Seni & Sukan 06 Sep, 2021

Bosan di rumah? Jom tengok Ceria Xtra! Xtra lawak, xtra kecoh main Interaktif bersama 16 artis!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Siapa kata duduk rumah membosankan? 

Tetapi jika itulah yang dirasakan barangkali program ‘game show’ variasi famili pertama di Malaysia, ‘Ceria Xtra #DudukRumah boleh memecahkan kesunyian dan rasa terkurung  itu apatah lagi ia memperlihatkan penglibatan 16 selebriti sensasi tanah air.

Program berformat ‘family variety’ ini membariskan selebriti seperti Dato’ AC Mizal, Nabila Huda, Mark Adam, Ajak Shiro, Shahrol Shiro, Sean Lee, Sarah Suhairi, Atu Zero, Zulin Aziz, Meerqeen, Norreen Iman, Erissa Puteri, Fikry Kiki, Bibi Qairina, Coki dan Aisar Khaled.

Dan menariknya program ini  membenarkan penonton di rumah untuk turut terlibat merasai pengalaman bermain bersama selebriti kesayangan mereka itu.


Tentu anda tertanya-tanya kan bagaimana format ‘game show’ interaktif ini?

Dihoskan oleh pelakon dan pengacara yang kian meningkat naik, Wafiy Ilhan (gambar bawah), ‘Ceria Xtra #DudukRumah' bakal menemui penonton pada setiap hari Jumaat, mulai 10 September 2021, jam 9.00 malam di Astro Ceria (saluran 611), bersiaran sebanyak 8 episod selama satu jam setiap episod.



Terbitan Red Communications Sdn Bhd di bawah arahan Shamyl Othman, program tersebut menyediakan beberapa permainan antaranya seperti  ‘Siapa Lagi Xtra’, ‘Lukis Sarkis’, ‘Keluarga Mithali’, ‘Bisikan Manja’, ‘Lagu Apa Ini’, ‘Emojikan Hidupmu’, ‘Hujung-Hujung Nyawa’, ‘Pape Roger’ dan banyak lagi.

Dalam setiap episod, dua selebriti popular akan diangkat sebagai Kapten dan mereka akan membentuk kumpulan masing-masing, berlawan dan bermain beberapa  permainan, yang dijalankan secara maya, dari kediaman masing-masing. 

Setiap Kapten akan disertai dengan tiga (3) orang pemain yang dibarisi ahli keluarga masing-masing, kawan dan juga peminat. 

Peserta juga akan diuji dengan tugasan mengejutkan menerusi slot ‘Misi Xtra’ yang mana ia dijalankan secara rawak ketika sesi permainan sedang berlangsung dan tugasan ini perlu diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan. 

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan markah kumpulan ditolak. 



Terdahulu, pada bulan Julai 2921, setiap Kapten telah membuka penyertaan dalam kalangan peminat mereka yang mana pemilihan kemudiannya telah dibuat dan peminat yang bertuah tersebut diserap masuk untuk menjadi sebahagian dari keluarga 'Ceria Xtra #DudukRumah'. 

“Memandangkan nama ‘Xtra’ dipilih sebagai tajuk utama program ini, peminat boleh membayangkan pelbagai elemen kejutan disuntik dari satu permainan ke permainan yang seterusnya, bertujuan untuk mencetuskan keterujaan di kalangan pemain mahupun penonton, secara tidak langsung turut menepati tagline yang diberi, ‘Xtra Lawak, Xtra Kecoh, Semua pun Xtra’, “ ujar Cecilia Wong (gambar bawah, barisan atas, kiri), Pengurus Saluran Astro Ceria dalam wawancara yang berlangsung secara maya pada 2 September 2021 dan turut dihadiri beberapa selebriti program terbabit.



Menurut Cecilia, program bertujuan memberi kekuatan kepada semua untuk terus kuat menempuh fasa pandemik ini, sekali gus mencetuskan semangat #KitaTeguhBersama di hati masing-masing.

“Walau pun berada di rumah, penonton terlibat masih boleh merasai pengalaman bermain bersama selebriti kesayangan mereka,” tambah Cecilia.

Dari semasa ke semasa, pengacara, Wafiy, akan memaparkan Kod QR pada skrin televisyen ketika siaran 'Ceria Xtra #DudukRumah' berlangsung dan penonton hanya perlu mengimbas Kod QR tersebut untuk menyertai ‘Ceria Xtra After Party’ dan berpeluang untuk bertemu serta bermain ‘game’ secara maya dengan barisan selebriti. 

Apa pun jika anda mahukan maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang www.astroceria,com,my.

Untuk pilihan alternatif, program ini juga boleh ditonton dalam platform On Demand dan Astro GO pada bila-bila masa, di mana jua anda berada. - KitaReporters

16
15
2
16
1
You will be interested