Seni & Sukan 06 Sep, 2025

Ganjaran lumayan menanti! Jumlah RM700k untuk pemenang AIM24! Hadiah disumbang menerusi DKK MyCV!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24), sebuah acara yang sentiasa dinantikan, kini bersiap sedia untuk kembali menggegarkan Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025


 


Dengan Samsung sebagai penganjur utama dan sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi, AIM24 telah mengumumkan barisan hos, penyampai trofi, serta penghibur yang akan mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik tanah air.

Pada sidang media yang berlangsung di Premiera Hotel Kuala Lumpur pada 3 September 2025 lalu, Pengerusi 

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap  Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, mengesahkan pemilihan pasangan hos ikonik, Sherry Alhadad dan Alif Satar, untuk sekali lagi mengemudi acara berprestij ini. 

Keputusan ini dibuat berdasarkan keserasian dan kredibiliti mereka dalam mengendalikan majlis berskala besar.

Malam kemuncak AIM24 dijangka lebih hangat dengan tema 'Kemuncak Segala-Galanya’ membariskan penghibur yang bakal memukau penonton termasuklah Biduanita Negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza selain kumpulan legenda pop rock, Exists, Ernie Zakri, Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia, serta Dolla bersama bintang hip-hop Thailand, Tobii.


Rosmin Hashim (kanan) bergambar bersama Siti Nurhaliza serta Caren Lau (dua dari kanan) dan Edwin Tan.


“Persembahan daripada nama-nama besar  tersebut membuktikan AIM24 benar-benar berada pada “Kemuncak Segala-Galanya,” melambangkan usaha AIM24 untuk melebarkan pengaruh muzik tempatan ke peringkat global,” ujar Rosmin pada majlis yang turut dihadiri beberapa tetamu kehormat. 

Antaranya Rafiza Rahman, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK), Kementerian 

Komunikasi; Muhammad Nadzmi Musa, Penolong Naib Presiden Pembangunan Industri, MyCreative Ventures Sdn Bhd; Dato’ Mokhzani Ismail, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik dan selaku Ketua Juri AIM24; Caren Lau, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PPM dan RIM, Caren Lau; bersama Bendahari RIM, Edwin Tan.

Rosmin berkata, pemilihan hos, para penghibur dan penyampai trofi itu dibuat berdasarkan kemampuan mereka dalam industri muzik tanah air selain ada kaitan dengan kandungan AIM24 itu sendiri yang bertemakan ‘Kemuncak Segala-Galanya’.


Dolla bakal bergabung bersama Tobii dari Thailand.


Ernie Zakri bersama Ade Govinda dan Anggi Marito (kiri).


Contohnya, pemilihan Dolla yang bakal bergabung dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii pada malam AIM24 menggambarkan pelebaran pengaruh Dolla yang semakin melangkah ke peringkat global.

Begitu juga dengan Ernie Zakri yang telah mencipta fenomena baharu di Indonesia apabila bergabung bakat dengan komposer serta penyanyi Ade Govinda dan Anggi Marito. 

Mereka juga finalis bagi kategori ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ AIM24.

Penampilan Exists juga cukup relevan kerana mereka antara kugiran pop legenda yang masih aktif membuat konsert di seluruh Malaysia serta negara serantau.

Selain itu, AIM24 juga tidak pernah meminggirkan bakat artis-artis baharu di mana kali ini semua finalis kategori ‘Artis Baru Terbaik’ iaitu Eric Foo, Intan Maya, K.O.I, Ryenald Guntabid dan Xone akan turut beraksi hebat di pentas malam kemuncak


.

Antara artis-artis yang hadir - (Tiga dari kiri) Bunga, Lyana Jasmay, Ezad Exist dan Joe Branko.


AIM24 mempertanding 30 kategori keseluruhan, termasuk empat kategori baharu: Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, serta Kugiran Terbaik.

Lebih menarik, pemenang 11 kategori utama AIM24 akan menerima dana keseluruhan berjumlah RM700,000 yang disumbangkan melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) oleh Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures (MyCV).


KumpuLn Masdo...  antara calon lima terbaik untuk anugerah Kugiran Terbaik,  bersaing dengan Kumpulan Barbarik, Drama Band, Gerhana Ska Cinta dan Mafidz.


Pemenang kategori ‘Album Terbaik’ akan menerima dana sebanyak RM200,000 manakala kategori ‘Artis Baru Terbaik’, ‘Lagu Etnik Terbaik’, ‘Lagu Nasyid Terbaik’, ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Lagu Inggeris Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’, ’Lagu India Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Terbaik’ dan ‘Video Muzik Terbaik’ akan menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu.

Inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Madani dalam menyokong pembangunan industri muzik negara.

Sebelum ini, RIM menerima sejumlah 682 pencalonan berdasarkan karya-karya muzik yang diterbitkan mengikut tempoh kelayakan iaitu antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. 

Malam kemuncak AIM24 bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Sabtu, 13 September 2025, mulai jam 9 malam dengan acara karpet merah bermula jam 8 malam. 

Ia akan disiarkan secara langsung oleh RTM selaku penyiar rasmi melalui TV2 dan portal RTM Klik. - KitaReporters


9
10
0
11
0
You will be interested