Seni & Sukan 11 Aug, 2021

Video| Legenda versi baharu! Untuk hargai semua barisan hadapan, perwira negara! Gubahan Loque!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Kumpulan MonoloQue bersama Kimal (dua dari kanan).


APABILA sebut judul lagu ‘Legenda’. pastinya bayangan wajah Ratu Jazz, Dato Sheila Majid menjelma dalam kotak fikiran ditambah pula ia merupakan lagu penghargaan kepada legenda permata seni yang tiada galang gantinya, Allahyarham Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee.

Ciptaan komposer terkenal, Fauzi Marzuki, Jenny Chin dan lirik oleh Habsah Hassan, lagu keramat itu pada abad ke-21 ini terus diangkat tetapi kali ini dipercambahkan dengan irama gamelan Melayu di dalam sebuah album gamelan Melayu berkembar bertajuk ‘Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke-21’.

Sehubungan itu, ‘Legenda’ diberi perubahan sehingga 180 darjah oleh MonoloQue dengan Orkes Gamelan Pahang Diraja diadun bersama vokal Kimal daripada kumpulan Margasatwa.

Barangkali anda akan bertanya kenapa memilih lagu ‘Legenda’ untuk tujuan itu sedangkan versi asalnya sudah cukup sedap pada halwa telinga?


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan MonoloQue


“Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asal 'Legenda' daripada Dato’ Sheila Majid kerana lagu itu sememangnya tiada tandingannya. Saya cuma menyuntik unsur-unsur terkini dan mengubah mengikut citarasa kami seolah-olah lagu ini adalah lagu kami sendiri. 

"Diharap versi kami ini akan menjadi petunjuk arah kepada versi asal Dato’ Sheila Majid di samping menjadi rujukan masa hadapan terhadap evolusi bunyian gamelan Melayu,” kata penggubahnya, Loque atau nama penuhnya, Khairil Ridzwan Anuar.

Menurut Loque, lagu tersebut adalah belasungkawa tahap tertinggi kepada para legenda, baik yang dikenang dan yang tidak didendang sepanjang zaman, namun walaupun diubah saripati jiwa pada lagu,  irama asalnya masih dikekalkan.

Pun begitu, memberikan alunan baharu kepada lagu ‘Legenda’ untuk dimuatkan di dalam album berkembar gamelan Melayu dicetuskan oleh Dato’ Farid Abdul Jalal, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang yang juga Penerbit Eksekutif album berkembar, Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21)



“Jika versi asal 'Legenda' merupakan penghargaan buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, saya mahu 'Legenda' versi baharu ini diperluaskan lagi sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berkorban kepada negara dan memberi sumbangan kepada masyarakat setempat, termasuklah kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memainkan peranan besar dalam evolusi perkembangan gamelan Melayu,” ujar Farid yang sekian lama  turut meminati lagu 'Legenda' nyanyian Sheila Majid itu.

Atas kehendak dan objektif itulah beliau sarankan ‘Legenda’ diberikan nafas baharu dan memilih Loque menghasilkannya.

Bagi Loque, diberi peluang untuk memperbaharui lagu 'Legenda' adalah satu penghormatan apatah lagi ia diterjemahkan sebagai penghargaan terhadap para perwira dalam bentuk irama.

Menurut beliau, dalam keadaan dunia yang dilanda pandemik, ramai wira tidak didendang yang harus dihargai bermula daripada para petugas barisan hadapan hingga kepada penghantar makanan, posmen, pekerja pembersihan, pekerja restoren, semuanya adalah perwira yang berjasa kepada rakyat dan negara.



“Pada kala ‘perang halimunan’ ini, semuanya adalah legenda,” tambah Loque (gambar atas, duduk) yang turut menggubahkan lagu tersebut buat atuknya, Maaruf Mahmud, seorang penulis buku kanak-kanak dan panelis Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1980-an. 

“Antara jasa besar beliau adalah menjadi salah satu individu menghantar petisyen kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman bagi menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di negara ini,” kenang Loque.

Sementara itu, selaku vokalis, Kimal  (gambar atas, berdiri) mengakui menyanyikan semula sebuah lagu lama yang sudah popular merupakan satu cabaran.


Lagu 'Legenda' versi gamelan pernah dipersembahkan oleh MonoloQue bersama Aizat pada persembahan di Festival Belia Putrajaya pada tahun 2014.


“Untuk menarik minat masyarakat, yang telah sebati dengan lagu malar segar versi Sheila Majid kepada versi MonoloQue bukanlah mudah, namun cabaran ini tidak menghalang saya untuk memberikan lenggok vokal mempesona dan eksotis agar ada perbezaan dari versi sebelumnya,” ujar Kimal sambil mengharapkan pendengar dapat menerima versi terbaharunya itu yang kedengaran asing tetapi dekat di hati.

Dengarkan Legenda di laman digital Spotify, Apple Music, Deezerdan Tidal. 

Juga boleh didengar di dalam album 'Lagu Perang' (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21) versi piring hitam dan cakera padat (deluxe). - KitaReporters


1
0
0
0
1
You will be interested