Seni & Sukan 29 Aug, 2025

Bukan imaginasi tapi realiti! Tyka lancar album debut Imaginasi! Teringin duet dengan Tok Ti, Aina!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Meskipun namanya mungkin kurang dikenali dalam kalangan peminat muzik perdana, bakat vokal Tyka Zatyka yang begitu mantap tidak dapat disangkal waima sudah mengasah bakat nyanyiannya sejak kecil. 

Kini, melakar satu lagi sejarah dalam karier muziknya, penyanyi dan penulis lagu berbakat besar itu, akhirnya melancarkan album sulungnya berjudul 'Imaginasi' terbitan Chevy Amry Production. 




Ia sebuah karya mengandungi 10 lagu,  sarat dengan melodi penuh perasaan, irama pop segar dan lirik yang menceritakan kisah-kisah peribadi yang memberi inspirasi.

“Bagi saya, Imaginasi adalah pintu masuk ke dunia saya -- ia adalah gabungan impian, pengalaman, dan emosi yang saya simpan selama ini,” kata Tyka Zatyka, pada majlis pelancaran tersebut yang berlangsung pada 27 Ogos 2025 di Saprah Kuala Lumpur.

Turut hadir Pengasas Chevy Amry Production, Chevy Amry; serta ibu Tyka yang juga bekas penyanyi ghazal, Rosiah Misri; Dee Jangan Ketawa selaku pengacara majlis; Aszuad  Zakaria, Pengasas Cloudworks Entertainment; serta wakil-wakil dari MyCreative Ventures (MyCV) dan Kementerian Komunikasi yang sentiasa komitted membantu penggiat seni tanah air melalu Dana Kandungan Kreatif. 



Pelancaran turut menyaksikan Tyka atau nama sebenarnya, Noor Amierazatyka Ayob, 30, menyampaikan tiga buah lagu secara ‘live’ iaitu ‘Sakti’, ‘Cahaya” dan 'Imaginasi’, sekali gus memperdengar kekuatan vokalnya yang unik serta kematangannya sebagai seorang artis serba boleh.

Setiap lagu nyanyiannya membawa pendengar ke dunia berbeza, daripada rentak rancak yang mudah diingati hinggalah balada indah yang mampu menyentuh jiwa.

Dan menariknya, majlis turut berpeluang mendengar Tyka berduet dengan ibunya, Rosiah melalui lagu ‘Bahtera Merdeka’ sempena menyambut bulan kemerdekaan. Begitu mendayu sekali nyanyian anak beranak ini.


Tyka bersama ibunya, Rosiah Misri. Pada malam Tyka dilahirkan, kata Rosiah, beliau masih menyanyi di pentas dan tanpa disangka anak yang dilahirkan mewarisi bakat seninya.


Perlu dinyatakan, walaupun ‘Imaginasi’  menjadi penampilan rasminya, Tyka bukanlah nama asing dalam industri seni.

Dikenali sebagai "kuda hitam" kerana kepandaiannya menyanyikan pelbagai genre muzik, anak bongsu daripada lima beradik  ini mula mencuri perhatian umum setelah meraih tempat keempat dalam program D'Academy Asia musim keempat (DAA 4) pada tahun 2018 di Indonesia.

Sejak berusia empat tahun, Tyka sudah menunjukkan bakatnya, dengan lagu irama Malaysia, "Seri Mersing," menjadi karya pertama yang dinyanyikannya.

Ditembak dengan soalan kenapa baharu sekarang Tyka mahu memperkenal dirinya dalam arena muzik arus perdana setelah sekian lama memperoleh bakat nyanyian?

"Saya tidak rasa popular perlu berdasarkan sensasi dan kontroversi, itu semua sementara. Rezeki itu ada di mana-mana dan saya memilih untuk terus relevan dalam industri seni melalui karya yang berkualiti,” jawab Tyka yang juga merupakan penyanyi tetap bagi pancaragam Diraja Johor, negeri kelahirannya.



Memandang ke hadapan, Tyka tidak menolak keinginan untuk berkolaborasi dengan artis-artis popular tanah air seperti Dato Seri Siti Nurhaliza mahu pun penyanyi seangkatannya yang tidak kurang mempunyai vokal hebat iaitu Aina Abdul.

Berkongsi lanjut mengenai ‘Imaginasi’, Tyka memaklumkan, album ini dihasilkan dengan kerjasama barisan penerbit, komposer, dan pemuzik berpengalaman, dengan Chevy Amry Production bertindak sebagai peneraju dari segi hala tuju kreatif, pengurusan projek, dan strategi promosi untuk memastikan ia sampai ke pasaran Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Tyka memiliki pakej lengkap sebagai artis -- suara, visi, dan identiti tersendiri. Kini, album ini boleh didapati dalam semua platform penstriman digital, dengan kempen promosi yang akan merangkumi sesi temu bual bersama media, persembahan showcase, dan pelancaran muzik video bagi beberapa single  lagi akan datang, “ ulas Chevy Amri memberikan pandangannya. 

Untuk rekod, Tyka pernah diberi peluang menyanyikan semula lagu animasi popular 'Upin & Ipin' terbitan Les Copaque Production (LCP) yang berjudul 'Goyang Upin & Ipin' kira-kira lima tahun dahulu. - KitaReporters


12
13
0
16
0
You will be interested