Dalam kesejukan cuaca Eropah yang mencecah tiga darjah Celsius, langkah seorang anak seni dari Malaysia tetap diteruskan tanpa gentar, demi memastikan irama dan warisan muzik Melayu terus bergema jauh dari tanah air.

Itulah yang dilalui oleh penyanyi veteran, Rozita Rohaizad, sepanjang kunjungannya ke United Kingdom apabila beliau sekali lagi mencipta momen bermakna dengan mempersembahkan lagu-lagu Melayu bersama pemuzik Scotland di Glasgow.
Kunjungan Rozita ke United Kingdom kali ini bukan sekadar sebuah perjalanan seni, sebaliknya sarat dengan misi memperkenal budaya Malaysia dan menyantuni komuniti diaspora tanah air di perantauan.
Beliau turut membantu komuniti Malaysia di Glasgow menjayakan 'Malaysia Food and Cultural Festival' yang berlangsung di Pyramid Anderston, sekali gus menjadi platform mempertemu budaya Timur dan Barat melalui muzik.
Buat kali kedua, anak kepada Allahyarham seniwati Mariani Ismail ini bergabung dengan kumpulan pemuzik tempatan, The Melting Pot Collective (TMPC) Fusion Band.

Rozita Rohaizad (kanan) bersama Kumpulan The Melting Pot Collective di Glasgow.
Sebagai tanda penghargaan terhadap kesudian mereka menyertai aktiviti diaspora Malaysia, Rozita membawa sendiri set lengkap baju Melayu termasuk sampin songket dan tanjak dari Malaysia untuk dipakaikan kepada setiap ahli kumpulan tersebut.
Kesemua busana itu diangkut dalam bagasi besar seberat hampir 14 kilogram, melalui perjalanan yang panjang dan mencabar merentasi lapangan terbang, bas awam serta laluan berbukit di Edinburgh dan Glasgow, dalam cuaca sejuk dan angin kencang.
Rozita mengakui perjalanan itu penuh cabaran apabila beliau berjalan bersendirian sambil mengheret bagasi berat, malah beberapa kali mengalami kekejangan kaki akibat kesejukan.
Namun, segala kepayahan itu seolah-olah terbayar apabila melihat para pemuzik Scotland tampil segak mengenakan busana tradisional Melayu dan menyanyikan lagu 'Bunyi Gitar' karya legenda Tan Sri P. Ramlee dengan penuh semangat, sekali gus mencetuskan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.
“Perjalanan ini mengajar saya bahawa muzik bukan sekadar persembahan di atas pentas, tetapi satu amanah untuk menyatukan hati manusia.
"Dalam kesejukan, kepayahan dan cabaran yang saya lalui seorang diri, saya sedar bahawa setiap langkah itu bernilai apabila budaya Melayu dapat diraikan, difahami dan diterima oleh mereka yang datang daripada latar belakang berbeza,” kata Rozita.


Selain karya ikonik bapa saudaranya, P. Ramlee, Rozita bersama TMPC turut mempersembahkan beberapa lagu irama Melayu seperti 'Joget Malam Pertama,' 'Joget Budaya', 'Zapin Rinduan Kasih' dan 'Keroncong Anak Ikan'.
Beliau meluahkan rasa syukur kerana impiannya untuk membawa muzik Melayu ke pentas antarabangsa dan berkongsi keindahan budaya tanah air bersama pemuzik luar negara akhirnya tercapai.
Menurutnya, melihat pemuzik Scotland menyanyikan lagu P. Ramlee sambil mengenakan busana tradisional Melayu adalah detik yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Saat itu saya rasa seolah-olah tanah air hadir bersama saya di bumi asing. Ia membuatkan saya lebih yakin bahawa muzik dan budaya kita mampu menyentuh hati sesiapa sahaja, tanpa mengira bangsa atau agama,” tambahnya.
Perjalanan seni Rozita di United Kingdom turut membawanya ke Newgate Folk and Art Centre di Derry, Northern Ireland.
Di situ, persembahannya disambut hangat apabila penonton tempatan bukan sahaja menikmati alunan muzik Melayu, malah turut bangkit mengikut langkah joget yang diperkenal, menjadikan persembahan tersebut sebagai sebuah pengalaman budaya yang merentas sempadan.

Selain mengadakan persembahan dan kolaborasi seni, Rozita turut melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan apabila bersama rakan pemuzik menghiburkan pesakit dementia selama hampir dua jam di Hamewith Lodge Care Home. Detik tersebut disifatkannya sebagai antara pengalaman paling menyentuh perasaan sepanjang lawatan itu.
Pada 14 Disember 2025 lalu, Rozita turut menyertai perhimpunan aman Aberdeen Welcomes Refugees yang membawa mesej menentang Islamofobia dan perkauman, menyokong imigresen serta solidariti terhadap Palestin.
Beliau menyifatkan penyertaannya sebagai satu pengalaman yang membuka mata apabila dapat mewakili rakyat ASEAN dan komuniti Muslim dalam himpunan yang majoritinya disertai masyarakat tempatan berbangsa Eropah yang bersatu atas dasar kemanusiaan.

Dalam perhimpunan tersebut, Rozita memilih pendekatan damai melalui tarian dan nyanyian dengan memainkan peranan sebagai pemain dram, berbeza daripada suasana protes lain yang lebih agresif.
Walaupun berlaku ketegangan, situasi berjaya dikawal pihak polis tanpa sebarang insiden, menjadikan pengalaman itu sebagai satu kenangan yang sukar dilupakan.
Beliau turut menyifatkan penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan sepanjang berada di United Kingdom sebagai pengalaman yang membentuk jiwanya.
“Saya pulang ke Malaysia dengan hati yang penuh syukur. Bukan kerana tepukan atau pentas, tetapi kerana peluang untuk memberi, berkongsi dan menyebarkan nilai kemanusiaan melalui seni. Jika diberi peluang, saya tidak akan teragak-agak untuk melakukannya sekali lagi,” katanya.
Kini Rozita meneruskan langkah seninya dengan rakaman sebuah lagu berbahasa Inggeris ciptaannya sendiri berjudul 'Choose Me'.
Dan dalam masa yang sama, beliau turut menyiapkan sebuah lagu raya berkumpulan berjudul 'Gelak Tawa Raya', yang mengangkat tema keceriaan Aidilfitri dan nostalgia watak ikonik Labu Labi, sebagai kesinambungan semangat seni yang terus menghubungkan budaya, manusia dan kemanusiaan. - KitaReporters