Seni & Sukan 01 Jan, 2021

Video| Yang Dulu imbau populariti 25 artis veteran! Kongsi perjalanan seni bersama Aznil Nawawi

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

JIKA tiada yang lama, tiadalah yang baharu. Begitulah andaiannya apabila berbicara mengenai kemanusiaan di mana golongan artis antara individu yang sering menjadi tarikan dan teladan kepada generasi muda. Sehubungan itu, program terbaharu membuka tirai 2021, ‘Yang Dulu’ diterbitkan khas bagi mengangkat seramai 25 artis veteran yang mengecapi populariti dan menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu. : KitaReporters



Berkonsepkan dokumentari terbitan Astro Prima, ‘Yang Dulu’ dikemudikan oleh Datuk Aznil Hj Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil bakal menampilkan nama-nama besar antaranya Datuk M Daud Kilau, Datuk David Arumugam, Datuk Rosnani Jamil, Datuk Jeffrydin, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Malek Noor, Mamat Khalid, Bob Lokman, Man Keedal, AR Badul, Herman Tino, Ja’afar Onn, Ruminah Sidek, Uji Rashid, Salamiah Hassan, Norlia Ghani, Fauziah Nawi serta ramai lagi.



Pak Nil bersama Rosnani Jamil atau lebih mesra disapa Mak Nani serta sesi temu ramah Jeffrydin (gambar atas).

Berdurasi selama 30 minit menerusi 25 buah episod secara eksklusif, ‘Yang Dulu’ selayaknyalah ditayangkan pada hari Jumaat, penghulu segala hari yang membuka kalendar 2021pada 1 Januari 2021 ini, jam 7 malam dalam saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105).

“Perkongsian program ‘Yang Dulu’ cukup unik dan istimewa kerana setiap tetamu undangan yang menjayakan program ini dipilih berdasarkan reputasi portfolio mereka sebagai anak seni serta latar belakang kehidupan yang penuh warna warni,” ujar  Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd. Salleh.

Dan menurut Norzeha juga, pemilihan Pak Nil sebagai hos adalah berdasarkan kredibiliti beliau dalam bidang pengacaraan yang sememangnya tidak perlu disangkal lagi.




“Sentuhan magis Pak Nil yang tersendiri mampu memikat hati para penonton agar terus melekat pada kaca televisyen,” tambah Norzeha sambil memberitahu Pak Nil juga berperanan selaku Penerbit Eksekutif program dan turut membuat kajian mendalam terlebih dahulu terhadap setiap 25  artis terlibat.

Tidak hairan ‘Yang Dulu’ padat dengan pelbagai kisah suka duka eksklusif serta perkongsian emosi dan pengalaman peribadi yang tidak pernah dikongsikan kepada masyarakat umum secara terbuka sebelum ini dapat dicungkil Pak Nil yang sememangnya terkenal bijak menyusuk jiwa penonton dengan sifatnya yang mudah 'cair'.

Atas kehebatannya itu, secara keseluruhan rakaman untuk setiap episod mengambil masa kira-kira  tiga jam sahaja untuk diselesaikan  malah penggambaran musim pertama program ini khabarnya belum lagi selesai dan masih dijalankan sehingga kini.


Pendek kata, sewaktu sesi penggambaran dijalankan, hampir kesemua episod mempunyai momen penuh emosi dan ‘air mata’ kecuali episod yang melibatkan penyanyi legenda, Salamiah Hassan

Sewaktu ditemu bual, pelantun lagu malar segar 'Gelombang' ini sendiri mengakui beliau sebenarnya seorang yang agak privasi apabila berbicara mengenai emosi dalaman.



Namun yang menarik lagi, anda bakal melihat penyanyi yang terkenal dengan gelaran Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau berasa teruja apabila berpeluang menyarung kembali baju labuci yang sering digayakan dahulu sewaktu beraksi di pentas hiburan selepas empat tahun tidak bergiat secara aktif dalam bidang seni disebabkan kesihatannya tidak mengizinkan.

Dan lebih memudahkan pihak produksi apabila setiap artis menjaga kualiti disiplin serta menghormati masa yang ditetapkan waima sesi penggambaran dapat dihabiskan lebih awal daripada jadual waktu yang telah dirancang.

“Ini kerana kesemua mereka datang lebih awal dari ‘call time’ yang ditetapkan serta dalam keadaan yang sudah bersedia,“ cerita Aznil memuji sikap disiplin yang masih kekal pada kalangan artis-artis veteran berkenaan.

Sudah tentu ini perlu dijadikan contoh kepada artis-artis muda sekarang yang segelintirnya tidak menepati ‘call time’ waima memikirkan diri mereka begitu popular dan terkenal dengan jutaan pengikut dalam laman instagram mahu pun Facebook. - KitaReporters

1
1
1
0
0
You will be interested