Seni & Sukan 20 Jun, 2023

Bicara Seni| Royalti lagu P Ramlee perlu disambung? Dari 50 ke 100 tahun? Sazali mohon dipanjangkan!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Bermula 29 Mei 2023, genap 50 tahun kepergian seniman agung P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Puteh mengadap Ilahi ketika baharu berusia 44 tahun.

Ini bermakna tempoh hak cipta yang diurus oleh Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) berakhir dengan bayaran terakhir yang bakal diterima ialah pada Ogos atau Sepember 2023.

Selepas tahun 2024, lagu-lagu ciptaan P Ramlee menjadi hak awam (public domain) di mana  ia boleh diguna secara bebas oleh siapa sahaja tanpa perlu membayar royalti kepada MACP.




Perlindungan hak cipta bagi sesuatu karya sastera, muzik atau seni diberikan sepanjang hayat pencipta karya tersebut. Dan perlindungan akan berterusan selama 50 tahun selepas kematian pencipta karya tersebut.

MACP menguruskan kutipan royalti dalam bidang muzik melalui Akta Hak Cipta 1987.

Terdapat pihak yang meminta tempoh hak cipta diperpanjang hingga 100 tahun. Antara individu yang minta hak royalti itu diperpanjang ialah Sazali, 62, yang mengaku sebagai anak P Ramlee.


Sazali paling terkesan setelah hak royalti tamat pada tahun 2023  


Ramai tidak menyedari bahawa pemberian royalti lagu-lagu ciptaan P Ramlee selama ini tidak diserah mengikut faraid oleh MACP. Pihak MACP menyerahkan hasil royalti terus kepada balu terakhir P Ramlee iaitu Puan Sri Saloma (Salmiah Ismail).


P Ramlee bersama Saloma menjadi pasangan duet ideal

Sepatutnya pemberian royalti sejak peringkat awal perlu dibahagi sama rata antara isteri dan anak-anaknya.

Perkahwinan Saloma (1961–1973) adalah yang ketiga bagi P Ramlee. Sebelum itu P Ramlee berkahwin dengan pelakon Noorizan Mohd. Noor (1955-1961).

Melalui perkahwinan pertama dengan Junaidah Haris (anak pelakon D Haris) (1947-1953), P Ramlee mempunyai dua anak iaitu Nasir P Ramlee (Teuku Mohammad Nasir (1953-2008) dan Arfan P Ramlee (1954-1998). 

Ketika menjadi wakil biro Utusan di Jakarta pada 1990, penulis pernah bertemu dengan Arfan dan ibunya Junaidah. Ketika itu Arfan yang punya beberapa anak tinggal bersama ibunya di sebuah kawasan sesak di Jakarta Pusat.

Tubuh Arfan kurus, persis tubuh P Ramlee dalam filem-filem awal lakonannya.


Nasir P Ramlee

Arfan P Ramlee

Walaupun tanpa punya anak sendiri dengan Saloma, P Ramlee punya sejumlah anak angkat/jagaan. Menurut Wikipedia, Sazali yang lahir pada 1958 adalah anak angkat P Ramlee.

Sazali pernah diambil berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam filem ‘Anak Bapak’ pada  1968. Nama Sazali diambil daripada filem ‘Anakku Sazali’ lakonan P Ramlee pada 1956.

Dan Sazali merupakan anak angkat kesayangan P Ramlee berbanding anak-anak angkat yang lain.

Anak-anak angkat lain P Ramlee ialah Betty, Zakiah @ Zazaloma (lahir 1963),  Sabaruddin @ Badin:  (1965-2007) dan Salfarina @ Dian P. Ramlee, berketurunan Cina iaitu salah seorang pelakon terkenal.

Selain itu P Ramlee turut menjaga beberapa anak tirinya iaitu Abdul Rahman (anak Junaidah), Norma (anak Noorizan) dan Armali (anak Saloma dan AR Tompel).


P Ramlee bersama Saloma dan sebahagian anak angkat, anaknya Nasir dan anak tirinya Armali

Hasil royalti lagu P Ramlee diserah kepada Nasir setelah kematian Saloma pada 25 April 1993. Dan setelah Nasir meninggal pada 17 Disember 2008, royalti berpindah kepada dua anaknya iaitu Natasya dan Najua.

Dan hasil persetujuan bersama kedua-dua anak Nasir ini, mereka membahagikan juga hasil royalti kepada sejumlah anak angkat dan peliharaan P Ramlee. Dan yang paling banyak menerima hasil royalti itu ialah Sazali.

Royalti lagu-lagu P Ramlee pernah mencapai  RM140 ribu setahun.

Namun kini seperti komposer lain, hasil royalti daripada MACP semakin berkurang kerana pertambahan ahli dan jumlah kutipan semakin menurun.  

Kini jumlah royalti tahun lagu-lagu P Ramlee tinggal puluhan ribu sahaja. Hasil royalti P Ramlee berjumlah kira-kira 300 judul itu tetap tidak setinggi diterima oleh Datuk M Nasir dan Tan Sri Ahmad Nawab yang mempunyai jumlah ciptaan lebih banyak. 


Cucu P Ramlee, Najua kini giat berlakon dan bernyanyi

Mexico merupakan satu-satunya negara yang memberi hak perlindungan hasil karya sehingga 100 tahun. Terdapat beberapa negara memberi hak pelindungan hingga 80 tahun. Dan banyak negara memberi perlindungan hingga 70 tahun selepas kematian termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Negara jiran Singapura dan Indonesia juga memberi hak pelindungan sehingga 70 tahun.

Namun kebanyakan negara di dunia menetapkan hak perlindungan hak cipta 50 tahun setelah kematian pemilik asal. Rasanya tidak perlu bagi Malaysia meminda akta hak cipta 1987.

Sementara itu Sazali dan isteri Hamidah Hitam, 58, bagi menyara hidup boleh mendapatkan bantuan beberapa pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan  Lembaga Zakat negeri setelah kedua-duanya kurang sihat untuk melakukan pekerjaan. - KitaReporters

18
9
0
9
0
You will be interested