
“Seyogia, pembangunan sukan negara terus diperhebat dengan peruntukan lebih besar berjumlah lebih RM580 juta,” katanya ketika membentang Belanjawan 2026 di Parlimen pada Jumaat 10 Oktober.

Petikan tersebut mencerminkan aspirasi kerajaan menjadikan sukan sebagai wahana strategik dalam membina imej negara di pentas dunia.
Salah satu fokus utama ialah memastikan kesinambungan Program Road to Gold (RTG), misi utama Malaysia untuk meraih pingat emas pertama Olimpik.
Selain RTG, program Podium dan Pelapis turut diperkasa, sekali gus memastikan kesinambungan bakat dari akar umbi hingga ke peringkat dunia.
Bajet tersebut juga sebahagian daripada persediaan negara menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 pada 2027.


Dana besar membolehkan Malaysia melakukan persiapan lebih mantap dari segi fasiliti, logistik dan pasukan, agar penganjuran temasya itu mencapai tahap cemerlang.
Aspek inklusiviti juga diberi perhatian apabila kerajaan menekankan kepentingan atlet para dan pekak, memastikan mereka menerima layanan setara dengan atlet arus perdana.
Ini termasuk kemudahan latihan, kebajikan dan sokongan teknikal, selari dengan prinsip kesaksamaan dalam sukan.
Kerajaan turut memperuntuk dana untuk penyelenggaraan dan naik taraf prasarana sukan, termasuk padang sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
Penambahbaikan berkenaan dijangka memberi impak besar kepada pembangunan akar umbi, di mana bakat baharu mula digilap sejak di bangku sekolah.
Infrastruktur sukan yang lebih baik bukan sahaja membantu atlet elit, malah menggalakkan rakyat menjadikan sukan sebagai sebahagian gaya hidup sihat.


Anwar turut mengumumkan langkah baharu yang membenarkan organisasi diluluskan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan sebahagian pendapatan untuk aktiviti sukan.
Inisiatif ini dijangka menarik penyertaan sektor korporat dan swasta, sekali gus mengurangkan kebergantungan penuh kepada dana kerajaan.
Sektor swasta berpotensi menjadi rakan strategik dalam menyokong pembiayaan program latihan, pembangunan bakat dan penganjuran kejohanan.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan peruntukan ini sebagai perkembangan luar biasa dalam landskap sukan tanah air.
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata: “Bagi pihak keluarga Olimpik Malaysia, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan atas peningkatan besar peruntukan sukan dalam Belanjawan 2026.”
Beliau berkata, peningkatan itu penting untuk mengekalkan dan memperkukuh program berprestasi tinggi sedia ada, termasuk RTG, Podium dan Pelapis.
“MOM berharap peruntukan ini dapat digunakan secara berhemah dan telus bagi memperkukuh keseluruhan ekosistem sukan di Malaysia,” ujarnya.

Mohamad Norza turut memuji inisiatif kerajaan menaik taraf fasiliti sukan negara, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara sihat dengan sukan sebagai gaya hidup rakyat.
Beliau juga menekankan bahawa usaha menambah baik padang sekolah sangat penting kerana ia merupakan asas melahirkan bakat baharu.
Dari sudut strategik, bajet ini memberi mandat besar kepada KBS untuk memperkukuh pembangunan akar umbi, melahirkan juara elit, dan memastikan inklusiviti atlet para.
Seperti ditegaskan Perdana Menteri: “Kerajaan yakin dengan pendekatan menyeluruh ini, Malaysia mampu melahirkan lebih ramai juara dunia pada masa depan.” - KitaReporters

