Seni & Sukan 26 Jan, 2021

Untung penduduk Pahang! Pusat Penempatan Serba Guna kekal! Untuk kawasan teruk dilanda banjir

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Kredit foto-foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang


RUMAH rosak teruk akibat ditenggelami banjir. Tiada apa yang dapat diselamatkan tidak tahu ke mana harus dituju. Paling tidak menumpang di rumah saudara mara. Tetapi sampai bila hidup menumpang?

Itu dilema dihadapi sebahagian daripada mangsa banjir yang kehilangan rumah dan harta benda berikutan banjir buruk yang berlaku di kawasan tempat tinggal mereka pada awal Januari 2021.


Lagi cerita-cerita berkaitan banjir di Pahang:

 https://kitareporters.com/search?search=Pahang



Namun, kesedihan mereka itu bagaikan terubat tidak lama selepas itu apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan yang kerajaan negeri akan mewujudkan Pusat Penempatan Serba Guna (PPSG) secara kekal di beberapa daerah yang terkesan teruk akibat banjir di negeri itu. 

Alhamdulillah, syukur! 

Beliau berkata, bangunan PPSG yang akan dibina di daerah terkesan teruk iaitu di Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh juga akan digunakan di luar musim banjir.

Menurutnya, PPSG tetap akan dibina, namun bergantung kepada lokasi dan tempat difikirkan sesuai selepas dapatkan pandangan daripada semua pihak.


Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) membantu kerja-kerja pembersihan di SMK Mengkarak, Guai, Bera pada Program Sukarelawan Pahang pada 21 januari 2020.


"Kita tak mahu seperti berlaku baru-baru ini apabila tak boleh nak masuk beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) seperti di Benta kerana PPS itu pun dinaiki air.

"PPSG ini boleh menampung mangsa banjir dengan pelbagai kemudahan disediakan, maknanya tandas lebih elok dan ada tempat makan," katanya selepas meninjau kerja pembersihan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, Guai di Bera pada 21 Januari 2021. 

Katanya, pelbagai perkara perlu dikaji sebelum pembinaan pusat itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang jika banjir melanda.

"Banyak perkara yang perlu kita kaji kerana ini satu perkara baru yang akan kita laksanakan untuk menghadapi andainya berlaku banjir lagi di masa akan datang," katanya sambil berkata sekurang-kurangnya satu PPSG dibina di setiap satu atau dua daerah.


Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada Program Sukarelawan Pahang 


Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, sehingga kini kerajaan negeri sudah membelanjakan RM12 juta untuk membantu 47,000 mangsa banjir daripada lebih 14,000 keluarga. 

Bukan sedikit jumlahnya tau..harap bersabar jika berlaku kelewatan!

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menambah pelbagai bantuan kepada mangsa banjir seperti menyediakan sejumlah peruntukan untuk tempoh masa tertentu kepada ketua isi rumah (KIR) yang perlu menyewa kediaman lain akibat kehilangan rumah sepenuhnya kerana banjir.

"Kita juga menimbang untuk memberikan sumbangan sekali bayar kepada KIR berdaftar dengan pusat kawalan operasi banjir (PKOB) di daerah masing-masing.

"Selain itu, pemberian rebat kepada KIR sehingga RM15 bagi kegunaan air domestik untuk Januari 2021. Manakala bagi rumah yang musnah sepenuhnya, rebat penuh kegunaan air diberikan kepada KIR bagi Januari dan Februari tahun ini," katanya.



Wan Rosdy berkata, pengecualian sewa untuk Januari 2021 ini diberikan kepada penyewa gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terkesan banjir.

Menurutnya, pengecualian sewa gerai PBT adalah untuk satu tempoh sehingga dipulihkan sepenuhnya bagi gerai yang rosak teruk akibat banjir.

Sehubungan itu, beliau berkata, pejabat daerah dan tanah (PDT) dikehendaki mengemas kini maklumat terperinci mengenai mangsa banjir berkaitan jenis kerosakan rumah dialami bagi memudahkan penyaluran bantuan susulan oleh kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan NGO selain sumbangan daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"PDT juga akan menyelaraskan usaha mengesan rumah mangsa banjir yang perlu diberi bantuan kerja-kerja penyelenggaraan pendawaian elektrik yang rosak akibat banjir," katanya.



Sementara itu, mengulas mengenai bantuan banjir semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 22 Januari hingga 4 Februari 2021, beliau berkata sebarang bantuan bagi mangsa banjir di negeri ini perlu mendapat kelulusan pihak polis terlebih dahulu.

“Bantuan (banjir) kena isi borang, kemudian kalau ada kelulusan Insya-Allah PDRM akan bagi laluan. Kalau tak ada kelulusan, tak boleh.

“Sebab bila PKP, adalah sekatan dari daerah ke daerah, jadi kena ada kebenaran. Tapi Insya-Allah bila ada permohonan, ada syarat-syarat tertentu kalau sekiranya dipatuhi, pihak PDRM akan bagi kebenaran,” katanya.



Kerajaan negeri sedia melakukan apa sahaja untuk membantu rakyatnya yang terkesan dengan bencana banjir baru baru ini. Justeru, bagi yang belum menerima atau lewat terima harap bersabar kerana mangsanya bukan sedikit dan pergerakan juga perlu dikawal terutama dalam tempoh PKP ini. Jangan kerap sangat menyalahkan kerajaan negeri kalau lewat dapat perhatian. - KitaReporters

2
0
1
0
0
You will be interested