknikal - TKO) dan kalah lima kali.

Malah apa lagi hadiah persaraan terindah buat Farkhan, 37, yang mengumumkan Kejuaraan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2025 ini sebagai pertarungan yang terakhir dalam karier pronya selain kemenangan di arena itu?

“Ini akan jadi pertarungan akhir saya. Keputusan yang sukar tetapi perlu saya ambil,” kata ‘Si Harimau Selatan’ yang setinggi 1.75 meter ini dalam sidang media di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur pada 17 Januari 2025.

“Saya rasa saya lebih berpengalaman dan pendedahan saya bermula ketika amatur lagi,” ujarnya yang kali terakhir bertinju dengan menewaskan Yousof Mohammadiosmanvandi dari Iran secara sebulat suara juga dalam JIBC tanggal 25 Disember 2022.


JASKARAN Singh (kanan) tewas kepada rakan senegara, Chandru G dalam perebutan cruiserweight WBC India di Hyderabad, India pada 21 Mei 2024. - Kredit foto: IBC


JIBC 2025 yang turut mengandungi empat lagi pertarungan sampingan dianjurkan dengan kerjasama kerajaan Johor, FH Promotions dan Persatuan Tinju Johor (JBA) selain mendapat kebenaran Persekutuan Tinju Profesional Malaysia (MPBF) dan WBC Asia.    

Farkhan walau bagaimanapun menyedari usia lawan yang 10 tahun lebih muda, bertenaga dan jangkauan lengannya mampu merintangi misi kemenangan penutup tirai karier tinjunya sejak berusia 16 tahun lagi atau hampir suku abad menempuh suka dukanya.

“Saya kena bertinju mendekati lawan, dapatkan seberapa banyak mata dan tewaskannya. Kalau ada rezeki saya mahu KO, doa-doakanlah,” katanya yang membuat persediaan menghadapi JIBC 2025 mulai September 2024 lagi.


FARKHAN 'Si Harimau Selatan' Haron (tengah) diapit wakil penaja Mah Sing Group (kiri), wakil FH Promotions dan wakil MPBF serta JBA dalam sidang media JIBC 2025 di Wisma MOM, Kuala Lumpur.  


Berdepan Jaskaran kata pemenang pingat emas Sukan SEA Laos 2009 ini, tidak boleh terlalu yakin mahupun terlalu merendah diri atau takut namun dia yakin, tiada usaha keras yang tidak akan membuahkan hasil.

“Kita ini sebagai orang Islam, percayalah pada rezeki Allah. Kalau kalah, satu benda yang sukar diterima tetapi terpaksa ditelan. Macam mana pun ikhtiar dulu untuk pastikan tali pinggang bridgerweight WBC Asia ini kekal di bumi Malaysia,” tegasnya.

Dia juga sedang berusaha keras untuk menurunkan berat badannya yang daripada 131 kilogram kepada hanya 100 kilogram bagi menepati kategori bridgerweight yang merupakan kelas antara cruiserweight dan heavyweight.

Menjelang mendapat berat badan ideal itu, Farkhan mendedahkan betapa dua kali kecederaan slip disc (cakera gelincir) dan koyak otot menimpanya malah pada usia 37 tahun, bukan mudah menjalani rejim dan rutin latihan yang sama selama 24 tahun karier tinjunya.


FARKHAN Haron masih tidak terkalah sejak bertinju secara profesional pada 2015 dan mahu mengekalkan rekod bersih mahupun tali pinggang bridgerweight WBC Asia (dua dari kanan) daripada tentangan Jaskaran Singh. 


“Dalam sukan tinju ini, tiada yang mustahil. Ada 10 pusingan perjalanannya dan 30 minit untuk kita berhabis-habisan. Sama ada anda dihentam atau anda yang menghentam.

“Saya perlu fokus tiap minit. Satu kesilapan boleh memusnahkan saya sambil menunggu lawan tersilap. Petinju biasanya tidak tunjuk rasa takut dan sakitnya namun setiap pusingan akan nampak peluang dan kelemahannya. (Saya) ambilnya sesegera mungkin,” katanya.

Fokus Farkhan selepas bersara sebagai petinju pro ialah membimbing bakat-bakat baharu supaya satu hari nanti petinju pelapis negara mampu bertarung di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat – venue idamannya tetapi tidak berpeluang ditandanginya.

“Fokus seterusnya membantu petinju pelapis yang ada. Kalau saya tidak dapat bertinju di Las Vegas, saya perlukan warga Malaysia lain untuk berlawan di sana,” kata peminat setia Prince Naseem Hamed, bekas juara featherweight dunia berketurunan Yemen dari Britain ini.

Terdapat dua lagi petinju Malaysia yang akan beraksi pada JIBC iaitu Daelonial Mcdelon yang menentang Andro Bello dari Filipina dan Arfiqanie Ahmad Anshori.

Selain Jaskaran dan Bello, petinju antarabangsa yang turut akan memperhangat JIBC 2025 adalah dari Singapura, Indonesia, Thailand, Syria dan Afrika Selatan. - KitaReporters


'SI Harimau Selatan' menayangkan koleksi empat kejuaraan miliknya seperti bridgerweight dan cruiserweight WBC Asia, cruiserweight Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) dan cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Asia. Dia juga pernah meraih pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan perak Sukan SEA Indonesia 2011.

10
18
0
12
0
You will be interested