Seni & Sukan 12 Jul, 2020

'Mikrofon Impian' kembali! Bantu selesaikan hutang peserta!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

‘Mikrofon Impian’, program realiti nyanyian yang membantu pesertanya mencapai impian untuk memilki sejumlah wang yang diperlukan sama ada untuk membayar hutang atau sebagainya bakal kembali untuk musim kedua bermula 7 Oktober 2020 depan di saluran Astro Prima. - KitaReporters


Sehubungan itu, sesi uji bakat menerusi platform digital kini dibuka kepada warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, sehingga 30 Julai 2020 ini.

Prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang terjejas akibat COVID-19, pihak produksi Astro membuka penyertaan musim ini kepada orang ramai yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban masalah kewangan yang dihadapi.

Calon peserta yang hadir untuk uji bakat boleh memilih untuk penyertaan diri sendiri atau mewakili pihak lain yang memerlukan bantuan kewangan.

Ketika sesi uji bakat, calon peserta perlu menyediakan sebuah rakaman video nyanyian lagu penuh tanpa sebarang iringan muzik. 

Dalam video tersebut, perlu dinyatakan dengan jelas mengenai maklumat diri atau keluarga beserta latar belakang dan masalah kewangan yang dihadapi secara ringkas. 

Durasi keseluruhan video tersebut haruslah  tidak melebihi dua minit.

Video penyertaan boleh dihantar menerusi tiga cara sama ada menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram di nombor 019-2003623, menerusi portal rasmi Gempak di www.gempak.com atau melalui laman media sosial Instagram dengan penggunaan hashtag #MikrofonImpian2 (pastikan akaun tersebut ‘umum’).

Masih mengekalkan format asal, ‘Mikrofon Impian’ diterbitkan khusus bagi membantu para peserta yang memerlukan bantuan kewangan untuk melunaskan bebanan hutang

Jenis bebanan hutang pula terbuka kepada kategori hutang ibu bapa atau penjaga, hutang dengan pihak badan berkanun, hutang dengan pihak bank serta hutang dengan pihak individu

Hadiah wang tunai yang ditawarkan pula adalah mengikut jumlah keperluan bantuan kewangan yang diminta berdasarkan situasi masing-masing. 

Jadi jika anda mahu impian anda tercapai malah berkemampuan menyanyi dan peka pula dengan perkembangan industri hiburan tempatan bolehlah mencuba nasib, ya. 

Mana tahu tahun yang penuh dugaan ini ada hikmah di sebaliknya apabila impian untuk melunaskan hutang piutang atau apa sahaja bebanan kewangan yang ditanggung dapat diselesaikan hanya dengan memperdengarkan suara anda melalui ‘Mikrofon Impian’.

Pada calon-calon yang berjaya kelak perlu diingatkan sentiasa peka dengan perkembangan muzik hiburan tanah air agar jawapan yang anda pilih melalui mikrofon-mikrofon yang ditampilkan kelak mampu membawa kejayaan sekali gus mengubah haluan hidup masing-masing.

‘Mikrofon Impian’ dijadualkan untuk bersiaran secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam bermula 7 Oktober.

Fauziah Latiff, Aliza Ali, Aznil Nawawi (hos) dan Azmi Saat dalam program 'Mikrofon Impian' musim pertama tahun lalu. - Foto Kredit Chatime.


Untuk rekod, 'Mikrofon Impian' merupakan program adaptasi dari Thailand yang diketengahkan oleh ASTRO dalam membantu masyarakat yang memerlukan. 

Pada setiap episod, dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati.

Menariknya program ini, jika calon gagal memperoleh wang  yang dikehendaki, masyarakat yang prihatin boleh pula membantu dengan sumbangan secara ikhlas dengan apa bentuk cara sekali pun, malah sebuah dana sosial dibuka  menerusi platform Maybank Heart.

Pada musim pertama, program yang dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi menampilkan tiga  juri tetap iaitu penyanyi Fauziah Latiff, Azmi Saat (Caliph Buskers) dan Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali.

Apakah musim terbaharu ini akan mengekalkan juri sama atau berlainan. Kita tunggu  siarannya nanti ya! 

Begitu pun, yang pasti ini merupakan satu-satunya program realiti yang meruntun hati dan jiwa raga penonton. 

Kalau tak menangis tak tahulah mungkin anda berhati batu kerana setiap yang menonton pasti menangis atau pun setidak-tidaknya rasa sebak!. - KitaReporters

4
0
0
0
2
You will be interested