Seni & Sukan 18 Jan, 2026

Video| Mahu kembali mekar! Mamat tenang, gembira! Kini sukarelawan di PENGASIH! Mamat Mekar Showcase!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Selepas hampir setahun enam bulan melalui fasa pemulihan di bawah Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Mamat Exists boleh menarik nafas lega. 

Bukan kerana perjalanan itu sudah berakhir, tetapi kerana Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin kini lebih mengenali dirinya sendiri -- sesuatu yang diakuinya hilang untuk satu tempoh yang lama.


Bertempat di Kompleks PENGASIH Cinta Manis, Bentong, Pahang, pusat pemulihan tersebut menjadi 'rumah' Mamat untuk menyusun semula hidupnya, jauh daripada hiruk-pikuk dunia glamor yang pernah membesarkan namanya sebagai vokalis Exists.

“Saya bersyukur, sangat bersyukur,” ujar Mamat yang bakal mencecah usia 48 tahun pada April 2026 depan. 

Nada suaranya tenang, seolah-olah setiap patah kata itu lahir daripada pengalaman yang benar-benar mengubah cara dia melihat kehidupan.

Namun, Mamat tidak menafikan proses pemulihan itu bukan mudah. Ia bukan sekadar masuk pusat rawatan dan menunggu masa berlalu, tetapi satu perjalanan panjang yang memerlukan kesabaran, kejujuran dan keberanian berdepan diri sendiri.

Menurut pelantun lagu Untukmu Ibu itu, setiap individu di PENGASIH perlu melalui fasa demi fasa dengan tahap tertentu sebelum dibenarkan melangkah ke peringkat seterusnya termasuk keluar bergaul dengan masyarakat dan kembali bekerja.

“Setiap fasa ada tekanannya. Bukan sahaja fizikal, tetapi mental. Kita diuji dengan ego dan 'pride', terutama bila kita ini artis,” luah Mamat yang mengakui status selebriti adakalanya menjadi cabaran tersendiri.

Baginya, pemulihan bukan sekadar menjauhkan diri daripada ketagihan, tetapi belajar menerima bahawa penagihan itu sendiri adalah satu penyakit -- dan penyakit perlu dirawat, bukan disembunyikan.


Biarpun Mamat Mekar Showcase sebagai satu pentas kecil, namun ia amat bermakna buat Mamat.

Dalam tempoh hampir satu setengah tahun itu, Mamat turut dibenarkan meneruskan aktiviti seni secara terkawal. Dia hadir ke beberapa festival, karnival dan persembahan -- kebanyakannya secara solo, ada juga bersama Exists.

“Jarak Bentong ke Kuala Lumpur pun tak jauh. Dalam 45 minit sahaja. Tidak terlalu membebankan,” katanya sambil tersenyum, walaupun mengakui faktor usia membuatkan tenaga tidak lagi seperti dulu.

Perjalanan solo Mamat kini diuruskan oleh Mekar Management yang ditubuhkan semata-mata untuk Mamat oleh seorang peguam, Azlina Abdul Aziz. 

"Di bawah pengurusan Mekar Management saya mula 'move on' untuk meneruskan apa yang sepatutnya saya lakukan. Saya berharap, walaupun showcase ini berskala kecil, ia membawa makna yang besar. 

"Kami akan mengadakan satu sidang media untuk menguar-uarkan kepada semua bahawa ini adalah titik perubahan dan permulaan baharu untuk saya meneruskan kerjaya seni," ujar Mamat.

Minat terhadap muzik tidak pernah padam. Alunan suara, tonasi dan emosi yang pernah menjadi kekuatan Mamat kini dilatih semula, seiring dengan proses pemulihan dalaman yang sedang berjalan.

Untukmu Ibu antara lagu evergreen Mamat ketika bersama Exists.

Menyentuh mengenai projek akan datang pelantun lagu evergreen, Rahsia Pohon Cemara itu akan mengadakan sesi eksklusif bersama 200 peminat menerusi Mamat Mekar Showcase di Hotel Ideas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2026.

Malah lebih istimewa penampilan solo itu akan dibuat secara 'unplugged' sebagai kemunculan awal beliau di pentas seni.
Lebih bermakna, Mamat kini memilih untuk menjadi sukarelawan di PENGASIH, satu keputusan yang dibuat secara sukarela, tanpa paksaan.

“Saya 'volunteer'. Kalau saya boleh bantu orang lain yang lalui benda sama, kenapa tidak?” katanya ringkas, tetapi sarat makna.

Sebagai sukarelawan, Mamat terlibat dalam sesi perkongsian, bimbingan dan 'coaching' -- bukan sebagai orang yang sudah ‘sembuh sepenuhnya’, tetapi sebagai individu yang masih belajar dan terus belajar.

Di PENGASIH, Mamat mengakui dia belajar banyak perkara -- tentang disiplin, empati, tanggungjawab dan yang paling penting, tentang merendahkan ego.

“Dulu kita fikir dunia ini pasal kita sahaja. Sekarang kita belajar fikir orang sekeliling,” ujarnya jujur.

Penyanyi yang berasal dari Johor itu turut berkongsi bagaimana melihat rakan-rakan di pusat pemulihan bangkit semula menjadi sumber inspirasi. Mereka yang jatuh lebih teruk, tetapi mampu berdiri lebih tinggi, menjadi ‘role model’ tanpa disedari.

Ditanya soal rasa takut kembali bergaul dengan masyarakat, Mamat menjelaskan semuanya berlaku secara terancang, dengan pemantauan rapi dan pelan rawatan yang tersusun.

“Bukan dilepaskan terus. Ada perancangan -- dengan siapa kita tinggal, apa kita buat dan ke mana hala tuju kita,” katanya menggambarkan betapa telitinya proses tersebut.

Bagi Mamat, kebahagiaan hari ini bukan datang daripada sorakan pentas atau populariti, tetapi daripada ketenangan yang mula dirasai selepas lama bergelut dengan diri sendiri.

“Saya masih dalam proses,” katanya menutup bicara. 

Mamat mendedahkan proses pemulihan di PENGASIH bukan mudah, tetapi satu perjalanan yang panjang dan berliku.

Mungkin di situlah kekuatan sebenar Mamat Exists hari ini -- bukan pada suara semata-mata, tetapi pada kejujuran menerima bahawa perjalanan untuk sembuh adalah sebuah pengembaraan seumur hidup.

Mengimbas sebelum menjadi penghuni di Kompleks PENGASIH Cinta Manis, pada Julai 2024, Mamat dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019.

Di Mahkamah Sesyen, Mamat dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hakim Fatimah Zahari turut memerintahkan Mamat menjalani dua tahun pengawasan di AADK Bentong, Pahang untuk rawatan dan pemulihan.

Mamat mula terkenal sebagai vokalis asal kumpulan rock pop Exists sejak 1991 dan kemudiannya meninggalkan kumpulan itu pada 1994 untuk kerjaya solo.

Setahun kemudian beliau menghasilkan album pertama Mamat yang menampilkan 10 lagu dengan tiga lagu hits iaitu Salju Di Danau Rindu, Hanya Engkau Kekasih dan Inspirasi Kamar Hati.

Album kedua Pasrah pula lahir pada 1996 selain Seminit Bagiku (2004). - KitaReporters


Mamat (dua dari kanan) akan mengadakan sesi ekslusif bersama peminat menerusi Mamat Mekar Showcase di Kuala Lumpur pada 13 Februari 2025.

12
10
0
8
0
You will be interested