Seni & Sukan 09 Nov, 2025

Video| Mahu kongsi rahsia, kejayaan! Alasan Siti terima pelantikan Prof Adjung! Satu amanah besar!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46, mempunyai pelbagai kejayaan dalam bidang seni dan telah memperoleh lebih 300 anugerah tempatan dan antarabangsa sejak mula terbabit dalam bidang seni bermula pada 1995 ketika masih berusia 16 tahun -- setelah menjuarai sebuah pertandingan anjuran RTM.



Perkahwinannya dengan usahawan terkenal  Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) pada 21 Ogos 2006 ketika berusia 27 tahun dan namanya sedang berada di kemuncak, menjadi pendorong Siti Nurhaliza untuk untuk menceburi bidang perniagaan.

Perniagaan pertamanya adalah dengan menubuhkan syarikat rakaman sendiri dikenali sebagal Siti Nurhaliza Production (SNP). Album studio ke-11 Siti, ‘Transkripsi’, merupakan album pertama terbitan SNP yang diterbitkan pada 23 April 2006.


Siti memperluaskan bidang perniagaannya dengan penubuhan CTDK Holdings dengan Siri Nurhaliza sebagai Pengerusi sementara suaminya Datuk K sebagai Pengerusi Eksekutif. 

Ditubuh pada 2010,  CTDK Holdings, mempunyai  tiga anak syarikat iaitu SimplySiti, BeauSiti dan Beautytra. Kesemua anak syarikat terlibat dalam bidang kecantikan dan penjagaan diri.

Dan Siti mampu menjadi usahawan berjaya dengan bantuan popularitinya dalam bidang seni dan sokongan sang suami.

Kini setelah menjadi usahawan berjaya dalam usia baharu 30-an, Siti Nurhaliza cuba berkongsi rahsia kejayaannya dan ingin berkongsi dengan generasi muda agar berjaya sebagai usahawan sepertinya.


Melihat hasil kejayaan Siti Nurhaliza sebagai usahawan yang berjaya pada usia masih muda mendorong Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) mengurniakannya jawatan Profesor Adjung dalam bidang keusahawanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP).

Siti menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang berlangsung di Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UiTM, Shah Alam pada Khamis. 6 November 2025. 

Ia turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Dekan FPP Profesor Ts Dr Shafinar Ismail. 

Tempoh pelantikan selama 2 tahun berkuat kuasa 15 Oktober 2025 sehingga 15 Oktober 2027. Turut hadir ialah Datuk K.


Siti Nurhaliza menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung UiTM daripada Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin


Siti Nurhaliza dalam ucapannya berkata dia terharu dengan penghormatan yang diberi dan bersedia untuk berkongsi segala ilmu yang dimiliki dalam perniagaan.

"Saya rasa begitu rendah diri kerana saya bukanlah ahli perniagaan yang masyhur. Alhamdulillah sebagai seorang selebriti yang bergiat seni dan perniagaan saya diberikan banyak kelebihan untuk menjadi usahawan berjaya.  

"Saya amat terharu dengan penghormatan yang diberikan kerana ini bukan satu pengiktirafan dalam bidang seni dan keusahawanan tapi juga satu amanah besar yang akan saya kongsi pengalaman ilmu sepanjang berada dalam industri," katanya.



Tambah Siti, sepanjang bergelar usahawan dia mempelajari lebih rasa tanggungjawab, kepercayaan dan berani membuat keputusan, sekali gus berharap ia dapat menjadi ilham kepada lebih ramai pelajar untuk bergelar usahawan berjaya.

"Terbukanya hati untuk menerima selepas menilai lebih kepada sumbangan anak bangsa. Saya harap dengan penglibatan saya ini dapat mengajak lebih ramai pelajaran UiTM untuk menjadi usahawan berjaya," ujarnya.


Sementara itu menurut Dr Shahrin, pihak UiTM memberi pengiktirafan tersebut selepas Siti berjaya mencipta kejayaan gabungan antara kreativiti, integriti dan daya inovasi dalam mengangkat jenama tempatan ke peringkat antarabangsa.

Tambahnya, Siti akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui perkongsian pengalaman sebenar dunia keusahawanan termasuk sesi masterclass.


Sebagai Profesor Adjung UiTM, Siti memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui perkongsian pengalaman sebenar dunia keusahawanan.

Siti juga akan membantu memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan industri kreatif serta membuka peluang kerjasama rentas bidang dalam pengkomersialan idea dan inovasi pelajar.


Siti sudah dimaklumkan mengenai tugasannya selepas dilantik Profesor Adjung UITM. Siti ada beberapa tugasan yang perlu dibuat dan akan berkongsi ilmu mengenai bagaimana hendak memulakan perniagaan dengan pengalaman yang ada yang dikongsi bersama pelajar dan akan cuba melaksanakan dengan baik dan sesuai dengan masanya.


Pelantikan Siti sebagai Profesor Adjung mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasa pelajar agar menjadi usahawan berdaya tahan dan beretika, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi Globally Renowned University by 2025.

UiTM percaya bahawa kolaborasi strategik dengan tokoh industri berpengaruh seperti Siti Nurhaliza akan melahirkan generasi baharu graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi mampu menjadi pemimpin dan pencipta peluang dalam dunia keusahawanan global.

Siti memulakan tugas sebagai profesor adjung dengan memberi ceramah kepada sejumlah pelajar UiTM selepas menerima watikah pelantikan.

Profesor Adjung adalah gelaran kehormat untuk profesional bukan akademik yang dijemput oleh institusi pengajian tinggi untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka. 

Individu ini dilantik untuk memberi syarahan, mengajar, dan memberi nasihat dalam bidang mereka, yang selalunya melibatkan kolaborasi dengan ahli korporat dan profesional yang berjaya dalam bidang masing-masing. - KitaReporters



12
14
0
7
0
You will be interested